Friday, January 27, 2012

Kaligrafi Tahun Baru Cina

DALAM beberapa saat sahaja, satu set kaligrafi dapat dihasilkan Yuan.


PERGERAKAN berus buluhnya meluncur umpama terbang di awan. Kadangkala berpusing-pusing menari di atas kertas berwarna merah. Bau dakwat hitam begitu kuat menusuk hidung para hadirin yang kelihatan begitu teruja tatkala penulis kaligrafi itu mempamer bakatnya.

Begitu pantas Gao Yuan menulis perkataan-perkataan Cina sehingga dalam masa beberapa minit sahaja pelbagai kata-kata hikmah dapat ditulisnya.

Yuan yang sudah 10 tahun berkecimpung secara serius dalam bidang penulisan kaligrafi biasanya akan menulis kata-kata positif seperti: Semua harapan menjadi nyata, semoga tahun baru mendatangkan kebaikan dan banyak lagi.

Dia yang berasal dari tanah besar China berkata, hiasan kertas merah tertera kata-kata hikmah itu sebenarnya boleh ditampal di rumah sepanjang masa.

“Namun, disebabkan masyarakat semakin moden, ia lebih banyak dilihat ketika perayaan Tahun Baru Cina sahaja,” katanya yang memerlukan bantuan penterjemah kerana hanya boleh bertutur dalam bahasa Cina.

Ketika perayaan besar masyarakat Cina itu, dua helai kertas merah dengan kaligrafi itu ditampal di kiri dan kanan pintu masuk rumah.

Kata azimat

Ia boleh menjadi sumber kekuatan atau azimat kepada penghuni rumah tersebut mencapai setiap yang diingini seiring dengan susunan perkataan di atas kertas merah itu.

“Perkataan itu dianggap membawa tuah kepada pemiliknya,” ujar Pengurus Besar Viva Mall Sdn. Bhd., Kenny Chin.

Jika seorang pelajar itu sedang menghadapi peperiksaan, kata-kata yang memberi tuah untuknya ditampal supaya dia boleh menjawab dengan tenang seterusnya mendapat kejayaan.

Selain menjadikan kaligrafi sebagai pekerjaan tetap, Yuan turut mahir dalam lukisan klasik Cina dan lukisan minyak di studio lukisannya, Mer Che Art Studio yang terletak di aras satu, pusat beli-belah Viva.


UKIRAN naga emas di tengah-tengah ruang legar Viva Mall menjadi tarikan utama pengunjung.


Dalam pada itu, Viva Mall melancarkan kempen perayaan Tahun Baru Cina bertempat di ruang legar aras bawah.

Sebagai sebuah pusat beli-belah yang memberi penumpuan kepada peralatan dan perhiasan dalaman rumah seperti perabot selain barang-barang gaya hidup Viva Mall mengambil inspirasi seni bina istana Imperial China sebagai tema. Ia terserlah pada setiap dekor yang ada di ruang legarnya.

Para pengunjung pasti akan terpegun apabila melihat ukiran naga berwarna emas dan bersaiz besar yang menjadi titik tumpuan ruang legar Viva Mall.

“Naga emas itu diharap memberi rahmat kekayaan dan kebahagiaan kepada setiap pengunjung,” kata Kenny dalam majlis perasmian tersebut.

Selain itu, hiasan seperti tanglung dan bunga-bungaan memberi perasaan seperti berada di halaman taman istana Cina selain pentas utama mengambil gaya pintu gerbang istana.

Pada akhir majlis, para hadirin dijamu dengan makanan tradisional Cina, yee sang dan persembahan kebudayaan berbentuk tarian dan demonstrasi kaligrafi.

Kempen perayaan Tahun Baru Cina di Viva Mall bermula 7 Januari hingga 7 Februari dengan pelbagai gerai menjual barang-barang persiapan untuk hari kebesaran itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: