Saturday, January 14, 2012

Kia Optima K5


JIKA anda sedang mencari sebuah sedan eksekutif, Kia Optima K5 perlu anda pandu uji.


MASIH mencari sebuah kereta sedan eksekutif (segmen D)? Apa kata anda kunjungi bilik pameran Naza Kia. Di sana sudah ada model baharu menanti yang harus diberi penilaian sebelum membuat pembelian. Itulah Optima K5 serba baharu. Jentera yang dinobatkan sebagai Best of the Best 2011 oleh Red Dot Design Award.

Model itu memiliki tiga elemen utama untuk menarik perhatian pembeli iaitu spesifikasi tinggi, rekabentuk sporty dan harga berpatutan. Ia diedarkan oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Naza Kia) dalam pasaran tempatan. Di sebalik pengenalannya pada 27 Disember lalu, model itu menggalas tugas penting untuk melonjakkan jenama Kia ke tahap lebih tinggi.

Sekali pandang, Optima K5 kelihatan agresif. Gril radiator harimau kelihatan menyerlah di antara lampu hadapan HID Xenon yang diselaraskan secara automatik. Turut dipasang ialah lampu kabus dan LED DRL (daytime running lights). Garisan pada hud dan bampar melengkapkan paras rupanya yang mantap.

Bahagian sisi memaparkan profail dinamik dan sporty menerusi cermin sisi gullwing, fender, pembuka pintu krom dan rim aloi bersaiz 18 inci. Bahagian belakang pula dihiasi spoiler belakang dan bampar dua tona. Tidak lupa juga kombinasi lampu belakang LED, lampu belakang ketiga LED dan pemantul pada bahagian bampar.


STERENG dilengkapi dengan pelbagai butang kawalan.


Duduk sahaja di kerusi pemandu, anda dapat melihat kekemasan susun atur pelbagai butang pada stereng dan papan pemuka. Tukaran gear boleh dibuat menerusi paddle shifter di belakang stereng. Gugusan meter kelihatan mewah, di samping skrin berwarna LCD TFT 3.5 inci yang memaparkan pelbagai maklumat untuk pemandu.

Cermin pandang belakang Kia Optima K5 pula dilengkapi skrin paparan kamera mengundur. Dongakkan kepala ke atas, ada dua bumbung panaromik. Tempat duduknya dibalut material kulit. Lebih menarik lagi, tempat duduk pemandu boleh dilaras dengan hanya menekan butang. Kereta itu juga sarat dengan ruang simpanan barang-barang kecil.

Enjin petrol DCVVT Theta II 2.0 MPI bersesaran 1,998cc yang diberi padanan kotak gear automatik enam kelajuan berupaya menjana kuasa maksimum 165PS @ 6,200rpm dan tork maksimum 198Nm @ 4,600rpm. Masa yang diperlukan bagi pecutan 0 kilometer (km) ke 100km cuma 10.9 saat.




Model itu turut sarat dengan pelbagai aspek keselamatan termasuk enam beg udara, cermin hadapan UV, program kestabilan elektronik (ESP), ABS, EBD, BAS dan TCS+GAC.

Kia Optima K5 yang didatangkan dalam tiga pilihan warna ditawarkan pada harga jualan RM143,888 seunit. Jaminan diberikan ialah selama lima tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: