Monday, February 28, 2011

‘Air mata’ pokok petai

PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.
PELIK...Norhayati menunjukkan air yang ditadah bawah pokok petai yang didakwa menangis di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal.

KEPALA BATAS: Penduduk Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak tiga hari lalu.

Pokok setinggi kira-kira 10 meter dan berusia lebih 35 tahun itu dikatakan mengeluarkan air melalui dahannya, malah lebih banyak ketika tengah malam.


Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan berpusu-pusu melihat sendiri pokok petai yang dikatakan ‘menangis’, malah sanggup menunggu hingga jam 4 pagi.

Pemilik pokok petai itu, Norhayati Abdul Karim, 38, berkata dia menyedari pokok petai yang ditanam arwah bapanya, Abdul Karim Kassim, mengeluarkan air seperti hujan pada petang Jumaat lalu ketika menjemur pakaian.


“Mulanya, saya sangka hujan apabila terkena titisan air. Namun, saya berasa pelik kerana cuaca cerah selain tiada tanda akan hujan.


“Selepas beberapa minit berada di bawah pokok, baru saya sedar titisan air itu dari dahan pokok petai dan bukannya hujan,” katanya Menurutnya, ia kali pertama kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian pelik seperti itu, malah tahun ini pokok berkenaan baru mengeluarkan buah.“Bukan penduduk kampung ini saja yang berpusu-pusu datang, malah penduduk beberapa kampung berhampiran turut datang untuk melihat sendiri pokok petai ‘menangis’.


“Ramai juga mengambil air yang ditadah dan meminumnya,” katanya.

Penduduk, Sopian Ahmad, 40, berkata, baju dipakainya basah selepas berada di bawah pokok petai itu beberapa minit.


“Saya minum sedikit air ditadah dengan niat dijadikan ubat dan rasanya payau. Namun, setakat ini tiada penduduk membuat perkara bukan-bukan kerana bimbang menjadi khurafat,” katanya.

Cabul sebelum rotan

BEGINI...mangsa menunjukkan cara guru terbabit memeriksa mereka.
BEGINI...mangsa menunjukkan cara guru terbabit memeriksa mereka.

KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu menjadi ‘doktor’, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan, Jumaat lalu.

Difahamkan, guru lelaki berusia lewat 30-an itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dahulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.

Menurut sumber, ketika guru disiplin itu melakukan rondaan, dia melihat kumpulan 12 pelajar perempuan tingkatan tiga berkenaan berada dalam kelas sebelum memarahi mereka.


“Guru disiplin terbabit mahu mengambil tindakan terhadap semua pelajar berkenaan kerana tidak mengikuti perhimpunan.


“Biarpun semua pelajar cuba menjelaskan keadaan sebenar, guru terbabit tidak mempedulikan alasan itu, sebaliknya memberitahu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap semua mereka sebelum mengambil tindakan,” katanya.Sumber berkata, guru disiplin itu dengan bersahaja memberitahu akan memeriksa tahap degupan jantung mereka.


“Dia mendakwa bimbang tahap kesihatan pelajar berkenaan akan menyebabkan mereka pengsan atau mengalami masalah jika dirotan membuta tuli.

“Guru lelaki terbabit memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan. Difahamkan, dia mengambil masa kurang daripada 10 saat untuk melakukan pemeriksaan bagi setiap pelajar pada peringkat pertama,” katanya.


Sumber berkata, disebabkan ketakutan, semua pelajar terbabit akur dengan tindakan guru terbabit.


“Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi.


“Kali ini, dia didakwa memasukkan tangan ke dalam baju semua pelajar perempuan terbabit. Selepas berpuas hati, guru disiplin itu merotan tangan semua pelajar dan meninggalkan kelas berkenaan,” katanya.


Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, pelajar perempuan berkenaan mengadu perbuatan guru terbabit kepada waris.


“Waris yang mendapatkan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah,” katanya.


Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis menahan guru disiplin itu berhampiran sekolah menengah berkenaan, kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu .


Difahamkan, dia direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan selain penahanan guru terbabit.

Rasa nak hantuk kepala!

TAHAN SAKIT...masalah migrain berkaitan neurologi yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki.
TAHAN SAKIT...masalah migrain berkaitan neurologi yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki.
pix_topright

SAYA pernah melihat seorang wanita yang menderita migrain yang teruk sehingga dia menekan dan memukul kepalanya berulang kali.

Malah pada satu keadaan, si pesakit mengatakan terasa ingin menghantuk kepala ke dinding hanya kerana tidak dapat menahan sakit.

Kejadian itu berulang-ulang dan lebih kerap berlaku apabila dia datang haid.
Apabila dia mengambil ubat penahan sakit, kelegaan jelas kelihatan pada wajahnya apabila sakit akibat migrain itu berkurang dan dia dapat tidur dengan lena.Bagi pesakit migrain sakit kepala yang mereka alami ini diibaratkan sebagai ujian Allah yang ada kalanya amat mengecewakan.

Ini kerana pesakit terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit untuk meredakan kesakitan, malangnya ada sesetengah keadaan ubat penahan sakit juga sudah ‘lali’ atau sebati dalam diri mereka sehinggakan kesakitan tidak dapat dikurangkan.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr Zainordin Md Noor, migrain adalah masalah berkaitan neurologi yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki.

Ini disebabkan perubahan hormon yang berlaku kepada wanita misalnya, sebelum dan selepas datang haid biasanya wanita mengalami migrain yang teruk dan akan hilang selepas haid.

Ada pula wanita yang mempunyai migrain, tidak mengalaminya ketika mereka mengandung sembilan bulan dan kesakitan datang semula selepas mereka datang haid.

Selain itu tekanan di tempat kerja, bunyi bising atau lampu yang silau juga boleh menyebabkan migrain.

“Ini kerana keadaan ini akan memberi tekanan kepada otak dan menyebabkan urat saraf tegang seterusnya menyebabkan migrain atau menambahkan kuatnya migrain,” jelasnya.

Selain itu, kurang tidur atau faktor pemakanan seperti seperti makan makanan tersimpan lama, makanan ditapai atau minuman mengandungi kafein yang tinggi seperti kopi, coklat dan keju turut menjadi penyebab kepada migrain.

“Secara umumnya migrain juga adalah penyakit keturunan kerana berkait rapat dengan sistem saraf.

“Justeru sekiranya ada ahli keluarga anda menghidap migrain anda juga berkemungkinan turut mengalaminya,” jelasnya.

Menurut Dr Zainordin, migrain berbeza dengan sakit kepala.

Serangan sakit kepala yang berlaku setiap hari adalah sakit kepala biasa dan bukannya migrain.

“Migrain sebaliknya membabitkan serangan seminggu sekali atau sebulan sekali dan biasanya kesakitan seperti dicucuk-cucuk ini berlaku pada sebelah bahagian kepala saja.

“Ini diikuti rasa loya, muntah dan sensitif pada cahaya, bunyi, bau malah pergerakan seperti gegaran yang kuat,” katanya.

Bagi sesetengah individu, rasa sakit yang menyerang itu boleh hilang dalam tempoh tiga jam tetapi ada yang perlu menanggung kesakitan sehingga tiga hari lamanya.

Daripada segi perubatan, migrain terjadi apabila kombinasi saluran darah yang mengembang dan membebaskan bahan kimia daripada saraf gentian yang melingkari sekitar saluran darah itu.

Pembebasan bahan kimia itu menyebabkan radang, rasa sakit dan seterusnya arteri menjadi bengkak.

Migrain biasanya menyerang mereka yang berumur 30 tahun ke bawah terutama pada usia 16 tahun ke atas namun ada kanak-kanak pada awal usia 10 tahun boleh diserang migrain namun ia sedikit berbeza.

“Migrain kanak-kanak biasanya mempunyai simptom seperti muntah atau loya.

“Ia bagaimanapun tidak membabitkan sakit kepala yang teruk seperti mana orang dewasa,” jelasnya.

Dr Zainordin menjelaskan, migrain terbahagi kepada dua iaitu migrain biasa tanpa aura iaitu rasa sakit yang mencengkam dan selalunya pada sebelah kepala saja.

Biasanya, ia diikuti dengan rasa sakit perut, hilang selera makan, loya, muntah, sembelit dan cirit birit.

Pesakit juga akan sensitif pada bau, cahaya dan kebisingan.

Berbeza dengan migrain klasik (dengan aura) sebelum menyerang pesakit biasanya pandangan pesakit terganggu dengan gambaran bintang-bintang, cahaya atau garisan bengkang bengkok.

Secara puratanya, serangan migrain jenis ini berlaku dalam tempoh 22 jam.
Tambahnya, sakit kepala atau migrain bukanlah tanda awal bagi sebarang ketumbuhan otak.

Ia biasanya muncul dengan tanda lain atau sakit kepala datang apabila tanda lain sudah ada.

Mungkin pesakit akan mendapat sawan atau masalah pada pendengaran dan penglihatan.

Pesakit juga biasanya akan mendapati tangan atau kakinya lemah seperti mendapat penyakit strok.

“Hanya satu peratus saja migrain mempunyai kaitan dengan tumor atau kanser otak dan selebihnya hanya disebabkan migrain.

“Biasanya pesakit kanser otak akan menunjukkan gejala yang teruk seperti kesakitan yang amat sangat pada kepala diikuti muntah, loya, hilang selera makan, kurang penglihatan dan pendengaran, seterusnya lemah tangan dan kaki,” jelasnya.

Menurut Dr Zainordin, tidak seperti penyakit lain, migrain ini tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dielak atau dikurangkan dengan cara berjumpa doktor dan mengambil ubat-ubatan bersesuaian.

“Biasanya ubat penahan sakit seperti panadol, aspirin, ponstan dan synflex boleh dibeli di farmasi namun ubat ini lama-kelamaan tidak dapat mengurangkannya malah boleh menyebabkan penyakit lain misalnya kerosakan buah pinggang atau hati apabila diambil berlebihan.

“Biasanya ubat ini juga tidak lagi berkesan apabila diamalkan terlalu kerap walaupun dimakan melebihi hadnya,” katanya.

Justeru, pesakit digalakkan berjumpa doktor kerana doktor akan memberi ubat migrain sepatutnya seperti cafergot, ubat tahan muntah maxolon dan valium, sejenis ubat tidur yang diambil secara serentak dan secara berkala untuk mengurangkannya.

Selain itu, pesakit juga akan diberikan diari migrain dan meminta pesakit mencatat tarikh, masa, makanan diambil, jenis ubat serta keterukan migrain yang dialami mereka.

“Dengan adanya diari ini, doktor akan dapat memantau tahap kesakitan yang dialami pesakit serta dos ubat yang dapat diberikan,” katanya.

Selain ubat-ubatan, pesakit juga perlu mengurangkan tekanan dengan banyak berehat, mengelak makanan yang boleh menjadi mencetus serangan migrain seperti minuman berkafein, coklat serta keju dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Apa yang penting, pesakit migrain tidak boleh murung kerana ini akan menyebabkan kesakitan mereka berulang.

“Berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat serta ubat-ubatan sesuai,” katanya.

Seni peralatan astronomi Islam


Astrolab, Maghribi, abad ke 17 M/abad ke 11 H.


ASTRONOMI merupakan bidang yang mendapat perhatian manusia sepanjang zaman dan di setiap tamadun. Ia merupakan kajian tentang ciptaan Allah di alam cakerawala seperti bulan, bintang, matahari dan planet-planet lain yang terdapat di ruang angkasa.

Ilmu mengenai kajian astronomi berkembang pesat di wilayah Islam pada abad kesembilan hingga abad ke-15 Masihi.

Ia adalah bidang yang amat penting bagi golongan terpelajar dan pemikir pada waktu itu.

Ia menarik minat pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan pemerintah sehingga golongan rakyat biasa.

Peredaran matahari, bulan dan kewujudan bintang di waktu malam sering diperhatikan manusia dalam mencari jawapan tentang kejadian objek-objek ini.

Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menerangkan tentang kejadian bulan dan bintang. Antaranya adalah dalam surah al-A'raf, ayat 54 yang bermaksud: …..Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang (masing-masing) tunduk kepada Perintahnya….

Bagi manusia yang memerhati kejadian alam ini , terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT seperti yang dinyatakan dalam ayat 6 surah Yunus yang bermaksud: Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang bertakwa.

Oleh yang demikian, ramai cendekiawan Islam yang kini dikenali sebagai ahli sains Islam telah mempelajari dan mengkaji bukan sahaja al-Quran.

Malah kajian yang telah disediakan oleh tamadun sebelum Islam seperti Mesir, Rom, Greek, India dan China tentang kejadian alam ini bagi mencari tanda-tanda kekuasaan Allah SWT.

Bidang astronomi juga penting dalam ibadah seperti menentukan waktu sembahyang dan puasa yang berkait rapat dengan peredaran matahari dan bulan.

Untuk itu para ilmuan Islam turut mencipta peralatan yang dapat membantu mereka menerokai alam cakerawala.

Antara peralatan yang menjadi kebiasaan bagi ahli astronomi Islam ialah astrolab, sukuan dan glob cakerawala.

Peralatan sains yang dihasilkan di dunia Islam diminati bukan sahaja kerana kegunaannya tetapi kerana rupa bentuknya.

Ini kerana masyarakat Islam ketika itu amat menitik beratkan keindahan dalam setiap benda yang mereka hasilkan walaupun pada peralatan sains.

Perkara ini mungkin berkaitan dengan sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Allah itu Maha Indah dan sukakan keindahan."

Dalam peralatan sains Islam, astrolab merupakan pilihan utama dalam kajian astronomi yang dijalankan. Artifak astrolab dunia Islam mempunyai beberapa rekaan yang berlainan dan amat menarik terutamanya di bahagian yang dipanggil bingkai, cakera, dan mater.

Bingkai cakera astrolab mempunyai maklumat seperti nama-nama bintang serta penunjuk yang memberitahu kedudukan bintang tersebut di langit. Bingkai cakera astrolab ini diberi sentuhan keindahan seni dengan ukiran tebuk yang menarik.

Nama-nama bintang ditoreh dengan teliti di atas kepingan logam tersebut menggunakan tulisan kufik dan diwarnakan dengan dakwat hitam.

Cakera logam pula dihiasi dengan garis lintang dan garis bujur angkasa. Ini bagi membantu pengkaji mengira kedudukan setiap objek dengan tepat.

Terdapat beberapa cakera logam yang berbeza dalam satu astrolab. Setiap satu mempunyai kegunaan yang berbeza.

Di bahagian belakang mater pula dilengkapi dengan pembaris yang digunakan untuk mengukur ketinggian objek. Di sekeliling bingkai mater terdapat huruf dan abjad yang mewakili darjah ketinggian dalam proses mengukur.

Glob cakerawala ialah satu lagi peralatan yang dibuat oleh ahli sains Islam khusus bagi mempelajari kedudukan bintang di ruang angkasa bumi.

Glob cakerawala mempunyai bukan sahaja kumpulan dan susunan bintang di langit tetapi juga gambaran imaginasi bentuk horoskop yang terhasil daripada susunan bintang tersebut.

Imej yang digunakan adalah amat berlainan dengan imej horoskop yang digunakan pada hari ini yang merujuk kepada gambaran astrologi barat.

Horoskop Islam juga mempunyai 12 imej tetapi dengan gambaran dan pakaian yang lebih sopan dan menarik. Nama setiap horoskop juga diletakkan di atas glob cakerawala.

Glob cakerawala dibuat dengan menggunakan acuan dan ia kemudiannya dituris atau diukir dengan nama dan kedudukan gugusan-gugusan bintang utama serta gambaran imaginasi setiap kumpulan bintang.

Gambaran imaginasi ini terhasil daripada cerita-cerita dongeng yang direka oleh masyarakat Asia Barat ketika itu sebagai hiburan diwaktu malam kerana mereka boleh melihat bintang dengan jelas terutamanya di kawasan padang pasir.

Cita rasa moden di Jengka


PILIHAN klasik kontemporari.


KEGHAIRAHAN menghias rumah konsep-konsep tertentu menjadi ‘fenomena’ baru khususnya di kalangan penghuni kota.
Minat tersebut sedikit sebanyak dicetuskan dengan kemunculan majalah-majalah laman dan dekorasi di pasaran untuk dijadikan rujukan.

Turut menerima tempias golongan yang tinggal di luar serta pinggiran bandar. Kalau dulu, jika disebut dekorasi kediaman, masyarakat luar bandar memilih gaya hidup seringkas yang boleh.

Memadai sekadar memiliki keperluan asas seperti tilam, katil, televisyen dan almari kecil.

Berbeza sekarang, golongan itu juga dilihat semakin peka dengan dunia hiasan dalaman. Bahkan, mereka turut ghairah menata rias rumah dengan memastikan setiap ruang dari dapur hingga ke kamar beradu, tampil menarik hingga sesetengahnya mengalahkan rumah kelamin.

Sama ada memilih gaya moden , retro, Inggeris, tropika, Bali, ala rumah pelancongan dan sebagainya, yang penting dekorasi memenuhi cita rasa dan mengikut trend semasa.

Menyusuri kawasan Felda Jengka, Pahang, ramai tidak terfikir terdapat pusat perhentian hiasan dalaman merangkumi perabot sofa, set bilik tidur, meja makan dan sebagainya.

Kelengkapan

Pusat sehenti kedai perabot, Ilham Design Furniture (IDF) yang terletak di kawasan luar bandar menjadikannya eksklusif dalam suasana kejiranan berkonsepkan kampung.

Bercirikan reka bentuk moden , IDF mencerminkan pemiliknya, Mejar Wan Munadi Wan Mamat (B) yang dinamik dan sofistikated.

Menarik perhatian penduduk di sekitar Jengka, ia menawarkan pelbagai koleksi kelengkapan rumah daripada yang kecil sehinggalah kepada sebesar-besarnya.

Ditambah pula dengan hiasan dalamannya yang sepadan dengan konsep rumah, pastinya membuatkan tetamu teruja dan kagum dengan sentuhan emas pemiliknya.

Klasik kontemporari dan moden , begitulah konsep percaturan hasil idea kreatif yang popular sekarang.

Bagi mereka yang baru melangkah ke rumah baru, inilah peluang terbaik untuk menyusun kediaman sendiri menjadi cantik dan kelihatan moden dan bergaya. Pelbagai pilihan dan idea hiasan untuk kediaman dengan tema kediaman desa Perancis ke Victoria, gaya Timur, Safari Afrika, gabungan kontemporari dan oriental.

Klasik kontemporari

Sofa berciri moden digabungkan dengan fabrik warna terang menepati ciri klasik kontemporari.

Malah setiap perabot membawa konsep berbeza dengan set sofa paling popular ialah bercirikan moden.

Set bilik tidur diperbuat daripada kayu juga melambangkan ciri klasik, malah meja makan Eropah turut menyerlahkan elemen moden sesebuah kediaman.

Dalam pada itu, setiap katil yang dijual mempunyai pilihan 15 ton warna merangkumi keperluan pasangan suami isteri, kanak-kanak, anak gadis dan pengantin baru.

Ruang makan keluarga boleh direka sendiri menggunakan gabungan warna putih dan hitam amat praktikal.

Secara peribadi, keupayaan Wan Munadi memperkenalkan kediaman mewah khusus untuk warga peneroka yang inginkan konsep moden dan menawan sememangnya mengkagumkan.

Mengakui dekorasi sentiasa mengikut perubahan semasa, Wan Munadi berpendapat orang ramai mula bijak mencari panduan menghias rumah sama ada yang tinggal di kampung mahupun luar bandar.

Memenuhi hasrat tersebut, IDF yang terletak di Bandar Pusat Jengka ini mengalu-alukan kedatangan orang ramai.

Lelaki pun takut poligami

KAUM lelaki turut tertarik dengan kisah poligami yang disiarkan beberapa minggu lalu termasuk saya. Namun jangan pula salah sangka, saya bukannya berpoligami atau merancang nak madukan isteri, tetapi sekadar memberi pandangan kerana salah besar kalau anda fikir semua lelaki suka berpoligami.

''Sebenarnya saya tabik pada sesetengah lelaki yang berpoligami, kerana mereka betul-betul mahir, berani, pintar, petah bercakap, pandai merancang dan banyak lagi. Kepada suami yang lurus memang tidak berani berpoligami walaupun dalam hati berkemungkinan ada niat ke arah itu.'' Demikian cerita Yuss dalam e-melnya.

''Saya sudah berkahwin lebih 21 tahun tak pernah terdetik sekalipun dalam hati saya nak berkahwin lagi. Begitu juga kebanyakan lelaki lain yang jumlahnya memang ramai di luar sana. Sebab mereka tahu dan faham tentang masalah yang bakal timbul kalau berpoligami.

''Bab pertama paling besar mematikan hasrat kami nak berpoligami, masalah kewangan. Saya memang tak mampu. Tapi ada kawan cadangkan mengapa jadi bodoh cari saja gadis atau wanita berkemampuan, berpangkat dan berkedudukan, pasti dia ada wang, maka masalah tak mampu tadi boleh diselesaikan. Pasti wanita tadi boleh bantu.

''Tetapi saya fikir satu bab lagi, gadis yang kita nikahi itu pasti hendakkan anaknya sendiri menjadi warisnya. Bab ini lagi berat, sebab bila usia dah meningkat bolehkah saya bangun tengah malam, bergilir jaga anak yang menangis, meragam atau buatkan susu anak, tukar lampin, cuci najis dan lainnya.

Mengandung

'Itu belum masuk bab hantar isteri pergi ke klinik setiap bulan semasa mengandung dan sekali lagi selepas bersalin. Bawa bayi pergi buat suntikan setiap bulan atau pemeriksaan lain jika demam dan sebagainya. Takkan saya nak suruh isteri muda itu pergi sendirian sambil kelek anak yang masih kecil. Tambah segan bila hantar anak ke sekolah rendah, waktu itu orang sebaya kita dah bergelar datuk hantar cucu ke sekolah kita pulak masih hantar anak. Nanti takut tersilap anak kita pun panggil kita datuk kerana terikut kawan-kawan.

''Sekarang anak bongsu saya dah 14 tahun, tak payah nak uruskan apa pun. Saya nak jalan dengan isteri ke mana pun senang, tak ada masalah tinggalkan dia dengan abangnya. Mereka saling membantu. Jadi mengapa saya perlu menyusahkan diri nak kahwin lagi? Bak kata orang tua-tua, kalau tak ada beban mengapa batu nak digalas?

''Selain daripada itu kita juga kena fikir tentang kesihatan kita adakah berada pada tahap baik atau sebaliknya. Kena fikir juga kesihatan isteri baru kita. Kadang tu luaran saja nampak bergetah, dalaman, sebelum jadi isteri kita tak boleh nak ramal.

''Kita kena fikir juga apakah isteri baru kita boleh terima keadaan kita seperti penyakit kita, adakah kita terlalu kuat berdengkur. Apakah dia boleh terima seperti isteri pertama kita? Isteri baru pula, adakah dia suka merajuk, merengus, suka maki hamun, malas atau rajin ke dapur atau mungkin juga ketiak berbau. Belum kahwin memang badan solid, dah beranak nanti macammana? Kalau dia jadi bulat sangat macam mana? Bolehkah kita terima dia.

''Lepas tu kita kena fikir keluarga isteri baru pula macam mana? Bolehkah mereka terima kita yang dah tua jadi menantunya mungkin mertua kita pun dah sebaya kita. Kalau baik sangat lepas kahwin keluarga isteri terus angkut tikar bantal pindah tinggal sekali duduk dengan kita? Apakah kita boleh terima?

''Oleh kerana itu kebanyakan lelaki termasuk saya kami terpaksa berfikir lebih seratus kali kalau nak berpoligami. Banyak benda kena ambil kira. Kalau selama ini isteri seorang sudah memberi kita cukup banyak keselesaan, kesenangan, ketenangan fikiran dan kebahagiaan hidup di dunia mahupun untuk kita beramal buat bekalan akhirat, mengapa kita mesti menyusahkan diri 'mencari batu nak digalas'?

''Jadi kesimpulan yang boleh saya buat jagalah isteri yang ada sekarang sebaik-baiknya. Mana-mana yang kurang tentang isteri kita tu, kita up grade kan sebagaimana yang kita kehendaki. Kalau dia tak pandai makep sebab kita suka tengok wanita cantik bermekap, kita hantar ke salun kecantikan, begitu juga tentang rambutnya.

''Belikan kosmetik yang sesuai supaya dia kelihatan sama seperti wanita lain. Kalau dia sihat dan bagus persembahannya untuk kita juga. Saya nak tanya, berapa kerat suami yang buat demikian untuk kecantikan isteri seperti yang anda kehendaki?

''Ini tidak, sesetengah lelaki kalau tengok perempuan seksi terjegil biji mata . Tapi isteri sendiri suruh pakai jubah, tutup sana tutup sini, muka tampal bedak sejuk, bila isteri buka jubah kita sendiri rasa tak lalu nak dekat, habis macammana? Kenalah melabur sikit kalau nak isteri cantik, wangi macam wanita yang kita suka lihat.

''Dalam pada itu sebagai suami pun kena jaga penampilan, jaga kebersihan diri, dan kesihatan khasnya bila nak bersama isteri, tanya isteri dulu apa kehendaknya, kadang-kadang kita tak perlu pakai modal pun, cukup dengan pakai skil tertentu

''Bila isteri suka baru enjoy. Jangan syok sendiri, isteri belum sampai pun! Lepas tu ada hajat nak poligami. Itu juga salah satu sebab isteri rela bercerai daripada bermadu.

''Orang boleh kata, saya baru kahwin 21 tahun bolehlah cakap, masa depan tak siapa tahu? Memang dalam perkahwinan tak ada jaminan bahagia sampai bila-bila, setidak- tidaknya kita berusaha ke arah itu.''

Demikian pandangan Yuss panjang lebar.

Pengiktirafan tertinggi


Gambar bertajuk Metropolis oleh jurugambar Belanda, Martin Roemers, memenangi tempat pertama bagi Kategori Kehidupan Harian Cerita Gambar.


SEKEPING gambar mampu menceritakan segalanya bahkan cukup untuk mengembalikan kisah-kisah yang sudah luput dari ingatan dan lebih bernilai daripada seribu perkataan.

Selepas penciptaan kamera pertama sekitar 1800-an, kaedah merakam gambar berkembang pesat sehingga melahirkan satu cabang seni iaitu fotografi.

Diperkukuhkan dengan teknologi digital, fotografi kini memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan seharian manusia.

Namun kemajuan teknologi yang banyak membantu pada masa sama menjadikan persaingan semakin sengit.

Di kalangan pengamal dan peminat fotografi, bulan Februari adalah masa yang paling dinanti-nantikan untuk menyaksikan paparan imej-imej terbaik dari seluruh dunia. Satu daripadanya adalah yang merangkul gelaran terbaik antara yang terbaik.

Anugerah World Press Photo yang merupakan pengiktirafan fotografi paling berprestij baru-baru ini menobatkan jurugambar, Jodi Bieber sebagai pemenang World Press Photo of the Year bagi pertandingan 2010.

Potret menyayat hati wanita muda Afghanistan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga menewaskan lebih 100,000 keping gambar yang dihantar oleh 5,846 jurugambar dari 125 buah negara pada tahun lalu.

Gambar terbitan Majalah Time, Bibi Aisha yang kehilangan hidung dan telinga akibat dicantas oleh suaminya menceritakan kesengsaraan hidup wanita itu dengan penyampaian yang cukup 'kuat'.

Ia disifatkan sebagai satu lagi potret terbaik selepas gambar gadis bermata hijau dari Afghanistan petikan jurugambar tersohor, Steve McCurry.

Gambar juara 2011 oleh jurugambar wanita dari Afrika Selatan itu dipilih selepas memenangi hadiah tempat pertama di dalam kategori Potret. Pertandingan kali ke-54 baru-baru ini dibahagikan kepada 10 kategori yang setiap satu dipecahkan kepada penyertaan tunggal dan gambar bercerita.

Kategori terdiri daripada berita utama, berita umum, individu dalam berita, sukan dan aksi, laporan sukan, isu semasa, kehidupan harian, potret, seni dan hiburan dan alam sekitar.

Proses penilaian yang memakan masa selama dua minggu dilakukan oleh 19 juri berpengalaman terdiri daripada jurugambar profesional, editor gambar dan wakil dari agensi gambar seluruh dunia dengan pelbagai latar belakang.

Dengan kemenangan itu, Bieber menerima habuan wang tunai bernilai 10,000 pound (RM49,000) dan hadiah tajaan penganjur bersama berupa kamera digital Canon dan jam tangan Maurice Locroix.

Bieber yang telahpun memenangi lapan hadiah World Press Photo (pelbagai kategori) sebelum ini berkata, kemenangan itu membuatkan segala pengorbanannya dalam karier akhirnya berbalas.

"Pencarian gambar terbaik bukan hanya menuntut jurugambar berada di tempat dan masa yang betul malah ia memerlukan usaha yang berterusan.

"Anda tidak akan berhenti selagi anda tidak berjaya memperolehinya," katanya.

Penganugerahan itu menurutnya adalah pengiktirafan tertinggi yang hanya tiba ke pangkuan tuan yang benar-benar meletakkan maruah di dalam pekerjaan mereka.

Sehebat namanya, World Press Photo yang dimulakan sejak 1955 bukan sembarangan pertandingan. Setiap gambar adalah gambar yang merakamkan detik-detik penting di dunia.

Ia adalah perpustakaan tamadun dunia yang merekod peristiwa dari pelbagai aspek kehidupan yang akan dijadikan sumber rujukan politik, ekonomi, hiburan, sukan malah dunia fotografi itu sendiri.

Sebagai penghormatan, pemenang akan 'dibalas' dengan majlis penganugerahan yang diadakan kota ibu pejabat World Press di Amsterdam, Belanda di dalam majlis yang dihadiri menteri, golongan kenamaan dan peneraju dalam bidang itu.

Bukan itu sahaja, gambar-gambar yang menang juga akan dipamerkan di lebih 100 buah bandar di 45 buah negara. Selain itu, gambar bagi setiap kategori juga akan dicetak di dalam buku tahunan yang diterjemah ke dalam enam bahasa utama.

Pertandingan tanpa yuran itu dibuka kepada jurugambar media profesional dan amatur setiap tahun. Bukan sahaja daripada akhbar, malah penyertaan turut membenarkan jurugambar majalah dan agensi dari seluruh dunia untuk turut serta.

Pengasas anugerah berprestij itu, David Burnett berkata, tiada detik-detik yang bersifat peribadi diberi peluang kepada mana-mana penyertaan.

Namun sebelum menghantar penyertaan anda, Burnett, selaku Pengerusi Juri World Press Photo 2011 mempunyai nasihat dan amaran untuk dipertimbangkan.

"Kita menerima beratus ribu penyertaan setiap tahun. Jangan menghantar gambar hanya kerana kamu yang merakamnya.

"Lihat hasil kerja dengan mata yang tajam. Anggaplah diri anda (jurugambar) sebagai pengarang, jangan bazirkan masa kami jika kamu tidak serius," tegasnya.

Arkib fotografi sejagat


Gambar seorang lelaki menghumban mayat mangsa gempa bumi yang melanda Port-au-Prince, Haiti pada Januari tahun lalu yang dirakam oleh jurugambar, Olivier Laban-Mattei memenangi hadiah pertama bagi kategori Berita Umum Cerita Gambar.


SEJAK lebih 50 tahun, pertandingan anjuran World Press Photo bukan hanya menampilkan kejayaan fotografi dan kewartawanan malah menjadi arkib penting dalam peradaban manusia.

Kini badan yang berpengkalan di Amsterdam, Belanda itu menyimpan lebih daripada 10,000 gambar yang diiktiraf sebagai yang terbaik tahun demi tahun. Pengiktirafan gambar World Press Photo of the Year bermula pada 1955 iaitu gambar kemalangan pelumba motorcross yang dirakam oleh jurugambar Denmark, Mogens von Haven.

Sebahagian daripada gambar tersebut sudah menjadi imej ikon seperti gambar kanak-kanak perempuan yang berlari dalam keadaan berbogel semasa serangan bom di Vietnam.

Pemilihan pemenang pertandingan tahun 2010 yang diumum tahun ini mempamerkan imej-imej yang penuh dengan kegelapan, kesengsaraan, malapetaka, konflik dan kemusnahan alam. Berikut senarai pemenang tempat pertama mengikut kategori.

Pasangan Panda tiba ke Zoo Ueno


Panda China, Bi Li dan Xian Nu kini ditempatkan di rumah baru iaitu Zoo Ueno, Tokyo bagi mengantikan panda bernama Ling Ling.


PANDA merupakan spesies haiwan terancam yang hanya boleh didapati di selatan China. Ia mudah dikenali berdasarkan saiz, tompok-tompok hitam putih sekitar mata, telinga dan keseluruhan tubuh bulatnya menjadikan beruang tersebut amat berharga.

Di China, haiwan tersebut boleh ditemui di beberapa banjaran gunung terutamanya di daerah Sichuan, Shaanxi and Gansu.

Disebabkan ia antara haiwan terancan, makan usaha mengembangkan kembali spesis haiwan tersebut dilakukan dengan giat.

Atas sebab itu juga China telah mendermakan dua ekor panda yang akan ditempatkan di Zoo Ueno, Jepun bagi mengantikan panda bernama Ling Ling yang mati pada April 2008 setelah 16 tahun berada di Zoo tersebut.

Kedua-dua panda berusia lima tahun yang dinamakan Bi Li dan Xian Nu telah diterbangkan dari Lapangan Terbang Chengdu di Sichuan dan ditukarkan ke jet All Nippon Airways sejurus tika di Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai, Pudong untuk diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

Setelah tiba ke Narita kira-kira pukul, Bi Li dan Xian Nu dihantar terus kepada pihak Zoo Ueno di Tokyo menjelang tengah malam 22 Februari lalu.

Sebelum ini, China pernah mendermakan pasangan panda pertama bernama Lan Lan dan Kang Kang kepada Jepun setelah kedua negara tersebut memulihkan persahabatan dua hala pada tahun 1972.

Selepas itu, seekor panda jantan bernama Ling Ling turut dipindahkan ke Jepun sekitar tahun 1992 sebagai pertukaran dengan seekor panda kelahiran Jepun untuk memperingati ulang tahun ke-20 hubungan dua hala kedua-dua buah negara tersebut.

Kini kedatangan Bi Li dan Xian Nu ke Jepun boleh diibaratkan sebagai duta China dan tanda persahabatan dua hala bagi menyemarakkan lagi hubungan baik kedua-dua buah negara.

Kerajaan Tokyo telah menandatangani sebuah perjanjian dua hala Julai lepas bersama Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China untuk membela Bi Li dan Xian Nu selama 10 tahun dengan kadar bayaran sebanyak RM2.9 juta setahun.

Perjanjian itu juga merupakan tindakan susulan kepada penyelidikan panda bersama yang telah dicapai antara Presiden China, Hu Jintao dan bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda semasa lawatan Hu je Jepun.

Selain itu, pihak Zoo Ueno turut menubuhkan satu pasukan penyelidikan yang terdiri daripada empat orang pakar penyelidik panda bagi menyesuaikan Bi Li dan Xian Nu dengan persekitaran baru.

Bi Li dan Xian Nu dijangka akan dipamerkan kepada orang ramai pada bulan depan selain kedua-duanya bakal diberikan nama baru dalam bahasa Jepun.

Menurut jurucakap Pusat Perlindungan dan Penyelidikan Panda China, Yao Ming, Bi Li sangat aktif dan suka memanjat pokok manakala Xian Nu pula mempunyai sifat mesra.

"Panda merupakan spesies haiwan terancam dan dianggap sebagai khazanah kebangsaan di China.

"Kami amat terharu melihatkan sambutan daripada pihak penduduk tempatan yang rela mengharungi cuaca sejuk untuk datang melawat Bi Li dan Xian Nu di luar zoo," katanya.

Tambahnya lagi, WWF menganggarkan panda hanya terdapat sekitar 1,600 ekor hidup secara liar dan kira-kira 980 di bawah perlindungan pusat simpanan panda di China.

Inspirasi dari pengguna


Tim Leatherman menyerahkan Leatherman Super Tool kepada Radha Krishnan sempena ulang tahun ke-25 jenama itu di Malaysia.


LEATHERMAN merupakan alat pelbagai guna yang terkenal di kalangan peminat aktiviti luar termasuk Malaysia. Malah alat dengan pelbagai fungsi daripada playar, pemutar skru hingga ke pisau dan gergaji itu penting dalam melakukan aktiviti luar.

Sebab itu tidak hairanlah gajet berkenaan sudah bertapak selama 25 tahun di negara ini.

Lebih menarik, salah satu idea dalam penghasilan alat pelbagai guna Leatherman yang kini mencapai 46 model itu diperoleh daripada seorang rakyat Malaysia, Mohd. Noor Mohammad.

Menurut pengasas Leatherman, Tim Leatherman, beliau menerima surat daripada Mohd. Noor pada Oktober 1989 yang mahukan dia melakukan sesuatu kepada Pocket Survival Tool (PST).

Menurut surat Mohd. Noor yang dihantar kepada Tim, dia mendapati PST merupakan satu gajet yang amat bagus namun mempunyai kekurangan.

“Surat Mohd. Noor mengatakan alat pelbagai guna saya itu tidak mempunyai gergaji. Saya berfikir sejenak, bagaimana hendak meletakkan gergaji di alat yang sekecil ini?

“Pada orang biasa mungkin sukar. Namun idea Mohd. Noor membuka lembaran baru kepada model alat pelbagai guna kami yang akhirnya kini kebanyakannya mempunyai gergaji mini yang mempunyai kekuatan hampir sama dengan gergaji besar,” katanya.

Mengulas mengenai idea untuk membuat alat pelbagai guna ini, Tim berkata, ketika dia dan isterinya mengembara ke Eropah dan Asia Barat pada tahun 1975, kerosakan kereta yang kerap dan sistem paip hotel yang sering bocor membuatkan dia terfikir untuk mereka bentuk alat pelbagai guna yang senang untuk dibawa ke mana-mana.

Sejak itu, dia mula mereka bentuk alat berkenaan yang memakan masa lapan tahun sebelum prototaip PST berjaya dihasilkan.

Namun, ia tidak mendapat sambutan kerana para penjual alatan masih skeptikal.

Namun usaha yang dilakukan Tim akhirnya mendapat sedikit sambutan daripada Cabelas dan Early Winters yang membuat sedikit pesanan.

Sejak itu, jenama Leatherman semakin dikenali dan berjaya dijual di 82 negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL) merupakan pengedar tunggal jenama Leatherman sejak 1986.

“Jadi untuk menyambut ulang tahun ke-25 Leatherman di Malaysia, kami akan mengedarkan jenama itu dengan ukiran khas Ulang Tahun 25 Tahun dan juga dengan harga promosi untuk beberapa produk Leatherman terpilih.

“Produk-produk edisi khas itu agak terhad dan mereka yang ingin mendapatkannya perlu membuat pesanan kepada kami,” kata Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan.

Menurut Radha lagi, untuk tahun ini juga, pihaknya mensasarkan jualan bernilai RM1juta bagi jenama Leatherman di Malaysia.

Kata beliau, ini boleh dicapai disebabkan tahun lepas jualan jenama itu mencatatkan nilai RM800,000.

Menarik tentang Leatherman ialah mereka menawarkan jaminan selama 25 tahun ke atas semua produk mereka dan akan ditukar jika terdapat kerosakan termasuk jika patah semasa digunakan.

Tahun ini menurut Tim, pihaknya akan menumpukan perhatian kepada reka bentuk alat pelbagai guna yang lebih spesifik terutama kepada penggemar aktiviti berbasikal.

Tim turut menghantar produknya kepada setiap 33 pelombong Chile yang terselamat selepas terperangkap di dalam lombong gurun Atacama selama dua bulan.

Sila ke www.leatherman.com atau www.ufl.com.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai jenama ini.

Utamakan penyelenggaraan elak musibah




Penyelenggaraan secara berkala amat penting untuk memastikan bangunan sekolah dan kuarters kediaman guru sentiasa selamat untuk diduduki.

Lazimnya, aspek penyelenggaraan dan baik pulih hanya dilakukan apabila pentadbir sekolah atau penghuni kuarters mengesan kerosakan fizikal yang mencolok mata seperti pintu atau tingkap pecah, tandas tersumbat dan rekahan pada bangunan.

Malangnya ada juga kerosakan yang terbiar tidak diselenggara walaupun kerosakan telah dilaporkan. Salah siapa?

Menuding jari memang mudah tetapi sebaiknya adalah mencari jalan penyelesaian untuk keselamatan dan keselesaan bersama.

Sebagai contoh, tangki air bocor atau lantai marmar pecah di kuarters guru tidak dibaik pulih kerana berlaku tarik-tali antara penghuni dan pemilik premis.

Kedua-dua pihak tidak mahu bertanggungjawab untuk memperbaikinya. Sepatutnya Kementerian Pelajaran selaku pemilik perlu bertanggungjawab dengan mengarahkan kontraktor yang diberi tender membina bangunan itu untuk membaiki segala kerosakan sekiranya ia masih dalam tempoh jaminan.

Jika tempoh itu telah tamat, maka satu mekanisme lain perlu dilaksanakan. Apa pun penghuni kuarters iaitu guru tidak boleh dibebankan untuk membaikinya kerana mereka adalah penyewa. Secara teknikalnya, mereka membayar sewa melalui potongan elaun perumahan dan sebahagian daripada elaun COLA.

Selain itu, aspek penyelenggaraan yang lebih penting dan perlu diberi perhatian ialah pendawaian wayar elektrik dan kawalan serangga perosak.

Mengikut piawaian standard antarabangsa, pendawaian dalam bangunan yang melebihi 15 tahun perlu diperiksa atau dibuat semula.

Hal ini kerana ia berisiko tinggi untuk berlaku lintar pintas yang boleh mengakibatkan kebakaran. Pastinya bila ini terjadi, nasi sudah menjadi bubur.

Begitu juga dalam bab mengawal ancaman serangga perosak khususnya anai-anai. Perkara ini tidak boleh diambil mudah kerana natijahnya parah.

Serangga kecil ini boleh menyebabkan bumbung dan siling runtuh. Bayangkan jika ia berlaku ketika anak-anak kita sedang tekun mengikuti pelajaran di dalam bilik darjah. Aduh, sungguh memilukan!

Sebelum musibah ini berlaku, Kementerian Pelajaran perlu proaktif untuk membuat langkah-langkah pencegahan.

Bagaimanapun, keutamaan harus diberi kepada 600 buah sekolah yang berada dalam keadaan amat daif dan hampir sujud ke bumi seperti yang didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sarawak, baru-baru ini.

Semua sekolah ini telah dalam pengetahuan Kementerian Pelajaran dan tindakan untuk membaik pulih atau membina semula sedang dirancang serta akan segera dilaksanakan termasuk dengan menggunakan pembiayaan pihak swasta jika perlu.

Apa yang membimbangkan adalah keadaan di sekolah-sekolah lain yang telah berusia lebih 15 tahun. Walaupun nampak kukuh fizikalnya, dikhuatiri tanpa penyelenggaraan yang sempurna akan menyebabkan kejadian tidak diingini.

Kebimbangan ini berasas. Sedikit masa dahulu, ada bangunan makmal komputer sekolah runtuh sebelum sempat digunakan.

Malah baru-baru ini, dilaporkan ada sekolah baru yang dibina melibatkan kos jutaan ringgit dan belum pun satu dekad usianya telah berlaku keretakan pada struktur bangunannya.

Keadaan ini amat mendukacitakan dan perlu perhatian serius. Sewajarnya satu kajian dibuat agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk pembinaan sekolah dan kuarters guru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Dalam konteks ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyarankan supaya bangunan sekolah dibuat secara lebih teliti dengan mengutamakan ciri-ciri keselamatan bagi mengelak berlakunya masalah seperti retakan kepada struktur bangunan.

Sains teknologi tingkat prestasi akademik


Sebahagian murid menyiapkan rekaan masing-masing pada Minggu Sains dan Teknologi di SMS Hulu Selangor,baru-baru ini.


Penguasaan dalam bidang sains dan teknologi mampu melonjakkan prestasi akademik pelajar, kata Pengetua Cemerlang Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor, Rafiei Mustapa.

Justeru, baru-baru ini sekolah itu telah mengadakan Minggu Sains dan Teknologi 2011 untuk memberi peluang pembelajaran secara hands-on kepada para pelajarnya.

Menurut Rafiei, pembelajaran seperti itu amat perlu bagi seseorang pelajar dalam usaha untuk meningkatkan kefahaman mereka selain merasai sendiri pengalaman tersebut seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Selain itu, ujarnya, program selama empat hari itu juga bertujuan memupuk daya kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar daripada pelbagai peringkat umur.

"Nilai kreatif dan inovatif amat diberi penekanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah kerana ia mampu memberi kesan-kesan positif yang baik terhadap perkembangan minda pelajar," katanya.

Minggu Sains dan Teknologi anjuran SMS Hulu Selangor ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak tiga sekolah rendah dan empat sekolah menengah sekitar Hulu Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program tersebut termasuklah kuiz sains, pertandingan reka bot lumba anjuran RA3 Edu Science Corporation Sdn. Bhd., pertandingan bercerita, pertandingan memasak, mereka model sains dan pertandingan mewarna bagi murid-murid tadika.

Sementara itu, Ketua Panitia Sains, Norazrina Abdul Aziz berkata, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar dengan kemahiran sains dan kemahiran hidup.

"Ia juga dianjurkan untuk sekolah berkongsi pengetahuan dengan sekolah-sekolah berhampiran, selain menimbulkan minat di kalangan pelajar tersebut terhadap bidang sains dan inovasi.

"Sebagai sekolah kluster kecemerlangan, adalah menjadi tanggungjawab pihak sekolah untuk memastikan sekolah-sekolah berhampiran yang lain turut cemerlang," katanya yang juga Pengarah Minggu Sains dan Teknologi.

Tambahnya, program ini turut memberi faedah serta pengalaman baru kepada pelajar SMS Hulu Selangor itu sendiri kerana sumbangan dan penglibatan mereka dalam mengurus dan memastikan kelancaran program.

SBP lahirkan pemimpin berkarisma


SEBAHAGIAN ketua dan penolong ketua pelajar mendaftar untuk Kursus Kepimpinan SBP di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.


Seramai 120 ketua dan penolong ketua pelajar dari 60 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara mengikuti kursus kepimpinan untuk dibentuk menjadi pemimpin pelapis yang mempunyai personaliti unggul dan ulung.

Ketua Unit Kepimpinan dan Pembangunan Profesionalisma Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Norizah Juberi berkata, kursus kepimpinan kali kelima itu diadakan selama empat hari demi mencapai hasrat melahirkan bakal pemimpin yang berkarisma pada masa hadapan daripada kalangan pelajar SBP.

"Pakej kursus kepimpinan itu diharap akan dapat membina jati diri dan sifat kepimpinan yang mantap dan sesuai dengan visi dan misi SBP serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut beliau, objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk memperkasakan gaya kepemimpinan pelajar SBP serta memantapkan kemahiran kepemimpinan sedia ada untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin pelajar.

"Ia juga adalah untuk memberi pendedahan pengurusan peringkat tertinggi dan bertaraf antarabangsa serta melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji dan mempunyai misi serta visi yang jelas," ujarnya.

Katanya lagi, kursus itu merupakan tapak bagi melahirkan pemimpin bertaraf dunia yang berilmu, boleh dicontohi, berwibawa, berkarisma, dihormati serta matang dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

"Pelbagai program menarik diisi sepanjang berlangsungnya kursus kepimpinan ini dalam usaha untuk memberikan pengisian terbaik dan bernilai kepada para peserta kursus.

"Antaranya ialah Program Jejak Kepimpinan yang bertujuan memberikan pengalaman sebenar mengenai aspek kepimpinan kepada bakal-bakal pemimpin bagi melahirkan ketua yang berilmu, serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik dan boleh dicontohi," terang beliau.

Norizah memberitahu, dalam Program Jejak Kepimpinan itu, para peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman dan melihat sendiri bagaimana perjalanan sesebuah syarikat atau agensi serta ciri-ciri kepimpinan yang boleh dicontohi di syarikat tersebut.

"Tahun ini, sebanyak 15

buah syarikat atau agensi di sekitar Lembah Klang bersedia menawarkan diri untuk bekerjasama bagi menjayakan program tersebut," ujarnya.

Syarikat yang terlibat ialah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Kumpulan Karangkraf, Jobs Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Hospital Putrajaya, Management & Science University (MSU), Sunway Lagoon, Fakulti Pengajian Pendidikan dan Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain Program Jejak Kepimpinan, para pelajar turut menjalani beberapa aktiviti seperti pembentangan laporan Program Jejak Kepimpinan, pengucapan awam, bengkel serta sesi ceramah dan bicara tokoh daripada ketua-ketua syarikat atau agensi yang merupakan bekas pelajar SBP.

Pendekatan rundingan MPP UUM


Dr. Mohamed Mustafa Ishak beramah mesra dengan kepimpinan baru Majlis Perwakilan Pelajar di Universiti Utara Malaysia, baru-baru ini.


Mahasiswa yang baru memenangi pilihan raya pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2010/2011 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada minggu lalu berhasrat untuk mewujudkan perundingan dengan pihak universiti dalam menyelesaikan masalah pelajar mahupun memberi cadangan untuk bersama merealisasikan hasrat universiti.

