Saturday, January 28, 2012

A. Halim terkenang sekolah Batu Pahat


BERSAMA penyanyi angkatan tahun 1960-an Hasnah Haron dan A. Rahman Onn dalam salah satu aktiviti rakaman lagu-lagu pop yeh yeh tidak lama dulu.


ALAM persekolahan merupakan salah satu pengalaman penting yang dilalui oleh setiap orang sewaktu berada di zaman remaja. Bagi penyanyi A. Halim yang popular pada era tahun 1960-an, dia juga tidak terkecuali menyelusuri saat-saat yang penuh dengan pengalaman manis itu sewaktu di bangku sekolah.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Batu Pahat, Johor, selain menimba ilmu, sekolah itu juga merupakan titik permulaan dia terbabit dalam bidang nyanyian. Kata pemilik nama sebenar Abdul Halim Md. Diah, di sekolah itulah dia bersama kawan-kawan menggilap bakat dalam bidang muzik.

“Di situ saya menubuhkan kumpulan pertama yang diberi nama Mata Intan. Ketika itu, saya baru berusia 14 tahun, dalam tingkatan dua. Minat itu timbul apabila saya bergaul dengan kawan-kawan satu sekolah yang mempunyai minat yang sama.

“Daripada situ, saya bukan sahaja bermain muzik tetapi juga mengasah bakat sebagai penyanyi. Saya tidak menyangka, bermula daripada minat dan hobi, ia berterusan sehingga saya menyanyi sehingga sekarang,” katanya kepada S3 sewaktu ditemui di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas Mata Intan, penyanyi pop yeh yeh berusia 65 tahun ini bersama rakan-rakannya menubuhkan pula kumpulan yang diberi nama D’Fiction. Anggota-anggota kumpulan itu yang berasal dari Batu Pahat dan Muar terus setia dengan irama muzik yang mereka perjuangkan itu.

Malah, kata bapa kepada enam anak dan 18 cucu ini, dia juga banyak menggilap bakat dalam bidang penciptaan lagu sewaktu terbabit bersama kumpulan tersebut. Kebanyakan lagu yang dipopularkan adalah lagu-lagu ciptaan sendiri yang terus diminati sehingga ke hari ini.

“Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang muzik tetapi berbangga kerana boleh menyanyi, bermain muzik dan mencipta lagu. Contohnya, lagu berjudul Kisah Dan Tauladan, saya cipta pada 1965, manakala lagu Salam Mesra pula, saya cipta pada 1966.

“Selepas lebih 40 tahun, saya bangga kerana lagu-lagu itu masih diminati sehingga kini termasuklah pendengar generasi baru. Ini membuktikan irama pop yeh yeh tidak luput ditelan zaman. Saya juga bersyukur dengan bakat dalam bidang seni yang dimiliki sejak di bangku sekolah kekal hingga kini,” ujarnya.

A. Halim yang kini merupakan peladang dan penternak sepenuh masa di Batu Pahat turut tidak menyangka akan terbabit dalam bidang nyanyian biarpun sejak kecil lebih terdedah dalam kerja-kerja pertanian serta penternakan.

Dia yang telah mencipta 18 buah lagu termasuk yang berjudul Doa Dan Harapan dan Teman Baru masih menyanyi pada usia emas. Malah, kerja-kerja di ladang kelapa sawit dan kolam ternakan ikan keli miliknya itu tidak menghalang daripada dia terus menyanyi.

“Selagi ada undangan persembahan nyanyian di mana juga, saya jarang menolak. Kalau ada tawaran merakamkan album baru juga, saya akan terima kerana masih sihat dan boleh menyanyi seperti dulu. Apatah lagi, saya pun sudah lama tidak merakamkan album baru.

“Kali terakhir saya merakamkan album baru ialah pada tahun 1991 yang bertajuk Pilihan Emas terbitan Mutiara Records. Selepas 21 tahun tidak merakamkan lagu baru, sudah tentu saya berasa rindu dan para peminat juga mesti mahu mendengar lagu-lagu terbaru saya,” jelasnya.

Konsert Kugiran 60-an Pop Yeh Yeh yang dijayakan oleh A. Halim dan D’Fiction di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 20 hingga 22 Januari lalu membuktikan minat dan bakat dalam bidang nyanyian serta muzik yang sentiasa mekar di hati penyanyi bersuara lemak merdu ini.

Bagaimanapun, A. Halim menambah dia tidak dapat menyembunyikan rasa sedih kerana sebahagian daripada anggota asal D’Fiction ramai yang telah meninggal dunia beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiga anggota asal D’Fiction iaitu Saat selaku pemain dram telah meninggal dunia pada tahun 2002. Pemain organ, Idris Talib pula meninggal dunia pada 2008, manakala Cikgu Salahuddin selaku gitaris pula meninggal dunia pada 2010.

“Sebagai gantinya, D’Fiction kini mengambil anggota-anggota baru iaitu Mustafa (dram), Aai (gitar) dan Atan (organ) pada persembahan yang diadakan pada konsert di Istana Budaya tersebut. “Apa pun kenangan zaman persekolahan itu memang mengimbau semula punca pembabitan saya dalam bidang seni sehingga kini,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: