SIFIR nisbah kuasa kepada berat (power to weight ratio) tidak pernah salah dalam menghasilkan kereta berkuasa tinggi. Terkini, segmen kereta kompak bakal bergegar dengan lahirnya edisi terhad Audi A1.
Kereta itu didakwa oleh pengeluarnya sebagai kereta paling berkuasa dan pantas dalam kelasnya yang pernah dibina. Audi A1 dilengkapi dengan sistem pacuan kesemua roda (all-wheel-drive) quattro dan merupakan kereta kecil pertama yang dimuatkan dengan enjin petrol berkapasiti besar dengan kuasa sehingga 256PS.
Terhad hanya kepada 333 unit sahaja, model A1 quattro dilengkapi dengan enjin turbo bersesaran 2.0 liter empat silinder pancitan terus dengan kuasa maksimum 256ps pada 6,000rpm.
Tujahan puncaknya juga besar iaitu 350Nm di antara 2,500rpm hingga 4,500rpm. Angka-angka tersebut menjadikan pecutan dari sifar ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 5.7 saat dengan kelajuan maksimum 280km/j. Harus tahu, A1 bersaiz kompak sahaja, lebih kurang saiz Suzuki Swift.
Peralatan atau ‘toyol’ – ayat yang selalu digunakan oleh peminat modifikasi kereta yang dimasukkan pada enjin A1 quattro ialah cam shaft masukan boleh laras dan dua shaft pengimbang yang memastikan operasi lancar. Selain sistem common rail injection bertekanan tinggi dan pengecas turbo dengan pendingin-antara (intercooler).
Pam minyak terlaras pula memastikan enjin tersebut bukan sahaja berkuasa tinggi, malah pada yang sama masih ekonomikal. Kuasa enjin dialihkan melalui transmisi manual enam kelajuan kepada sistem pacuan kesemua roda quattro yang sememangnya sinonim dengan jenama Audi.
Sewaktu pemanduan biasa, klac menghantar majoriti kuasa enjin kepada roda hadapan. Jika tarikan (traction) berkurangan, kuasa akan dihantar pula ke gandar belakang hanya dalam tempoh beberapa milisaat (satu per seribu saat).
Andainya satu daripada roda mula tergelincir, ia akan dihentikan oleh electronic differential lock (EDL).
Sistem ESP (electronic stability program) turut dilengkapi dengan mode sport yang boleh dipadamkan jika pemandu berhasrat untuk memandunya di litar lumba.
Casis Audi A1 quattro dibina untuk disesuaikan dengan pakej enjin kuasa tinggi, bersama klac multi-plate diletakkan di gandar belakang bagi mendapatkan pembahagian berat yang optimum. Suspensi depan ialah jenis McPherson, manakala setup belakang pula adalah jenis four-link.
Diliputi dengan warna eksklusif Glacier White metalik, bumbung berwarna hitam berkilat (high gloss) dan ciri lain seperti rim aloi 18 inci rekaan turbin dengan warna sedondon badan kereta, Audi A1 quattro sangat terampil serta menonjol, sesuai dengan edisi terhadnya.
Lencana quattro
Tidak terhad dengan itu, Audi A1 quattro membezakan dirinya dengan model A1 biasa menerusi beberapa ciri unik lain seperti rekaan bampar hadapan dan belakang, gril dan bingkainya, sayap berwarna merah dalam lampu utama, spoiler belakang besar dwi warna serta dua paip ekor (tail pipe) ekzos.
Sentuhan penyudah lain ialah seperti lampu belakang LED dan cermin belakang yang digelapkan, but dan peresap berwarna hitam. Paling mahal ialah lencana quattro pada gril, arca bumbung dan bonet belakang yang pastinya hanya layak dilekatkan pada 333 unit model itu.
Dengan panjang 3,987mm, A1 quattro 33mm lebih panjang berbanding model A1 standard. Ukuran lain adalah sama.
|
|
Kapasiti bagasi pula adalah 210 liter dan meningkat kepada 860 liter apabila kerusi dilipat. Bahagian dalaman A1 quattro, sesuai dengan imej prestasinya dirias dengan warna gelap bermula dari sebahagian seksyen konsol tengah hinggalah kepada perehat lengan dan kerusi yang dibaluti dengan kulit Silk Nappa yang dikontrakan dengan sulaman benang merah.
Lebih cantik dan menambah eksklusif, kerusi depan disulam dengan tulisan quattro. Kluster meter pula mempunyai beberapa ciri kosmetik seperti jarum berwana putih, meter kelajuan dengan latar belakang merah, logo quattro dan DIS (Driver's Information System).
Dengan spesifikasi dan prestasi Audi A1 quattro itu, saya percaya ia akan membuat sesetengah daripada kita meleleh air liur. Tetapi, ia akan lebih bercucuran kerana untuk pengetahuan anda, 333 unit yang dipasarkan hanyalah dalam bentuk pemanduan sebelah kiri dan bagi sesetengah pasaran Eropah sahaja.
Di Malaysia, kereta apa jenis atau setara mana mahal pun ada yang diimport masuk, tetapi kereta kompak sebegini dan ditambah dengan pemanduan sebelah kiri, cuma satu soalan yang boleh ditanya iaitu, ada berani? Ini barulah benar-benar eksklusif walaupun ia bukan Ferrari, Lamborghini atau Pagani Zonda.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: