Sunday, January 1, 2012

Varma ibu segala silat




LELAKI tua berusia sekitar 80 tahun itu diburu polis kerana disyaki membunuh pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah. Dia bijak melepaskan diri daripada buruan polis.

Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang menyamar sebagai bekas pejuang kemerdekaan India berjaya mengesan kehadiran suspek di sebuah kampung. Dia cuba menangkapnya tetapi lelaki tua itu tiba-tiba melipat ibu jari kaki kanan pegawai polis terbabit hingga dia terjatuh.

Ini diikuti satu tujahan kuat menggunakan jari telunjuk dan jari tengah tepat mengenai leher dan pergelangan tangan pegawai terbabit.

Anehnya, serangan itu menyebabkan pegawai polis tadi seakan-akan lumpuh. Aksi tersebut merupakan adegan dalam filem Tamil tahun 1996 bertajuk Indian lakonan Kamal Hassan sebagai lelaki tua berkenaan.

Seorang sami yang merawat pegawai polis tadi terkejut kerana mendapati suspek telah menggunakan seni bela diri Varma yang dikatakan merupakan ibu segala silat yang ada di dunia.

“Varma merupakan seni pertahanan diri tertua dan ibu segala silat. Ia dianggap tertua dan klasik kerana tidak ramai yang mempelajarinya disebabkan ia sangat berbahaya,” kata guru seni Varma di Brickfields, Kuala Lumpur, Master K. Kaniappan.

Menurut beliau, seni Varma merupakan taktik menyerang titik sensitif anggota badan seseorang.

“Keseluruhannya terdapat sebanyak 828 titik lemah pada anggota badan, 108 daripadanya adalah bahagian paling sensitif dan boleh membawa maut jika diserang,” terang beliau.

Titik

Kaniappan yang mewarisi ilmu itu daripada bapanya berkata, seni Varma memerlukan disiplin yang tinggi sebelum boleh dikuasai.

“Sebelum belajar silat Varma, para pelatih wajib mengangkat sumpah untuk tidak menyalahgunakan seni itu kecuali bagi mempertahankan diri. Sambil bersumpah, air susu akan diletakkan di atas tapak tangan sebagai simbolik betapa pentingnya janji itu dipelihara,” jelasnya.

Kaniappan merupakan generasi ketiga guru silat Varma. Bapa beliau, Kannan, menuntut ilmu itu daripada datuk Kaniappan di Tamil Nadu, India.

“Bapa saya ialah generasi kedua seni ini. Dia yang membawa seni Varma ke Malaysia pada tahun 1936. Setahun kemudian, bapa mengajar seni itu kepada kira-kira 10 orang saudara terdekat sahaja semasa menetap di Klang, Selangor,” ujar Kaniappan.

Namun, disebabkan Varma dianggap terlalu berbahaya, Kannan lebih selesa mengajar seni mempertahankan diri silambam.

“Saya belajar silambam dan yoga daripada bapa semasa berumur sembilan tahun. Dia juga mengajar saya teknik mengurut dan menyediakan ubat herba,” ujarnya.

Hanya pada tahun 1988, Kaniappan dibenarkan belajar seni Varma oleh bapanya.

“Saya belajar semua teknik Varma sehingga tahun 2005 dan mengambil alih pengajaran ilmu itu selepas bapa meninggal dunia pada usia 94 tahun,” kata Kaniappan, anak sulung daripada enam beradik.

Menurut legenda, Varma mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Raja Chola di India sekitar tahun 1000 Sebelum Masihi. Malangnya, seni itu yang digunakan oleh pihak tentera untuk menyerang negara lain tidak disenangi oleh para sami.

Disebabkan itu, mereka memutuskan untuk menghentikan pengajaran seni itu sekali gus menyebabkan seni Varma semakin lenyap.

“Seni Varma terbahagi kepada beberapa bahagian seperti pukulan maut, pandangan mata dan serangan tanpa melibatkan sentuhan,” katanya.

Teknik menyerang menggunakan pandangan mata atau gerakan tanpa sentuhan kedengaran begitu menakjubkan. Menurut Kaniappan, kedua-dua pergerakan menggunakan tenaga batin itu mampu menewaskan lawan.

“Masa di antara tujuh hingga 12 tahun diperlukan untuk mahir dengan teknik berkenaan,” terang Kaniappan.

Serangan

Bagi setiap serangan ada penawarnya, begitu celah lelaki ini.

“Urutan mampu memulihkan mangsa serangan Varma. Selain itu, pelajar seni ini mesti minum ubat herba bagi mengelak kesakitan pada titik lemah selepas berlatih.

“Pernah sekali sepasang suami isteri bergelar doktor secara tidak sengaja menekan kuat titik lemah pada leher si suami. Akibatnya lelaki itu tidak dapat menggerakkan kepala selama dua jam. Selepas diurut dan minum air herba barulah dia pulih,” kata Kaniappan yang juga mahir seni karate-do.

Beritahu beliau lagi, pelajar dikehendaki mahir menghasilkan ubat herba mengikut jenis serangan. Biasanya bagi setiap 10 teknik Varma yang dipelajari, pasti ada sesi khusus bagi menghasilkan ubat herba.

Dalam pada itu, seorang akauntan sebuah syarikat swasta, S. Dashini, 30, berpendapat seni Varma boleh mendisiplinkan seseorang di samping membantu menyelamatkan orang.

“Saya pernah lihat kehebatan seni ini dalam filem Indian keluaran 1996. Belajar menyediakan ubat herba juga banyak gunanya,” katanya yang tinggal di Ampang, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: