Saturday, January 28, 2012

Dakwah terbaru Hafiz Hamidun


HAFIZ Hamidun percaya untuk menyampaikan dakwah dalam era moden hari ini sudah berbeza jika hendak dibandingkan dengan masa dahulu.


Namun, selepas 'jodohnya' dengan UNIC berakhir lebih kurang dua tahun selepas itu, Hafiz lebih selesa untuk bergerak solo dalam memperjuangkan muziknya.

Dalam masa yang sama, ada yang cuba mempertikaikan kredibiliti Hafiz yang dilihat cuba lari dari landasan asal sewaktu bersama UNIC.

Tetapi kata Hafiz, biarpun keterampilan ke arah lebih moden seperti remaja, jiwa dakwahnya tetap sama.

"Apa pun yang diperkatakan orang, itu bukan satu halangan untuk saya meneruskan apa yang telah saya mulakan dari awal.

"Bagi saya, apabila hendak memperjuangkan dakwah dalam apa jua sekali pun, pakaian bukanlah satu isu terutama jika kita hendak mendekati golongan remaja.

"Asalkan perjuangan itu berada di paksi yang sebenar, saya fikir ia bukanlah satu masalah dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat," kata Hafiz atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun sewaktu ditemui S3 di pejabatnya, Arteffects Sdn. Bhd. di Damansara Perdana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung bicara, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini memberitahu dia mengambil contoh terbaik album solo terbarunya, Zikir Terapi Diri yang sudah berada di pasaran sejak awal Disember lalu.

Hafiz sendiri bagaikan tidak percaya apabila hanya dalam tempoh tiga minggu, album tersebut sudah mencatatkan jualan melebih 11,000 salinan.

Katanya, ia merupakan pencapaian di luar dugaan dan sebagai seorang komposer serta penyanyi, dia berasa bangga apabila perjuangannya menerusi album itu membuahkan hasil.

"Daripada respons yang saya terima, hampir 50 peratus pembeli adalah daripada golongan remaja yang memberikan maklum balas bahawa mereka menyukai album itu.

"Secara tidak langsung, perubahan yang ingin saya lakukan dalam usaha menarik perhatian golongan remaja dengan berdakwah cara zikir begini, mula memberi petanda positif," kata pemegang ijazah sarjana muda bidang muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor ini penuh optimis.

Bukan mahu menidakkan cara pendakwah terdahulu tetapi jelas Hafiz, dalam arus modenisasi hari ini, dakwah juga perlu bergerak seiring asalkan matlamat asal tidak lari.

Sambil memberikan contoh dirinya yang melibatkan diri dalam pelbagai cabang seni yang membawa kebaikan positif kepada dirinya, Hafiz berkata album Zikir Terapi Diri adalah pendekatan terbaik.

"Dalam kehidupan seharian kita yang semakin sibuk setiap hari, album ini dilihat sesuai untuk mereka mendengarnya di dalam kereta mahupun di mana sahaja.

"Saya mempunyai alasan tersendiri mengapa zikir ini diiringi dengan muzik yang ringan dan boleh dihayati sepenuhnya oleh pendengar. Atas alasan itu, ia mudah dihafal dan diingati kerana keberkesanan melodinya.

"Sebagai contoh, ketika berada dalam kesesakan lalu lintas dan berada dalam emosi yang tidak terkawal, album Zikir Terapi Diri mampu membantu menenangkan hati kita.

"Walaupun tiada penemuan saintifik dengan apa yang saya perkatakan ini, tetapi semuanya daripada maklum balas yang diterima daripada pembeli album ini," jelas jejaka berusia 27 tahun ini yang pernah melahirkan dua buah album solo, Hafiz Hamidun (2007) dan Syukran (2009).

Apabila album Zikir Terapi Diri mendapat sambutan di luar dugaan, ternyata perubahan baru yang mahu dilakukan oleh Hafiz mencapai matlamat.

Kata orang, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan hendak mendapat sagunya dan perumpamaan itu memang tepat untuk digambarkan dengan usaha Hafiz itu.

Biarpun caranya itu boleh dikatakan sama seperti apa yang telah dilakukan oleh Maher Zain dan Sami Yusuf, tetapi setidak-tidaknya, muzik baru Hafiz ini sudah boleh diterima.

Walaupun konsep tersebut untuk menarik perhatian orang muda, Hafiz juga tidak menafikan album terbaru itu turut mendapat perhatian golongan senior dan warga emas.

"Saya menghasilkan album ini bukanlah untuk dijadikan ukuran sebagai teori muzik yang hebat tetapi lebih kepada sebuah karya yang lahir dari jiwa dan hati.

"Iringan muziknya lebih kepada terapi minda dan inilah yang sama mahukan. Insya-Allah, saya akan meneruskan album seperti ini di masa akan datang dan berkolaborasi dengan penyanyi lain pula," kata anak ketiga daripada lima beradik yang juga pernah menghasilkan lagu tema dan skor muzik drama bersiri seperti SyurgaMu Ramadan, Supermak, Ilusi dan Keranamu Laila.

Album Zikir Terapi Diri yang dijual pada harga RM19.90 itu memuatkan 11 buah zikir seperti Astaghfirullah, Taubatan Nasuha, Hasbi Rabbi, Ya Zaljala, Ya Latif, Subhanallah dan sebuah zikir bonus, Lawkana Bainana.

Tidak terhad pada satu-satu skop seni sahaja, Hafiz juga mahu karyanya dikembangkan kepada cabang seni yang lain.

Dalam konteks ini, Hafiz mengambil contoh keseriusannya dalam menghasilkan skor muzik untuk filem-filem tempatan terutama untuk filem terbitan Filmscape Sdn. Bhd.

Setakat ini, dia sudah melibatkan diri sebagai penulis skor muzik bagi filem Nur Kasih the Movie, Sesuatu Yang Tertinggal, Azazil dan terbaru, Juvana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: