Saturday, January 14, 2012

Hyundai i10 Kecil dan stabil




GIMIK yang dilakukan oleh pengedar kenderaan jenama Hyundai untuk pasaran tempatan, Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) ketika memperkenalkan model kompaknya cukup mengujakan.

Pada ketika itu, orang ramai berpeluang untuk memiliki Hyundai i10 dengan hanya bergantung kepada tuah semata-mata. Individu terpilih perlu memilih anak kunci di dalam satu bekas, sebelum cuba membuka mangga yang mengunci sebuah kotak besar dan diletak di hadapan sebuah pusat beli-belah terkenal di Damansara Utama, Selangor.

Sekiranya mangga itu boleh dibuka, sebuah Hyundai i10 yang ada di dalam kotak besar itu akan menjadi milik anda.

Melalui gimik sebegitu, ditambah dengan laporan meluas media, HSDM sedikit sebanyak berjaya menimbulkan kesedaran pengguna terhadap model kompak yang kemudiannya menggantikan model Hyundai atau Inokom Atos.

Kini, i10 bukan lagi model asing bagi pengguna. Walaupun jumlahnya tidak akan dapat menandingi bilangan model Perodua Viva di atas jalan raya, namun jentera kompak itu masih mampu menarik minat segelintir mereka yang mahukan kelainan.

Biarpun masih berada dalam generasi pertama, i10 sudah menerima banyak penambahbaikan dan ditawarkan dalam beberapa varian. Bermula dengan enjin 1.1 liter Epsilon, kereta kompak itu kemudian dipasang pula dengan enjin Kappa bersesaran 1.25 liter.

Tiga varian i10


GABUNGAN paparan meter analog dan digital yang mudah dibaca.


Demi meningkatkan tahap penjimatan bahan api dan memenuhi spesifikasi emisi pasaran Barat yang ketat, enjin Kappa tersebut digantikan dengan enjin yang dilengkapi sistem CVVT bermula pada tahun lalu. Buat masa sekarang, HSDM menawarkan tiga varian i10 iaitu model 1.1 liter standard, 1.25 liter CVVT standard dan 1.25 liter CVVT berspesifikasi penuh.

Saya menghabiskan hujung minggu lalu memandu i10 1.25 liter Kappa dengan spesifikasi penuh. Perbezaan dengan varian standard boleh dilihat pada penampilan luarannya dan aspek mekanikalnya.

Paling jelas pastinya pada lampu kabus baharu yang berbentuk empat segi bujur. Sebelum ini, lampu kabus itu adalah berbentuk bulat. Gril radiatornya juga ditukar, kali ini nampak lebih lebar dan garang. Pada bahagian belakang pula, i10 cuba untuk kelihatan sporty menerusi spoiler yang dipasang padanya. Pendek kata, penampilan i10 sememangnya kemas dan menarik.

Pemandu dan penumpang akan menghargai ruang dalaman i10 yang luas. Kelegaan pada ruang kepala dan kaki pastinya dihargai oleh mereka yang bertubuh besar. Bukan itu sahaja, tempat duduknya juga besar, membolehkan anda duduk dengan selesa.


UNIT audio yang ada pada i10 mudah dioperasi.


Memahami keperluan ruang penyimpanan barang yang banyak, i10 cuba sedaya upaya untuk memenuhi ekspektasi itu. Selain tempat meletak botol minuman pada ruang tengah dan poket sisi di bahagian pintu, anda boleh menyimpan barang-barang kecil di dalam bekas di bawah tempat duduk penumpang hadapan.

Kereta itu menawarkan paparan papan pemuka yang ringkas. Jadi, sesiapa pun akan mudah untuk membiasakan diri dengan semua butang kawalan yang ada. Sistem audio yang boleh memainkan muzik dalam format cakera padat, MP3, USB dan sambungan AUX itu juga tidak sukar untuk dioperasi.

Secara peribadinya, harga RM54,988 saya rasa agak mahal jika dibandingkan dengan apa yang dipasang pada ruang kabin i10. Untuk harga sebegitu, saya mengharapkan sekurang-kurangnya stereng dan tuil gear itu dibalut kulit serta sedap dipegang. Stereng sedia ada juga kosong tanpa sebarang butang kawalan unit audio.

Namun, kelemahan itu diganti dengan kualiti pemanduan dan pengendalian yang memuaskan. Biarpun enjin 1.25 liter Kappa itu mungkin bukan yang paling berkuasa dalam kelasnya, tujahan kuasanya dapat dirasa dengan agak ketara.

Saya suka apabila melihat jarum rpm naik dengan pantas apabila pedal minyak ditekan dan bunyi enjin mula dapat didengar agak jelas.


UNIT enjin 1.25 liter Kappa dengan sistem CVVT menjanjikan hantaran kuasa yang lancar.


Kuasa yang dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik empat kelajuan itu terasa lancar. Percaya atau tidak, anda boleh memandu i10 pada kelajuan sewajarnya dengan penuh yakin. Malah, ia terasa lebih stabil dan meyakinkan berbanding mana-mana kereta sekelasnya.

Kawalan sterengnya bagus dan tidak terasa terlalu ringan walaupun ia menggunakan stereng kuasa (motor-driven power steering, EPS). Tubuhnya juga kurang membuang ketika mengambil selekoh. Aplikasi brek ABS dengan sistem EBD pula ternyata membuatkan tugas membrek lebih jitu. Varian itu juga lebih selamat dengan kehadiran dua beg udara SRS.

Kepada mereka yang ragu-ragu dengan kebolehpercayaan jenama Hyundai, tawaran jaminannya mungkin boleh mengurangkan sedikit perasaan tersebut. Untuk i10, ia hadir bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sehingga 300,000 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: