MATA Nur Sakinah Mohd. Zaki, 11, terpinga-pinga sebentar saat menjejakkan kaki di laman Rebak Island Resort Langkawi petang itu. Di depan matanya, terhampar pasir memutih dan lautan biru bersama bangunan resort yang terserlah sentuhan seni bina tradisional Melayu berasaskan kayu.
Malah, apa yang lebih membuatkan gadis berkulit hitam manis itu teruja, di bawah redup pepohon pokok dan betul-betul menghadap pantai terdapat meja-meja bulat yang dihias indah bersama belon-belon berwarna-warni.
Dekorasi majlis yang tersergam indah itu dikhaskan untuk dia dan kawan-kawannya.
“Saya tidak pernah menjejakkan kaki ke hotel. Hari ini saya berpeluang merasainya malah, hotel ini sangat cantik,” katanya yang mengakui selepas menunaikan solat subuh pagi itu, dia tidak dapat lelap lagi kerana teruja untuk hadir ke majlis Krismas dan Tahun Baru anjuran Rebak Island Resort Langkawi.
Nur Sakinah merupakan salah seorang daripada 20 orang penghuni Rumah Nur Kasih Langkawi yang diraikan dalam majlis minum petang dan amal tersebut. Sebuah lagi rumah amal yang turut diraikan ialah The Charity Club Langkawi.
Gembira diraikan
Menurut Pengurus Rumah Nur Kasih, Kamariah Yaakob, pihaknya amat berbesar hati dengan kesudian Rebak Island Resort yang tidak melupakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik itu.
“Kami baru beroperasi setahun yang lalu dengan menempatkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun. Ini kali pertama kami menerima jemputan seperti ini dengan layanan mewah di hotel ini.
“Selain disajikan dengan makanan-makanan lazat dan pelbagai aktiviti untuk menceriakan kanak-kanak, saya bersyukur kerana pihak berkenaan juga prihatin dengan memberi bantuan kelengkapan peralatan sekolah,” ujar Kamariah.
Antara kelengkapan sekolah yang diterima mereka termasuklah peralatan menulis dan kasut sekolah.
Sementara itu, pengendali rumah amal kanak-kanak The Charity Club Langkawi juga tidak putus menguntumkan rasa kegembiraan saat dapat membawa tujuh orang penghuninya ke Rebak Island Resort petang itu.
Menariknya The Charity Club Langkawi bukanlah hanya diuruskan oleh rakyat tempatan, sebaliknya beberapa warga luar yang berjiwa murni seperti Shella Allum dan Lyn Jarvis turut menyumbang tenaga.
Berasal dari England dan New Zealand mereka memilih untuk mengikuti program Malaysia Rumah Kedua Ku dan mengisi masa di negara dengan aktiviti amal.
Shella memegang jawatan sebagai setiausaha, manakala Lyn pula selaku bendahari.
Menurut Shella, rumah amal tersebut setakat ini membantu anak-anak dan keluarga miskin di Pulau Langkawi.
“Selain membantu kanak-kanak untuk memiliki kelengkapan persekolahan yang lebih baik, kita juga membantu keluarga miskin terutamanya ibu-ibu tunggal di Langkawi.
“Kita membantu dari segi mendapatkan pakaian, bekalan makanan, kesihatan dan kemudahan tandas yang lebih baik. Namun, menyedari pentingnya menyediakan diri mereka untuk masa panjang, kami turut membantu mereka menambahkan kemahiran seperti menjahit,” katanya.
Program perintis
Dalam pada itu, Pengurus Besar Rebak Island Resort, Sandip Mukherjee mengakui, pihaknya amat berbesar hati apabila dapat membantu mengukir sedikit senyuman di wajah kanak-kanak itu.
Katanya, ia merupakan projek pertama seumpamanya bagi Rebak Island Resort dari segi meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik dan membekalkan mereka dengan peralatan sekolah.
Ia merupakan projek perintis dan sudah tentunya akan kita usahakan untuk diadakan lagi pada masa akan datang.
“Saya masih ingat, semasa saya kecil dulu saya pernah menangis apabila tidak mendapat kasut baharu untuk ke sekolah. Tapi akhirnya saya berhenti menangis apabila melihat ada kanak-kanak lain yang tidak langsung mempunyai kasut sekolah,” ujar Sandip mengimbau zaman kecilnya dahulu yang mengajar beliau erti bersyukur.
Dalam majlis tersebut, kanak-kanak tersebut juga dihiburkan oleh penyanyi hotel selain menyertai acara mewarna batik.
Walaupun pada mulanya kebanyakan mereka malu-malu kerana masih tebal dengan sifat intovert dalam diri, namun lama kelamaan masing-masing menunjukkan kreativiti yang tidak kurang hebatnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: