Friday, January 27, 2012

Subjek sains darah daging Irmawati



PADA usia sembilan tahun lagi, Pengarah Pusat Sains Negara (PSN), Prof. Madya Dr. Irmawati Ramli, 41, mengakui beliau suka mengamati keadaan sekeliling menyebabkan dirinya diselubungi pelbagai persoalan.

Pada usia itu, beliau sering kali tertanya-tanya bagaimana berlakunya kejadian air pasang dan surut, cuaca laut yang diingin pada waktu pagi bertukar kepada terik dan bagaimana daun inai yang hijau boleh menghasilkan warna kemerahan di jari.

“Sejak kecil, saya suka memerhati alam sekitar. Seingat saya, perubahan angin pantai yang berlaku menyebabkan saya terfikir panjang bagaimana ia boleh berlaku. Untuk mendapatkan jawapan, kesemua persoalan itu akan diajukan kepada kedua-dua ibu bapa,” ungkap anak jati, Kuala Sungai Baru, Melaka itu.

Bertitik tolak dari situ, minat terhadap alam sekitar semakin mekar dalam dirinya sehinggakan beliau memilih aliran Sains sebaik tamat tingkatan tiga. Dua tahun kemudian beliau akhirnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berbicara lanjut mengenai dirinya selepas tamat SPM, beliau mengikuti program Matrikulasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) selama dua tahun (1988-1990) dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah (1991-1994) dalam program pengkhususan Sains Kimia di universiti yang sama.


AKTIVITI-AKTIVITI yang menarik selaras dengan perkembangan semasa menyebabkan jumlah pengunjung ke PSN semakin meningkat.


Dengan berbekalkan keputusan cemerlang, akhirnya beliau dilantik menjadi pembantu penyelidik pada tahun 1994. Selepas setahun berkhidmat, beliau dihantar ke Universiti Manchaster, United Kingdom dan pulang ke UPM sebagai seorang pensyarah.

Bagaimanapun, hampir 10 tahun menjadi pensyarah di UPM rezeki ibu kepada seorang cahaya mata itu datang bergolek apabila pada tahun 2009 beliau mendapat kepercayaan untuk bergelar Pengarah PSN.

Sudah dua tahun berlalu namun, beliau mengakui jauh di sudut hatinya, beliau tetap merindui kajian-kajian di UPM.

Bagaimanapun, Irmawati tidak menjadikan ia sebagai satu halangan besar sebaliknya masih meneruskan kajian-kajian lain bahkan, masih menjadi penyelia kepada dua pelajar di peringkat doktor falsafah dan sembilan pelajar sarjana yang mengikuti pengajian di UPM.

“Dalam tempoh seminggu, saya akan memperuntukkan satu hari untuk pelajar-pelajar berkenaan. Jika saya tidak dapat hadir ke UPM, mereka akan datang ke pejabat untuk berbincang mengenai pengajian dan perkembangan kajian mereka,” ujarnya,

Dalam pada itu, meskipun terikat dengan jadual kerja yang padat, beliau amat bersyukur kerana suami dan anak memahami tugasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengalaman manis sepanjang bertugas di PSN, beliau mengakui bermalam selama empat hari tiga malam bersama penduduk rumah panjang di Bintulu, Sarawak pada tahun lalu antara pengalaman tidak akan dapat dirasai jika bergelar pensyarah.

“Setakat ini, saya belum pernah tinggal bersama komuniti tersebut. Apabila mendapat peluang ini, saya sangat teruja kerana dapat bergaul dengan mereka selain melihat keunikan budaya mereka dengan lebih dekat,”ujarnya lagi.


IRMAWATI dalam satu majlis anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Sains Negara pada tahun 2010.


Dunia sains

Ketika ditanya mengenai tahap pengetahuan masyarakat di pedalaman terhadap sains, beliau mengakui meskipun mereka tinggal di kawasan pedalaman, ia tidak bermakna mereka tidak mengenal dunia sains cuma golongan tersebut tidak melihat secara langsung mengenai aplikasi kesan sains terhadap kehidupan.

“Sebagai contoh pembangunan Projek Hidroelektrik Bakun yang dijalankan di sana. Mereka menentang habis-habisan projek itu memandangkan terpaksa berpindah ke kawasan lain namun, mereka tidak sedar projek tersebut sebenarnya memberi manfaat kepada mereka juga,” ujarnya.

Mengakui tidak terkecuali daripada cabaran, Irmawati juga seperti insan-insan lain turut melalui detik sukar dalam kerjayanya.

Dalam memastikan semua program PSN berjaya, beliau perlu menyusun semula aktiviti dan melakukan pelbagai transformasi menyeluruh tidak sahaja berkaitan jabatan tetapi juga minda kakitangan.

“Saya mempunyai tanggungjawab yang besar memandangkan PSN telah lama ditubuhkan dan untuk merangka sesuatu aktiviti baharu bukanlah satu tugas mudah di mana idea-idea mengenai program itu perlulah mendapat kata sepakat daripada semua pihak,” jelasnya.

Biarpun baru dua tahun mengepalai PSN, beliau dilihat berjaya melakukan pembaharuan dalam aktiviti-aktiviti yang ingin dijalankan.

Kalau tidak mana mungkin jumlah pengunjung PSN boleh meningkat berlipat kali ganda. Pada tahun 2010, PSN menerima 280,000 pengunjung, manakala pada tahun lalu kira-kira 1.1 juta pengunjung menjejak kaki ke PSM.

Bercerita lanjut mengenai program yang telah menarik perhatian orang ramai, Irmawati mengakui kejayaan pihaknya menghimpunkan 32 dinosaur antara yang meninggalkan kesan kepada pengunjung.

“Mereka teruja apabila dinasour itu lengkap dengan kesan suara.


ORANG ramai diberi peluang melihat secara lebih dekat 32 dinosaur yang pernah wujud di muka bumi kira-kira 162 juta tahun dahulu.


“Pameran yang diadakan itu sekurang-kurangnya berjaya mengetepikan persepsi negatif orang ramai bahawa PSN merupakan sebuah pusat yang diselubungi dengan elemen-elemen yang membosankan,” katanya.

Peningkatan itu juga disumbangkan oleh galeri-galeri baharu seperti Kids Discovery Place!, Energy World dan Kidz World serta taman Science Wonderland yang diwujudkan PSN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: