Tidak terlepas dari membicarakan isu semasa, pelakon popular, Zed Zaidi turut mempunyai pandangan mengenai kemelut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang kini sedang hebat diperkatakan.
Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan tindakan berani mahasiswa, Adam Adli Abd Halim, 22, mengadakan demonstrasi dan menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menuntut pemansuhan Auku setelah akta ini dilihat menyekat kebebasan akademik penuntut.
Menurut Zed yang juga pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Biro Seniman Muda, menyifatkan kumpulan penuntut masih belum layak untuk diberikan ruang dalam berpolitik.
Zed mengakui, dia menyokong Auku sekiranya peluang yang diberi digunakan dengan sebaik mungkin oleh golongan penuntut. Namun, dia tidak menafikan bahawa terdapat sisi positif dan negatif dalam pelaksanaan Auku.
“Bagusnya, Auku boleh melahirkan pelapis muda dan juga bakal pemimpin berkaliber. Kerajaan memandang dari sudut itu, tetapi ada segelintir menganggap sebaliknya.
“Bagi saya, mereka yang mengadakan demonstrasi jalanan seperti itu tidak boleh menjadi kumpulan pendesak. Saya memang bantah demo ini kerana di situ terpamer sikap kurang bijak penuntut universiti. Jangan sesekali kita merendahkan martabat kita sebagai mahasiswa berilmu.
“Mereka belum capai tahap matang lagi, mereka akan lebih senang dimanipulasikan. Perkara ini boleh dibawa berbincang dan perlu mengikut saluran yang betul,” katanya yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Zed yang merupakan ahli Umno juga menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar lebih memainkan peranan dalam hal sebegini.
Isteri mengidam durian
Walaupun aktif berpolitik dan menguruskan persatuan, itu tidak menjadi halangan untuk Zed meluangkan masa bersama isteri tercinta, Natalia Mustafa Kamal, yang kini sedang berbadan dua.
Menurut Zed, kandungan Natalia baru mencecah tiga bulan dan dia cuba memenuhi kehendak isterinya apatah lagi ini merupakan cahaya mata pertama mereka.
“Isteri saya mengidam makanan yang pelik-pelik, contohnya durian yang sebelum ini tidak digemarinya. Selain itu, dia turut mengalami alahan yang teruk. Tugas di dapur juga turut beralih tangan di mana saya yang akan menyediakan hidangan makanan.
“Tapi, saya tidaklah pakar dalam memasak, setakat nasi goreng ayam dan spageti tu, boleh la. Selain itu, isteri saya turut mengamalkan minum susu Anmum untuk memastikan kandungan mendapat khasiat yang sepenuhnya.
“Ini adalah cahaya mata pertama kami, sudah tentu kami teruja untuk menanti kehadirannya. Saya akan lakukan apa sahaja yang termampu untuk isteri dan anak saya. Kehadiran mereka adalah hadiah paling indah buat saya,” katanya yang teringin menimang cahaya mata lelaki.
Saturday, January 7, 2012
Zed Zaidi sokong Auku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: