Tuesday, November 29, 2011

Cantik belum tentu menarik



Kecantikan sebenar seorang wanita itu lahir dari dalam diri.


ADAKAH pada zaman remaja anda sering dimomokkan dengan tanggapan tiada siapa yang akan 'berkenan' dengan anda dan apabila berada di kalangan khalayak, anda berprasangka tiada seorang pun perasan dengan kehadiran anda?

Mungkin juga anda sering berasa keseorangan dan berasa rendah diri disebabkan kekurangan dari segi fizikal berbanding rakan-rakan lain.

Sebenarnya, bukan semua daripada kita dilahirkan istimewa dengan memiliki wajah yang mempesona.

Namun, sekiranya difikirkan lebih mendalam, mungkin bagus dilahirkan 'kurang sempurna' dari segi penampilan wajah agar tidak terasa riak dengan kecantikan yang dianugerah Tuhan.

Siapa kata insan yang tidak dianugerahkan dengan raut wajah yang kurang sempurna tidak boleh menambat hati orang lain?

Apa yang pasti, setiap insan di bumi ini memiliki keistimewaan masing-masing.

Sesungguhnya tarikan kecantikan itu satu perkara yang subjektif. Cantik pada mata anda, mungkin tidak pada mata orang lain.

Banyak kajian menunjukkan biarpun golongan lelaki dikatakan makhluk yang akan tertarik dengan kecantikan fizikal, namun bukan semata-mata itu saja yang memikat hati mereka.

Ini dibuktikan apabila ramai pasangan yang berkahwin dengan pasangan mereka yang sama cantik tetapi akhirnya bercerai dan sebaliknya berlaku.

Percayalah, biarpun ramai di kalangan manusia yang cantik ini digemari dalam kehidupan mereka, namun mereka selalunya tidak bertuah dalam cinta.

Rahsia di sebalik kata orang bijak dahulu kala ialah dalam setiap perhubungan, ia bukan bagaimana cara anda kelihatan (kecantikan) tapi bagaimana lelaki itu rasa terhadap anda, itu yang penting.

Kecantikan sebenar lahir dari dalam diri biarpun seseorang itu hanya dilihat sebagai gadis biasa dan tidak glamor.

Panduan-panduan ini mungkin boleh menjadikan anda seorang wanita yang dapat menambat hati lelaki:

Beri perhatian penuh

Golongan lelaki sukakan wanita yang sering memberi perhatian penuh kepadanya, mendengar cita-cita dan impiannya, keraguannya, hatinya dan selalu memberinya keyakinan.

Anda penghibur yang baik

Ramai di kalangan wanita yang kehilangan cinta mereka kerana membawa terlalu banyak akses bagasi beremosi selain ada agenda yang tersembunyi dan perengus. Jadilah individu yang menyenangkan pandangan pasangan anda dan melembutkan jiwanya.

Boleh memasak biarpun sedikit

Memang benar, memikat lelaki menerusi perutnya. Ambil kelas memasak atau bertanyakan kepada ahli keluarga mengenai hidangan masakan kegemarannya.

Boleh masuk dalam semua keadaan

Sekiranya anda boleh menyesuaikan diri dalam setiap kegemarannya, mempunyai bakat dan boleh pula bergaul dengan semua orang termasuk rakan-rakan si dia tanpa masalah, ini lebih bagus. Menjadi seorang rakan kongsi kepada si dia bukannya seperti tunggul yang tiada berfungsi.

Jadi seorang yang 'pandai'

Lelaki sebenarnya sukakan wanita yang cerdik dan pandai menguruskan diri dan adakalanya mereka akan kagum dengan anda namun janganlah anda berlagak, meninggikan diri dan sering bercakap besar dengan kebolehan anda itu.

Jadi diri anda sendiri dan jangan jadi orang lain ketika bersama golongan ini serta anda perlu baik dengan semua insan penting bagi dirinya seperti ibunya, adiknya, kawan-kawan dan sebagainya. Sekiranya anda seorang perempuan, jadilah seorang perempuan yang feminin dan bukannya maskulin.

Cari persamaan

Persamaan itu menimbulkan tarikan. Apabila anda berjaya menampakkan diri anda sebagai wanita yang mempunyai banyak persamaan dengannya, ini akan menjadikan si dia tertarik untuk mendekati dan mengenali anda dengan lebih mendalam.

Hampir dengannya

Orang yang paling hampir dengan kita, selalu berada dekat dengan kita, adakah kita mudah melupakannya? Mungkin tidak. Selain persamaan, ahli psikologi menjelaskan bahawa kita mudah tertarik dengan orang yang berada dekat atau hampir dengan kita. Jadi, usahakanlah agar anda selalu berada hampir dengannya.

Hargai pengorbanan guru


SEBAHAGIAN daripada pelajar dan kakitangan meraikan guru-guru pada majlis To Sir With Love di INTI, Subang baru-baru ini.


TO Sir with love itulah luahan hati mahasiswa kursus Diploma Komunikasi Massa Kolej Antarabangsa INTI Subang (IICS) yang semakin menyedari kepentingan serta peranan guru yang tidak pernah kenal erti jemu dalam mendidik mereka sehingga berjaya ke menara gading.

Baru-baru ini seramai 40 guru dari sekitar Lembah Klang telah diraikan pelajar IICS untuk menghargai pengorbanan mereka dalam menabur bakti demi melahirkan insan yang cemerlang lagi terbilang.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lee Hau Neng berkata, To Sir with Love merupakan idea pelajar IICS yang berhasrat untuk merakamkan penghargaan kepada para guru yang telah membimbing mereka sehingga berjaya hari ini.

"Kerjaya sebagai seorang guru untuk mendidik adalah suatu yang mencabar, maka cabaran itu perlu dibalas melalui program penghargaan ini.

"Guru berperanan untuk memberi kita ilmu, oleh itu kita sebagai pelajar perlu patuh dan taat kepada cikgu yang telah banyak berkorban demi melihat kejayaan kami.

"Ilmu sangat penting bagi kita untuk menjadi seorang yang berguna dan guru yang banyak membantu kita. Hari ini kita jemput mereka ke sini dan menghargai mereka," katanya.

Pada majlis penghargaan itu turut diadakan persembahan dan pameran yang menyerlahkan era tahun 60-an untuk membawa para guru kembali ke zaman tersebut.

Cenderahati istimewa hasil kreativiti pelajar turut disampaikan kepada para guru yang berjasa di majlis itu.

Akses percuma perkhidmatan pendidikan Maxis


PENERAJU penyedia telekomunikasi bersepadu Malaysia, Maxis Berhad (Maxis) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjalin perkongsian bijak untuk menyediakan akses percuma kepada perkhidmatan pendidikan utama Maxis menggunakan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekolah yang sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Sandip Das berkata, perkhidmatan baru ini menyediakan pelajar sekolah menengah dengan kaedah pembelajaran yang berasaskan pengalaman dan penerokaan yang boleh diakses online secara percuma.

"Kami berharap bahawa ia akan menjadikan pembelajaran lebih berkesan dan menyeronokkan untuk pelajar.

"Dengan inisiatif ini, kami gembira untuk menyokong usaha kerajaan dalam membina keupayaan, membantu untuk membangunkan sebuah masyarakat masa depan yang celik teknologi, dinamik dan inovatif," katanya dalam satu kenyataan melalui e-mel baru-baru ini.

Kandungan perkhidmatan ini adalah berdasarkan kurikulum pendidikan rasmi yang disampaikan mengikut keperluan pelajar, dan sentiasa diacu untuk menyampaikan satu pengalaman pendidikan yang inovatif.

Kerjasama antara Maxis dan KPM telah dimulakan melalui bengkel sulung yang disertai 120 pengetua dan guru-guru dari 30 buah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Semasa bengkel, guru-guru dan pengetua dapat mengalami dan meneroka penyelesaian pembelajaran Maxis serta ditunjukkan cara-cara untuk mengintegrasikan penyelesaian tersebut ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) harian mereka.

Untuk mewujudkan rasa teruja menggunakan perkhidmatan ini, Maxis memperkenalkan satu cabaran untuk peserta bengkel yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu cabaran sekolah dan cabaran pelajar.

Cabaran tersebut yang dijadualkan berakhir pada 1 Mac 2012 menawarkan hadiah bernilai sehingga RM10,000 bagi setiap sekolah dan RM1,000 untuk setiap pelajar.

Program ini akan diperluaskan kepada 70 sekolah yang lain untuk menjadikan jumlah keseluruhan 100 sekolah sebelum dilaksanakan di 2,300 sekolah di seluruh negara.

Kelab robotik di semua sekolah



Pelajar sekolah rendah dari Kuala Lumpur menjulang piala yang dimenangi apabila diumumkan sebagai johan keseluruhan Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 28 Nov. – Kementerian Pelajaran akan memperluaskan kelab robotik di seluruh negara pada tahun depan bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang kompeten dalam bidang sains dan teknologi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kementerian baru-baru ini dan dipersetujui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, setakat ini hanya 500 daripada 10,000 sekolah rendah dan menengah mempunyai kelab robotik dan jumlah tersebut dilihat agak rendah.

“Lantaran itu, kita mahu memperkembangkan pendidikan robotik ini kerana ia akan memberikan kesan positif untuk membina daya fikir, saing dan juga semangat berpasukan di kalangan para pelajar.

“Tambahan pula, kelab ini adalah penting dan selaras dengan transformasi pendidikan iaitu memberi tumpuan terhadap pembangunan modal insan dan tidak lagi berasaskan kepada peperiksaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penutupan dan penyampaian hadiah Pertandingan Robothon Muda Kebangsaan Ke-6 di sini hari ini.

Pada perkembangan sama, Mohd. Puad berharap semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta syarikat swasta dapat membantu sekolah dalam menubuhkan kelab berkenaan.

Ia kerana, kata beliau, kos untuk menubuhkan sebuah kelab robotik adalah kira-kira RM20,000.

Sementara itu, sebanyak 120 kumpulan dari beberapa sekolah rendah di seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.

Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Jalan Davidson, Kuala Lumpur berjaya memenangi tempat pertama dalam tiga kategori iaitu Lycantron NXT, Galacticon RCX dan Galacticon NXT.

Manakala, SJKC Yuk Chai, Selangor menjuarai kategori Lycantron RCX.

Taylor menang anugerah



PELAJAR Universiti Taylor yang menjuarai Anugerah Paparan Gerai Pameran Terbaik 2011.


PASUKAN daripada Pelajar Pusat Pengajian Seni Bina, Bangunan dan Reka Bentuk (SABD) Universiti Taylor muncul sebagai pemenang utama Anugerah Paparan Gerai Pameran Terbaik 2011 di Pameran Karya Pelajar Seni Bina Tahunan 2011 Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) yang diadakan baru-baru ini.

Pasukan Projek Corrallien itu dianggotai pelajar Sarjana Muda Sains, Sarah Ahmad, Yvonne Tan Jie Yong, Yap Yuan Li, Kwan Teck Hong, Lee Kah Wei, Sim Ee Von, Charina F. Siguty, Chong Eng Wei, Melvin Gan Yew Pang, Joseph Ling dan Hau Jun You.

Ketua pasukan Sarah Ahmad berkata, kemenangan itu membuktikan usaha bekerja secara berkumpulan dalam menjuarai pertandingan ini.

"Kami bersengkang mata setiap malam untuk mendapatkan bahan bagi membina struktur binaan dan berjaya menyiapkan dalam tempoh ditetapkan.

"Kami sungguh gembira apabila diumumkan sebagai pemenang dan segala kerja keras kami ternyata berbaloi sehingga dinobatkan sebagai pemenang," katanya.

Kemenangan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM750 dan sijil penyertaan.

Projek Corrallien menggunakan papan gelugur plastik, pembalut buah, botol plastik, kancing plastik, tali pancing, penyaring plastik dan beg plastik bagi membina struktur seperti karang bertemakan laut.

Sementara itu, Ketua pasukan bersama, Yvonne Tan Jie Yong berkata, idea itu dicetuskan melalui kreativiti berdasarkan pemandangan laut.

"Idea kami menjurus kepada keindahan di dasar laut. Kami teruja apabila hasil karya kami diktiraf dan menjuarai pertandingan ini, "katanya.

Ana Raffali jadi ‘Yang Dipertua Dewan’



Ana Raffali (dua dari kanan) bertindak sebagai ‘Yang Dipertua Dewan’ mendengar hujah yang disampaikan pihak pencadang pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti di UiTM, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Nov. - Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) pada hari kelima diceriakan dengan kehadiran penyanyi popular, Ana Raffali yang menjadi ‘Yang Dipertua Dewan’ pada sidang ke-89 di Anjung Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Kehadiran artis yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu menggamatkan suasana ‘Dewan Rakyat’ yang bersidang pada pukul 1 pagi.

Ana Raffali yang datang serba lengkap berbaju kurung berwarna biru itu memulakan sidang dewan perbahasan antara kerajaan dan pembangkang yang melibatkan pelajar ijazah sarjana muda dari Fakulti Komunikasi Penyiaran Media UiTM.

Beliau yang merupakan Alumni Fakulti Pendidikan (Tesl) UiTM, dilihat begitu komited mengendalikan sidang dewan ala Parlimen itu yang membawa usul perbahasan ‘Pendidikan Seks Wajar Diperkenalkan Di Sekolah Rendah’.

Ana Raffali ketika ditemui selepas mengetuai sidang ‘Dewan Rakyat’ itu berkata, beliau begitu teruja apabila terlibat menjadi salah seorang peserta Debat 211 Jam dalam cubaan memecahkan Malaysia Book Of Records (MBR).

“Kehadiran saya menyertai Debat 211 Jam yang berperanan sebagai ‘Yang Dipertua Dewan’ pada sidang ke-89 mengembalikan nostalgia ketika menuntut di UiTM pada sekitar 2005 hingga 2007.

“Ketika di universiti saya juga merupakan salah seorang pemidato yang aktif selain pernah menjawat jawatan sebagai pengarah program Debat Bahasa Inggeris 50 Jam,” katanya.

Ana Raffali berkata, melalui program debat seperti itu, ia menjadi motivasi dan pengalaman berharga walaupun kini bergelar penyanyi.

Katanya, manfaat yang diperolehi pada program itu menjadi pendorong kepadanya untuk menawarkan diri menyertai Debat 211 Jam.

UiTM berjaya atasi rekod lama



Wakil pembangkang, Muhammad Hezri Razali dari Fakulti Perancang Seni Bina dan Ukur menyampaikan perbahasannya kepada pihak pencadang pada Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti di UiTM, Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 28 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya mengatasi rekod debat paling lama yang tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) pada sesi ke-101 program Debat Bahasa Melayu 211 Jam Tanpa Henti (Debat 211 Jam) di sini hari ini.

Rekod debat MBR paling lama sebelum ini yang dicipta oleh pelajar UiTM pada 2006 adalah selama 100 jam, 10 minit dan 44 saat.

Rekod itu berjaya dipecahkan kira-kira pada pukul 1 petang, hari kelima Debat 211 Jam yang berlangsung tanpa henti selama sembilan hari bermula 24 November lalu sehingga 2 Disember ini.

Rekod debat itu akan diteruskan lagi bagi menamatkan baki 111 jam dan seterusnya mencapai sasaran Debat 211 Jam yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Sidang ke-101 itu diwakili oleh enam peserta dari UiTM Samarahan, Sarawak yang terdiri daripada pelajar Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Pengurusan Maklumat, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Perancang Seni Bina dan Ukur.

Usul perbahasan pada sesi itu ialah 'Ancaman Subversif: 1Malaysia Penawarnya' yang telah digagaskan oleh pihak pencadang mewakili kerajaan iaitu Nur Khairanie Nasya Jasni, Mohd. Jastu Yusof dan Mohd. Syafiq Asyraf Mod. Zaini.

Pihak pembangkang pula diwakili oleh Sebastian Dominic AK Augustine Alok, Alena Abu Bakar dan Sharmilla Asmiza Saiful Bahri.

Bagi tempoh perbahasan untuk hari kelima ini, sebanyak 101 usul dibahaskan oleh 188 pasukan melibatkan seramai 580 pendebat iaitu 353 pendebat wanita dan 227 pendebat lelaki.

Daripada jumlah itu, sebanyak 172 pasukan merupakan penyertaan dalaman daripada 11 fakulti, Pusat Kokurikulum (Pengucapan Awam dan Komander Kesatria), Kelab Pidato dan Debat, UiTM Dungun, UiTM Kampus Chendering, UiTM Kelantan, UiTM Melaka dan UiTM Sarawak.

Manakala terdapat 16 penyertaan pasukan luar dari institusi-institusi pengajian tinggi (IPT), organisasi dan institusi luar lain termasuklah Akademik Debat Nusantara, Universiti Multimedia (MSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Institut Pendidikan Guru Gaya Sabah.

Sementara itu, Penasihat Program Debat 211 Jam, Noriza Hussin berkata, usaha memecahkan rekod 100 jam telah dicapai dan masih memerah keringat tenaga untuk mencapai sasaran rekod MBR terbaru 211 jam.

"Kita masih menanti dengan harapan yang tinggi untuk mencapai cubaan MBR Debat 211 Jam bagi mencatatkan nama UiTM di dalam buku tersebut.

"Kita ada baki selama lima hari lagi untuk merealisasikan Debat 211 Jam yang bakal menaikkan imej UiTM dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

UiTM terus ungguli Karnival Sepak Takraw Kebangsaan



UTUSAN-ASTRO menjuarai kategori Media Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT 2011 selepas memenangi liga sepusingan melibatkan lima regu, baru-baru ini.


UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memastikan status jagoan sirkit universiti milik mereka tidak tergugat setelah menguasai dua tempat teratas kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2011 baru-baru ini.

Dibimbing Zaidi Ismail, regu UiTM B menewaskan rakan sepasukan, E 2-1 (6-15, 15-12, 15-10) sambil kedua-duanya membolot RM2,300 selain menguasai kategori Wanita apabila UiTM A menundukkan Pulau Pinang A 2-1 (6-15, 16-14, 15-10) dan ganjaran RM900.

Bagi kategori Bawah 18 Tahun, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) A seperti diduga selaku pilihan utama, menghampakan cabaran Pulau Pinang 2-1 (15-13, 10-15, 15-6) pada perlawanan akhir untuk mengaut ganjaran RM900.

Sekolah sukan nasional itu turut membolot dua tempat teratas kategori Bawah 15 Tahun dan ganjaran berjumlah RM1,150 setelah regu C mereka menewaskan regu D 15-13, 8-15, 15-11 pada perlawanan akhir.

Regu Utusan-Astro pula menjuarai kategori Media dengan meraih ganjaran RM1,000 setelah menewaskan RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto masing-masing dengan 2-0 (16-14, 15-12); (15-13, 15-7); (15-9, 15-13) dan (15-5, 15-10) dalam liga sepusingan.

Utusan-Astro membariskan Mohd. Shuib Ab. Latip (tekong), Muhamad Hairul Kusdi (pelibas) dan Alisaifuddin Kamis (pengumpan); naib juara dan RM750 dimenangi RTM-Filem Negara (Azmi Khamis, Manja Bah Lunggok, Muhammad Haffizul Ibrahim) dan ketiga serta RM500 milik MDAG-RTM (Daud Abdullah, Mohamad Naquib Idris, Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali).

Hadiah karnival empat hari yang bernilai hampir RM15,000 selain ditaja Pallas Rejam ini disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Abdul Rahman Palil.

Sebanyak 75 regu menyertai karnival edisi ketiga ini dengan 12 bagi kategori Terbuka yang dimenangi PDRM A setelah menewaskan Baik Der B 15-12, 15-11, IPT (18), Bawah 18 (sembilan), Bawah 15 (22), Wanita (sembilan) dan Media (lima).

Nilai tinggi kuasa dan gaya



ULTRABOOKASUS Zenbook mengkombinasikan kesempurnaan kuasa dan reka bentuk cukup menarik.


APABILA kemahiran seni lakur diadun bersama kecanggihan teknologi moden, maka terciptalah produk pengkomputeran yang sofistikated dan cukup sempurna.

Itu ditampilkan pada produk komputer riba ultra terbaru daripada ASUS iaitu Zenbook yang ‘melangkah’ bergaya memasuki pasaran negara awal November lalu.

Dilihat sebagai model komputer riba ultra terawal diperkenalkan di Malaysia, peranti ASUS generasi baru itu hadir bersama kemasan elegan dan spesifikasi unggul untuk kepuasan operasi maksimum.

Menurut Pengurus Negara ASUS Malaysia, Staney Chen, pembangunan ASUS Zenbook memberi fokus kepada nilai kesederhanaan tetapi penuh bertenaga.

‘‘Kita ingin mencari keseimbangan dalam menawarkan teknologi kepada para pengguna yang mempunyai pelbagai latar belakang dan ia bukan sesuatu yang mudah.

‘‘Justeru, apabila Zenbook mengkombinasi definisi kecantikan dan kesempurnaan kuasa, maka ia menghasilkan sesuatu diluar jangkaan,’’ katanya pada pelancaran komputer komputer riba ultra itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ASUS Zenbook mempunyai binaan luar licin berkilat diperbuat daripada metal aluminium halus berwarna silver metalik yang eksklusif.

Rekaannya juga cukup unik di mana ia mempunyai ketebalan tiga milimeter (mm) di bahagian depan dan sembilan mm di lengkungan belakang serta berat hanya 1.1 kilogram (kg).

Daripada sudut teknikal, model berkenaan dipacu pemproses Intel Core generasi kedua, storan SSD SATA Revision 3.0, sistem operasi Windows 7, Bluetooth 4.0 dan USB 3.0.

Ciri unik lainnya, ia tersedia bersama fungsi menghidupkan semula sistem (resume) hanya mengambil masa hanya dua saat selain dilengkapi teknologi sirip penyejukan berbentuk V diperbuat daripada tembaga untuk penambahbaikan sistem pengudaraan.

Bagi tujuan penjimatan tenaga, ASUS Zenbook terbina bersama teknologi Super Hybrid Engine II untuk fungsi kawalan bateri pintar dan memberi lebih 25 peratus kuasa.

Menerusinya juga, sistem akan menyokong semua fail secara automatik sebaik sahaja kuasa bateri berada di bawah paras lima peratus bagi mengelakkan kehilangan data.

Dengan tawaran harga permulaan RM3,200, ASUS Zenbook didatangkan dalam dua model iaitu UX21 dan UX31.

Jimat kos peruncitan



Daisuki Takeuchi (dua dari kanan)bersama produk terbaru pada majlis pelancaran Twinpos Series of Point of Sales di Kuala Lumpur baru-baru ini.


NEC Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (NEC) baru-baru ini mengumumkan pelancaran Twinpos G Series terbaru model G5 dan G7, penambahan kepada produk terminal Point of Sale (POS) Twinpos Series sebelum ini.

Dengan menggunakannya , syarikat peruncitan dan perkhidmatan dijangka mampu mengurangkan kos pemilikan keseluruhan (TCO) untuk pelanggan melalui perkhidmatan menakjubkan, diyakini dan penjimatan tenaga.

NEC telah menempa sejarah dengan menyediakan penyelesaian peruncitan dan perkhidmatan menjangkau pasaran antarabangsa.

Twinpos G Series telah diperkembangkan berdasarkan pengalaman melalui kejayaan tahun demi tahun sebagai syarikat peneraju penyelesaian peruncitan dan perkhidmatan global.

Barisan produk G Series direka untuk memenuhi keperluan pasaran yang sentiasa berkembang.

Menurut Laporan Runcit Malaysia suku ke empat (Q4 2011) yang dikeluarkan oleh Business Monitor International (BMI) dalam bulan Ogos lalu, jumlah jualan runcit diramal meningkat kepada RM279.83 bilion menjelang 2015, berbanding nilai semasa sebanyak RM182.44 bilion.

Peningkatan pendapatan boleh guna dan industri pelancongan yang kukuh menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan berkenaan.

Segmen makanan runcit dijangka mendapat 28.4 peratus dalam tahun 2011.

Malaysia, sebagai sebuah negara dengan pasaran runcit global yang mantap di Asia, jualan industri diramal meningkat sebanyak 36.7 peratus pada tahun 2015, didokong oleh pendapatan berasaskan pengguna golongan pertengahan dan atasan negara yang semakin bertambah.

Pelancongan terus menjadi penyumbang utama sektor runcit negara dengan anggaran kemasukan 24.6 juta pelancong dalam 2010, memberi pendapatan sebanyak RM59.6 bilion satu peningkatan ketara daripada RM53.4 bilion yang diraih tahun sebelumnya.

Ciri-ciri penting Twinpos G Series yang menyumbang kepada kekurangan TCO adalah:

1) Kos penyelenggaraan dikurangkan melalui perkhidmatan bermutu, berkualiti dan diyakini.

Alat-alat boleh diganti tanpa memerlukan alatan atau kakitangan penyelenggaraan khusus, mengurangkan 70 peratus pengurangan masa diperlukan bagi mengganti bahagian di lokasi.

Kawalan kualiti yang sangat ketat dan pengimbasan komponen menjadikan ia berkualiti tinggi dan diyakini.

2) Kelebihan penyelenggaraan terpencil.

Pengurusan membantu melalui peruntukan penyelenggaraan terpencil meliputi terminal stor pelanggan yang tersebar keseluruhan stor pelbagai di kawasan luas.

Penyelenggaraan berkenaan pemacu perisian boleh didapati di kawasan terpencil.

Kerosakan yang dikesan melalui operasi terpencil dan pembaikan boleh diselesaikan melalui penghantaran kakitangan penyelenggaraan yang efisien sekiranya diperlukan.

3) Perkembangan perniagaan pelanggan disokong oleh bekalan produk jangka panjang.

Bekalan produk sama spesifikasi, dijamin selama lima tahun selepas produk dikeluarkan. Pelanggan tidak perlu menanggung beban pertukaran spesifikasi kepada perkakasan.

Pelanggan tetap akan disokong berterusan oleh khidmat bekalan alat-alatan sehingga lapan tahun.

4) Produk mesra alam sekitar menawarkan dua ciri iaitu penggunaan tenaga rendah dan berprestasi tinggi.

Pengarah Urusan NEC Malaysia, Daisaku Takeuchi berkata, dengan meningkatnya pendapatan boleh guna dan sumbangan pembangunan dari industri pelancongan dengan kukuh menjana perkembangan industri runcit negara.

"Sebagai pilihan POS yang lebih mudah bagi membantu menurunkan TCO untuk pelanggan peruncitan dan perkhidmatan di seluruh negara ketika mereka melebar kedudukan geografi skala perniagaan," katanya pada majlis pelancaran Twinpos G Series Terbaru di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi dengan lebih ramai orang mengguna Jaringan Rangkaian Pintar' atau Cloud dan khidmat berkenaan Cloud.

"Kami juga berharap pelanggan akan menukar mod operasi dari cara konvensional pengurusan alir-kerja dan data mereka dari sistem lokal dan bertukar kepada operasi yang melibat Cloud," katanya.

Bagi mendapat maklumat lanjut mengenai Twinpos G Series NEC, sila layariwww.necmalaysia.com.my.

Memacu inovasi daripada nanoteknologi


Peralatan photoluminescence spectrometer dan Raman Spectrometer bagi pengukuran fotoluminasi dan ketulenan bahan.


PENUBUHAN Unit Khas Inovasi (UNIK) yang telah di umumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai tahun lepas bertujuan memperkukuhkan strategi dan polisi untuk membantu mempromosikan inovasi secara menyeluruh kepada masyarakat.

UNIK yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi pelengkap kepada penubuhan Pusat Inovasi Negara (MyNIC) yang ditubuhkan pada Oktober 2009.

Ia bertujuan menyerapkan inovasi sebagai satu amalan di kalangan rakyat.

Perdana Menteri juga telah menyatakan bahawa kerajaan bersetuju supaya pembangunan nanoteknologi menjadi sumber baru dalam Model Baru Ekonomi (MBE).

Nanoteknologi merupakan satu bidang yang kehadapan dalam pembangunan teknologi pada masa ini.

Justeru itu amat penting bagi Malaysia untuk tidak ketinggalan dalam bidang nanoteknologi.

Nanoteknologi juga telah mendapat perhatian dalam agenda besar negara iaitu dalam agenda inovasi negara , MBE dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sokongan kerajaan dalam bidang nanoteknologi amatlah bermakna melalui pelancaran Inisiatif Nanoteknologi Kebangsaan(NNI) pada tahun 2006, penubuhan Direktorat Nanoteknologi Kebangsaan (NND) dan penganjuran Ekspo dan Sidang Kemuncak NanoMalaysia 2011.

Nanoteknologi merupakan teknologi pada tahap atom atau pada skala perbilion meter. Konsep teknologi nano telah diperkenalkan pada tahun 1956 dan telah mula menarik perhatian secara lebih meluas pada tahun 90an.

Teknologi berkenaan telah membawa harapan baru kepada pelbagai aplikasi bertahap tinggi misalnya dalam bidang telekomunikasi, penderia berketepatan tinggi, pelbagai peranti, punca tenaga berkeupayaan tinggi dan lain-lain.

Permasalahan teknologi masa kini memerlukan penyelesaian berinovasi berdasarkan kepada ilmu pengetahuan baru.

Oleh itu, teknologi berkenaan dilihat mempunyai keupayaan dalam menangani permasalahan teknologi masa kini.

Banyak penyelidikan dan penghasilan produk berasaskan nanoteknologi merupakan inovasi daripada teknologi masa kini.

Berdasarkan keyakinan sains sekiranya bahagian berfungsi dalam sesuatu produk diinovasikan pada tahap nano maka kecekapan akan meningkat sehingga beribu kali ganda.

Oleh itu secara amnya, nanoteknologi berupaya memacu inovasi bagi meningkatkan keupayaan produk-produk masakini di samping menghasilkan produk-produk baru yang belum wujud sebelum ini.

Peranti sel solar telah lama dibangunkan dan telah diguna secara komersial sama ada dalam bidang penjanaan tenaga elektrik sehinggalah keperanti-peranti elektronik.

Bagaimanapun dengan perkembangan dan permintaan teknologi yang mendesak termasuk kesedaran dalam teknologi hijau dan pembangunan pembuatan kereta bertenaga solar memerlukan keupayaan sel solar yang tinggi.

Kini inovasi dalam bidang ini amatlah diperlukan. Teknologi fabrikasi, reka bentuk dan penggunaan bahan berfungsi masa kini dilihat tidak dapat memenuhi permintaan ini.

Oleh itu, nanoteknologi diyakini akan mengambil tempat bagi meningkatkan keupayaan sel solar dengan pembangunan proses fabrikasi-nano, reka cipta dan yang lebih penting adalah penemuan bahan-nano yang telah menunjukkan keupayaan yang amat menyakinkan.

Sel solar yang dibangunkan berasaskan teknologi nano dijangkakan meningkatkan keupayaan sehingga sekitar 40 peratus.

Produk kosmetik merupakan bidang yang paling banyak menggunakan inovasi dalam teknologi nano.

Produk-produk pemutih kulit, antipenuaan, antikedut ,pencuci muka dan lain-lain produk telah banyak dipasarkan dan mendapat permintaan amat menggalakkan.

Sesetengah produk masih menggunakan bahan aktif yang sama tetapi telah diinovasikan berasaskan nanoteknologi.

Pengenalan konsep pengangkut dalam industri kosmetik berasaskan nanoteknologi merupakan asas inovasi produk-produk kosmetik.

Pengenalan pengangkut bersaiz-nano merupakan inovasi paling berpotensi.

Dengan nanoteknologi sistem pengewapan bagi membuka liang rongga kulit tidak diperlukan tetapi memadai hanya menyapu krim yang mengandungi pengangkut-nano dan ia akan masuk ke bawah lapisan kulit.

Selain industri kosmetik, penggunaan nanoteknologi amat berpotensi dalam bidang farmaseutikal. Ia juga berasaskan kepada idea masa kini yang telah dihasilkan semula berasaskan nanoteknologi dengan keyakinan akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penggunaannya.

Sistem pengangkut ubatan dalam badan telah mula digunakan dengan pengenalan pengangkut-nano.

Dengan penyalutan ubatan pada partikel bersaiz-nano atau pembungkusan ubatan pada saiz nano akan meningkatkan keberkesanan penggunaan ubatan di samping mengurangkan lebihan ubatan yang tidak digunakan melalui pelepasan terkawal.

Sistem pengangkut-nano dalam perubatan dijangka akan lebih maju lagi dengan jangkaan akan memperkenalkan sistem pengangkut-nano yang boleh dikawal melalui komputer.

Oleh itu ia akan ditujukan terus dengan lebih tepat kepada bahagian yang dikenal pasti.

Bidang pertanian merupakan aktiviti warisan dan kekuatan kepada negara.

Usaha-usaha untuk menjadikan pertanian sebagai satu bidang yang lebih bermanafaat telah banyak dijalankan.

Selain menerapkan konsep pertanian satu perniagaan, konsep inovasi juga mestilah diambil berat dalam industri pertanian.

Inisiatif tersebut amat diperlukan untuk terus memartabatkan lagi bidang pertanian sebagaimana di negara-negara Eropah dan negara maju yang lain.

Oleh itu, nanoteknologi dilihat sebagai salah satu alternatif bagi inovasi dalam bidang pertanian.

Walaupun secara amnya persepsi bahawa aplikasi nanoteknologi kebanyakannya tertumpu kepada aplikasi elektronik dan komunikasi namun sebenarnya ia mempunyai keupayaan amat besar dalam inovasi pertanian.

Pengenalan baja pelepasan perlahan berasaskan nanoteknologi dijangka akan meningkatkan hasil sebanyak dua puluh peratus.

Kawalan racun perosak menggunakan nanoteknologi meningkatkan keberkesanan kawalan.

Persekitaran dan perubahan iklim yang tidak menentu memerlukan pemantauan secara lebih tepat, dengan menggunakan penderia-nano yang berupaya memberi maklumat dengan lebuh tepat.

Industri penghasilan produk makanan telah lama berkembang dengan pelbagai teknologi.

Namun ia akan mendapat lebih faedah dari inovasi berasaskan nanoteknologi iaitu meliputi penghasilan makanan, pembungkusan makanan dan keselamatan makanan.

Rasa makanan akan lebih sedap apabila saiz butiran kandungan pada tahap nanometer misalnya coklat dan aiskrim akan rasa lebih sedap dan mesra lidah.

Pembungkusan makanan menggunakan pembungkus bersalut lapisan nano akan memastikan kesegaran makanan akan lebih lama.

Selain itu juga, sistem keselamatan terutamanya pencemaran bahan kimia dan lain-lain pencemaran berbahaya dapat dikesan pada ketepatan tinggi dengan menggunakan peranti penderia-nano.

Selain itu, banyak lagi inovasi berasaskan nanoteknologi telah diperkenalkan bagi peralatan kegunaan seharian.

Ini termasuk penghasilan kaca bersih-sendiri, penapis air nano yang dapat memberi kualiti air yang lebih bersih, permukaan bebas bakteria melalui salutan-nano, penapis udara-nano berkualiti tinggi dan banyak lagi produk masa kini

Inisiatif bagi menggalakkan penyelidikan dan pengkomersialan produk berinovasi berasaskan nanoteknologi patutlah dilihat dan diberi perhatian sebagai salah satu alternatif yang berkesan.

Ia bersesuaian dengan saranan Perdana Menteri bagi menterjemahkannya dalam agenda inovasi negara dan MBE.

Soya ganti santan dalam nasi lemak



Sampel lauk kari ayam versi Melayu yang digantikan sebahagian santan dengan susu kacang soya.


KEMAKMURAN ekonomi sesebuah negara biasanya dapat dilihat daripada gaya hidup rakyatnya. Gaya hidup itu pula meliputi pelbagai aspek antaranya dilihat daripada di mana mereka menginap, jenis kediaman , jenis pakaian yang dipakai , jenis kenderaan yang dinaiki sehinggalah kepada makanan.

Dengan kayu ukur yang disebutkan itu, tidak sukar membandingkan keadaan bagi rakyat sesebuah negara terutama negara makmur atau negara yang mana penduduk mereka mengalami kebuluran.

Begitupun, negara yang rakyatnya mengalami kebuluran merupakan masalah ketika ini tetapi tanpa kawalan juga, akhirnya rakyat negara kaya mudah terjerumus kepada masalah kerana terlebih makan atau tersalah makan.

Banyak negara maju yang rakyatnya mengalami obesiti atau kegemukan, sama ada disebabkan gaya pemakanan yang salah atau pengambilan makanan berlebihan.

Malah faktor kemiskinan juga boleh mengakibatkan gejala kegemukan kerana gaya pemakanan yang salah.

Negara seperti Malaysia dikategorikan sebagai negara makmur dan sekali gus rakyatnya berdepan dengan gaya pemakanan yang salah termasuk, makan berlebihan atau makanan yang berlemak dan akhirnya masalah kegemukan.

Gemarkan makanan berminyak, berlemak, makan pada waktu lewat malam dan makan tidak mengikut piramid makanan yang betul adalah antara faktor-faktor penyumbang kepada masalah tersebut.

Rakyat Malaysia gemarkan makanan berlemak, berkuah santan atau minyak berlebihan. Hidangan yang pelbagai itu adalah menu rakyat negara ini.

Nasi lemak, roti canai dan bahan cicah serta sambal tumis adalah menu yang dicari pada waktu sarapan pagi. Sebab itu, kelapa seakan tidak mencukupi untuk penduduk negara ini. Santan dianggap sebagai penyedap makanan meskipun ramai sudah mengetahui pengambilan santan secara berlebihan boleh menjadi 'racun' pembunuh secara perlahan dan senyap.

Hari ini, banyak usaha telah dilakukan bagaimana santan kelapa yang begitu diminati perlu diganti kepada bahan lain yang lebih sihat .

Jika terdapat percubaan menggantikan santan kelapa dengan bahan berasaskan susu kacang soya yang dianggap lebih baik, maka itu sebahagian daripada usaha tersebut.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), usaha yang sama sedang rancak dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan.

Projek tersebut menurut ketua kumpulan penyelidiknya, Zuraidah Nasution, dimulakan pada awal tahun ini setelah mendapat peruntukan dana daripada UMT menerusi Tabung Bantuan Penyelidikan Khas 2011.

''Projek ini akan berakhir pada awal tahun 2012 dan kos pembiayaan dana ialah berjumlah RM 20,000 ,"katanya yang diwawancara menerusi emel.

Penyelidikan tersebut bertujuan menggantikan santan kelapa sebagai bahan tambahan utama dalam masakan.

Kajian itu dijalankan bertujuan untuk melihat kesan penggantian santan kelapa dengan susu kacang soya dalam dua masakan popular rakyat Malaysia iaitu nasi lemak dan lauk kari ayam versi Melayu terhadap ciri-ciri fizikal, kimia dan mikrobiologi serta penerimaan pengguna.

Penggantian sebahagian daripada santan dengan susu kacang soya dalam masakan tempatan adalah kerana susu kacang soya mengandungi lemak tidak tepu yang lebih tinggi.

Ini memberi kesan kesihatan yang lebih baik berbanding lemak tepu yang kurang sihat yang terdapat dalam santan.

''Kajian menggantikan santan dengan susu kacang soya dalam peratusan yang berbeza dijalankan oleh tiga orang pensyarah dan enam orang pelajar tahun akhir,"ujarnya. mewakili kumpulan penyelidik berkenaan.

Selain Zuraidah, penyelidik lain yang terlibat dalam penyelidikan tersebut ialah Dr. Mohd Nizam Lani dan Aziz Yusof , selain pelajar terbabit.

Beliau boleh dihubungi di zuraidahn@umt.edu.my.

UMT fokus kajian makanan tempatan



Penghasilan pelbagai produk makanan berasaskan bahan mentah tempatan menjadikan UMT dikenali sebagai pusat pengajian yang mengutamakan produk tempatan dan meningkatkan nilai pemakanan.


AGAK menarik untuk melihat pembabitan sebuah universiti yang memberi fokus kepada bidang pemakanan.

Ini kerana, pelbagai keunikan makanan akan ditampilkan menerusi penyelidikan menggunakan produk berasaskan tanaman tempatan.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antaranya yang memfokuskan penyelidikan makanan tempatan dengan menghasilkan pelbagai jenis makanan sama ada berat atau ringan.

UMT menerusi Jabatan Sains Makanan, Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan (FASM) telah memperkenalkan pelbagai jenis makanan yang berasaskan rosel melalui Roselle Special Interest Group (RSIG) seperti ais krim, yogurt, jeruk, gegelung buah (leather bar) dan biskut.

Menurut Ketua Jabatan Sains Makanan, fakulti berkenaan, Dr. Amir Izzwan Zamri, pihaknya telah mengenal pasti tidak kurang enam tanaman tempatan yang diberi fokus untuk dijadikan asas menghasilkan pelbagai jenis makanan seperti nira nipah, buluh madu, coklat, buah-buahan nadir dan produk laut.

''Projek-projek berkenaan bertujuan mempelbagaikan makanan dan mempopularkan semula makanan yang kian pupus," katanya.

Beliau memberi contoh, antara kaedah mempelbagaikan jenis makanan ialah membuat aiskrim daripada rosel yang kini dalam proses ujian pasaran .

Begitu juga penyelidikan mengenai nira nipah yang juga dijadikan bahan asas pembuatan aiskrim, serbuk, gegelung buah, produk biskut, jeli dan juga jem.

Malah produk aiskrim nira (Nira Delights) telah memenangi pingat emas, Platinum dan Anugerah Khas Reka Cipta Terbaik (Kategori Pengguna) daripada The Foundation of Support of Iranian Elites 2008, pada Pameran Reka Cipta British dan perak pada Pameran Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2007. Ini membuktikan bahawa produk nira bukan sahaja diterima di arena tempatan malah di luar negara.

Satu daripada produk tempatan yang dihasilkan ialah menggunakan buluh madu yang mana penyelidikan bertujuan mengenal pasti kandungan aktifnya dan kesesuaiannya untuk dijadikan produk-produk sampingan.

Penyelidikan lain termasuk mengubahsuai penggunaan lemak koko dengan menggunakan bahan gantian lain bagi mendapatkan bahan berguna yang berbeza selain mengurangkan lemak yang terdapat dalam coklat .

Mengenai penyelidikan buah-buahan nadir beliau berkata, ia melibatkan ceri Terengganu, buah mentega dan buah cermai yang digunakan untuk menghasilkan jem, sos, gegelung buah dan lain-lain produk.

Selain itu, penyelidikan mengenai produk perikanan seperti udang lipan, belut, haruan, ketam ragi, kepah dan lokan juga dijalankan untuk menghasilkan banyak produk hiliran dan makanan tradisional.

Kebanyakan sumber perikanan ini mempunyai nilai pemakanan yang tinggi dan tidak digunakan secara komersial.

Aktiviti lain termasuk sebagai penasihat projek Kelab Student in Free Enterprenurship (SIFE) yang memenangi tempat pertama BSN Venture Challenge 2010 dengan projek komuniti berasaskan nira nipah.

Projek berkenaan disasarkan untuk membangunkan penggunaan nira nipah yang pada ketika ini terbatas penggunaannya.

Projek yang dijalankan bersama dengan komuniti di Yan, Kedah dengan bantuan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan bahawa aktiviti UMT tidak hanya terbatas di Terengganu malah boleh membantu komuniti di seluruh negara.

Selain itu, fakulti berkenaan juga mengadakan bengkel penghasilan produk makanan komersial serta khidmat nasihat industri kecil.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel tanggungjawab sosial universiti yang memberikan pendedahan kepada golongan wanita dan ibu tunggal. Mereka diberi latihan secara percuma dalam penghasilan produk-produk hiliran seperti kordial, jem, cincau dan produk-produk berasaskan soya.

Pada masa sama, jabatan berkenaan juga melalui kursus yang diajar menggalakkan pelajar mencuba pelbagai kaedah untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat yang menjadi kegemaran penduduk negara ini.

Kejayaan fakulti berkenaan dalam beberapa penyelidikan sebelum ini disokong bukan sahaja oleh tenaga pelajar dan pelajarnya yang semakin kreatif tetapi juga dibantu oleh kemudahan canggih bersesuaian dengan keperluan penyelidikan.

Antara kemudahan yang disediakan adalah lima makmal (Makmal Analsis Kimia, Makmal Sains Makanan, Makmal Teknologi Makanan, Makmal Penyediaan Makanan, Makmal Konfeksionari) dan Restoran Jabatan Sains Makanan.

''Kemudahan ini membolehkan pelajar boleh menjalankan analisis kandungan makanan dengan menggunakan alat-alatan terkini, menggunakan alat-alatan untuk pemerosesan, penghasilan makanan berasaskan tenusu dan coklat serta menjalankan perniagaan secara praktikal di restoran," ujarnya .

Sebagai contoh kata Dr. Amir Izzwan, kajian juga dijalankan untuk menghasilkan nasi lemak yang lebih menyihatkan iaitu menggantikan santan dengan bahan lain seperti kacang soya.

Penyelidikan melalui fasa uji rasa, penyelidikan kandungan nutrient dan jangka hayat makanan. Keputusan menunjukkan bahawa campuran susu soya boleh diterima dengan baik dan meningkatkan nutrient yang ada didalam nasi lemak

Meskipun projek berkenaan masih di peringkat kajian, pihaknya yakin ia boleh diterima sekiranya rakyat negara ini menyedari kepentingan menjaga kesihatan dengan mengambil diet yang sihat.

Selain itu banyak kajian-kajian lain yang dilakukan untuk menghasilkan makanan yang lebih sihat tetapi menyelerakan.

Antaranya, memanfaatkan bahan mentah asas yang akan diteroka adalah ubi-ubian (kanji), produk berasaskan bahan sampingan jagung dan bahan-bahan sampingan pemerosesan ikan.

Pada masa sama, terdapat produk-produk yang didalam fasa perbincangan untuk dikomersialkan.

Pengkomersialan biasa akan diikuti oleh perundingan serta pengawalan kualiti oleh UMT untuk memastikan produk yang dihasilkan adalah berkualiti dan menepati piawaian.

Santan sawit kurang kolestrol



Santan sawit sangat sesuai digunakan dalam masakan bagi menggantikan santan kelapa kerana tidak cepat 'pecah minyak' biarpun gulai dimasak pada suhu yang tinggi.


Penggunaan santan dalam masakan harian bagi masyarakat negara ini bukan lagi asing, malah harga bagi bahan masakan ini melambung pada musim perayaan.

Hampir kesemua masakan tradisional Melayu memerlukan santan sebagai bahan utama dan jika ditukar dengan bahan lain pastinya rasa serta kualiti masakan tersebut akan kurang.

Namun, akibat kekurangan stok kelapa, harga santan kini kadangkala di luar jangkaan dan ia bertambah kritikal apabila industri perladangan kelapa semakin menyepi.

Bagi menyelesaikan permasalahan tersebut, sebuah syarikat bumiputera yang dikenali sebagai Khalissantan memperkenalkan santan kelapa sawit.

Menurut Pengarah Urusannya, Jasri Mohd. Rashid, santan kelapa sawit tiada beza dengan santan kelapa biasa.

"Dari segi tekstur, rasa dan bau santan sawit dan santan kelapa tiada beza.

"Malah, santan sawit memiliki kelebihan yang tiada pada santan kelapa," ujarnya ketika ditemui di kilang pemprosesan santan sawit di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Jasri, santan sawit yang dihasilkannya memiliki kandungan asid lemak yang lebih rendah, kurang kolestrol, kaya dengan vitamin A dan E selain dapat bertahan lebih lama daripada santan biasa.

"Malah penggunaan santan sawit ini hanya separuh daripada santan kelapa kerana ia lebih pekat.

"Selain itu ia juga tidak berbau tengik jika disimpan lama di tempat yang dingin ia dapat bertahan lebih lama," katanya.

Santan sawit dalam bungkusan mampu bertahan sehingga tiga bulan dan jika telah dibuka ia bertahan selama sebulan di dalam tempat yang dingin.

Bercerita mengenai idea menghasilkan santan sawit, ujar Jasri, beliau menerima formula menghasilkan produk tersebut daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB telah menjalankan kajian hampir 12 tahun untuk menghasilkan santan sawit namun dalam skala makmal dan Jasri telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada agensi tersebut untuk tujuan pengkomersialan.

Biarpun begitu, untuk menghasilkan produk santan sawit dalam skala yang besar ia tidak semudah seperti yang disangka.

Mesokap

Menurut Jasri, pada peringkat awal beliau perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melihat kesesuaian produk tersebut sebelum ia memasuki fasa pengkomersialan secara besar-besaran.

Antaranya, proses R&D, kajian soal selidik di kalangan pengguna, kajian pemasaran, kesan kesihatan serta kesesuaian penggunaan santan sawit di negara ini.

Setelah memperoleh data yang lengkap dan berpuas hati bahawa produk santan sawit tersebut boleh mendapat tempat di hati pengguna, Jasri bersama rakan kongsinya melabur untuk membina kilang.

Bagaimanakah santan sawit dihasilkan? Bagaimanakah warna sawit boleh bertukar putih?

Jelas Jasri, untuk menghasilkan santan sawit, pihaknya menggunakan hasil sawit yang diproses daripada bahagian mesokap (mesocarp) buah tersebut.

Kemudian ia akan diproses bersama beberapa bahan tertentu untuk menukarkan warnanya kepada warna putih santan.

Setelah diproses, santan sawit akan terus dibungkus sebelum diedarkan kepada pengedar.

Kejayaan Jasri mengkomersialkan santan sawit itu juga berdasarkan pengalaman beliau selama 10 tahun di syarikat produk tenusu sebagai pengurus kewangan.

Melalui pengalaman bekerja di syarikat tersebut menjadikan Jasri mahir dalam selok belok pemprosesan sehinggalah kepada pemasaran sesuatu produk.

Antara perbezaan santan sawit dan santan kelapa adalah ia lebih menjimatkan kos berikutan ia digunakan hanya sedikit sahaja.

Jika untuk masakan seperti kari, anda hanya memerlukan satu pertiga, manakala untuk kegunaan cendol hanya satu perempat sahaja.

Selain memberikan rasa atau tekstur yang lebih lembut, ia juga tidak berbau tengik, tidak mudah rosak selagi disimpan di tempat sejuk dan paling penting, ia tidak perlu dibeli setiap hari.

Malah, makanan yang dimasak menggunakan santan sawit juga tidak mudah rosak, hanya perlu disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan pada keesokan harinya.

Bagi santan kelapa, ia mudah rosak biarpun sebelum digunakan dan istilah paling biasa digunakan adalah 'naik kepala' yang mana keadaan lemak santan yang terapung di atas air biarpun selepas beberapa jam ia diproses.

Selain itu, masakan yang menggunakan santan kelapa juga lebih mudah basi walaupun baru ditinggalkan hanya satu hari sahaja malah perlu dibeli pada setiap hari.

Terdapat perbezaan memasak menggunakan kedua-dua jenis santan ini. Santan kelapa tidak boleh menggunakan api yang kuat kerana masakan lebih cepat 'pecah minyak' dan menjadikan masakan kurang enak.

Bagi santan sawit, ia tidak akan mengalami 'pecah minyak' seperti santan kelapa malah api boleh digunakan sebesar mana pun dan boleh didih selama tiga hingga lima minit.

Santan sawit juga boleh menggantikan susu bagi memasak masakan seperti nasi minyak dan beriani.

Selain mampu menjimatkan kos pembelian santan kerana ia lebih murah berbanding santan kelapa, ia juga merupakan produk yang menyihatkan.

Jika dahulu ramai yang khuatir untuk makan makanan berasaskan santan kerana faktor penyakit, namun kini ia tiada lagi berikutan santan sawit memiliki kolestrol yang lebih rendah.

Menurut Jasri lagi, kini beliau sedang berusaha memperkenalkan kegunaan santan sawit ini sebagai pengganti kepada santan kelapa untuk memastikan makanan yang dimakan lebih menyihatkan.

"Kami juga dalam proses untuk membesarkan lagi kilang pemprosesan santan sawit ini di samping mahu mencari agen yang berminat untuk memasarkan produk ini," ujarnya.

Kini produk santan sawit Khalissantan ini boleh ditemui di pasar raya terkemuka dan akan memasuki beberapa lagi pasar raya besar di negara ini.

Ketika ditanya adakah beliau berminat untuk mengeksport santan sawit tersebut, katanya kini sudah terdapat beberapa negara yang telah menunjukkan minat untuk membeli produk tersebut.

"Tetapi kita sekarang memberi penumpuan sepenuhnya untuk pasaran domestik terlebih dahulu kerana pasaran domestik bagi santan juga amat besar ," ujarnya.