Ku Amirul Faiz Ku Seman, 22, yang memenangi kerusi umum berkata, perundingan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

“Kami melihat proses perundingan merupakan cara terbaik bukan sahaja untuk mencari jalan penyelesaian yang kami hadapi malah mungkin dapat menguntungkannya,

“Proses perundingan penting kerana dapat meningkatkan keupayaan dalam mematangkan kepimpinan mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Proses pembelajaran tidak hanya semata menjawat jawatan dalam MPP, namun MPP perlu membuka minda untuk berhadapan dengan cabaran dan tuntutan pada masa hadapan. Sebagai kepimpinan mahasiswa baru, pelajar mengharapkan MPP akan membawa suatu perubahan yang positif kepada universiti dan negara,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Bagi calon umum, Amer Izzuddin Abdul Rashid, 22, yang mendapat undi 12,340 iaitu yang tertinggi berkata, perubahan sikap dalam kalangan mahasiswa perlu dilakukan kerana desakan bukanlah cara terbaik untuk mendapatkan sesuatu yang mampu mengorak langkah ke arah menyatupadukan antara universiti dan pelajar.

“Saya yakin sebagai mahasiswa yang berfikiran intelektual dan terbuka harus mengkaji secara mendalam sebelum desakan dilakukan.

“Pendekatan yang terbaik adalah menggunakan adalah melalui perundingan dalam mendapatkan atau menyampaikan sesuatu kepada pihak Pengurusan universiti,” katanya.

Amer Izzuddin berkata, mahasiswa juga perlu mentafsirkan kehendak perubahan itu dengan perkataan 'gap' atau jurang di antara masa lalu dengan masa kini dan di antara persekitaran sekarang dengan persekitaran masa lalu.

“Apabila mahasiswa memahami erti perubahan menempuhi realiti dan cabaran semasa bagi mengatasi jurang yang ada, sekali gus membawa kepada kemajuan kepada universiti dan negara,” katanya.

Sementara itu, Rafidah Mahmad, 21, yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak berkata, beliau dan rakan-rakan yang memenangi pilihan raya akan kampus akan bekerja keras dan melakukan perubahan dengan mengambil pendekatan untuk berunding bagi mendapatkan sesuatu dengan pihak pentadbiran universiti.

“Saya yakin barisan kepimpinan baru MPP akan mampu membawa perubahan dalam menjayakan aspirasi UUM. Perubahan yang terpenting dalam mencapai misi universiti itu ialah ke arah kecemerlangan serta menjaga kebajikan pelajar.

“Dua misi ini menjadi tumpuan utama kami. Untuk itu, pelbagai program bakal dirancang dan disusun bagi menjayakannya," ujarnya.

Pilihan raya Kampus UUM menyaksikan 95.6 peratus yang keluar mengundi daripada 15,204 yang berdaftar.

Pengundian dijalankan bagi memilih MPP bagi 12 kerusi umum dan masing-masing 8 bagi kerusi Kolej UUM CAS, UUM COB dan UUM COLGIS.

Pengumuman bagi keputusan itu diumumkan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak di Pusat Kegiatan Pelajar (PKP), UUM.

Dr. Mohamed Mustafa berkata, beliau berpuas hati dengan peratus yang keluar mengundi dan berharap mereka yang memenangi pilihan raya ini akan bekerja keras untuk memberi perkhidmatan seperti yang dijanjikan semasa berkempen.

“Saya berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya kali ini kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini kerana proses pilihan raya dijalankan secara demokratik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Mohd. Amy Azhar Mohd. Haris berkata, kesemua pemimpin pelajar yang dipilih ini akan menjalani kursus kepimpinan selama tiga hari mulai petang ini di Sungai Petani, Kedah.

Sebanyak 19 institusi pengajian tinggi (IPT) mengadakan pemilihan MPP dengan 12 IPT mengadakan pilihan raya kampus pada 22 Februari lalu.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dijadualkan mengadakan pemilihan pada 24 Februari lalu.

Alumni perlu sumbang kepada universiti


Najib Tun Razak bergambar bersama penerima anugerah selepas menyampaikan Anugerah Khas Alumni 2011 pada Majlis Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Alumni UIAM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Feb. - Bekas penuntut atau alumni institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu berperanan menyumbang kepada kejayaan serta pembangunan universiti, masyarakat dan negara.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka mempunyai kekuatan tersendiri dan perlu mencontohi alumni universiti terkemuka dunia seperti Havard University dalam memajukan bukan sahaja universiti malah negara.

"Kita di sini masih belum sampai ke peringkat itu lagi. Ada banyak cara alumni mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada perkembangan universiti dan pembangunan negara.

"Pertamanya, sumbangan secara langsung kepada kejayaan universiti seperti dari segi kewangan. Mungkin alumni melalui persatuannya dapat membiayai pengajian penuntut.

"Keduanya, peranan mereka dalam konteks kemasyarakatan. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sosial, umpamanya alumni boleh turun padang mengajar bahasa Inggeris di kampung-kampung," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Mengulas lanjut Najib berkata, selain universiti dan masyarakat, alumni juga boleh membantu kerajaan dalam mendukung agenda nasional.

"Untuk menjadi negara maju menjelang 2020, kita perlu sokongan dan penglibatan semua rakyat terutama lepasan universiti. Jika anda (alumni) menyokong, saya percaya kita mampu mencapai agenda nasional," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memperuntukkan RM2.68 bilion untuk membiayai pengajian penuntut di peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran (PhD).

Daripada peruntukan itu, seramai 24,300 orang menerima pembiayaan PhD dan 40,000 lagi di peringkat sarjana.

Terdahulu, Najib turut melancarkan logo rasmi Persatuan Alumni UIAM dan menyampaikan Anugerah Tokoh Alumni 2011 kepada Dr. Mahathir serta anugerah-anugerah lain.

Bebaskan komputer daripada virus

Soalan 1

Apakah langkah terbaik yang perlu diambil untuk memastikan komputer bebas daripada virus?.

Ini kerana sering berlaku keadaan membabitkan sesebuah komputer yang telah dilengkapi perisian anti virus tetapi masih berhadapan dengan masalah serangan virus. — Mohd. Faliq

Beberapa langkah yang boleh diambil

* Pastikan anda menggunakan filem, lagu, permainan, perisian atau program komputer yang tulen.

Ini termasuk bahan yang mengandunginya seperti DVD, CD dan lain-lain.

Berkemungkinan besar bahan-bahan yang tidak tulen tersebut juga mempunyai virus komputer.

* Sentiasa mengemaskini Windows dengan Windows Update pada laman web Microsoft.

* Sentiasa mengemas kini enjin atau program kemas kini perisian anti virus yang digunakan.

* Buat salinan pendua konfigurasi Windows menggunakan Systems Restore.

Namun ia tidak kebal kepada virus tetapi hanya beroperasi seperti biasa dalam masa tertentu sebelum kembali kepada keadaan yang di serang virus komputer.

* Tidak memuat turun program-program komputer yang dicurigai di Internet atau dalam e-mel. Sekiranya mahu memuat turun program komputer itu juga, ia perlu diimbas terlebih dahulu menggunakan perisian anti virus yang telah dikemas kini. Elakkan daripada program-program perkongsian fail P2P seperti Torrent dan Kazaa kecuali anda tahu dari mana fail tersebut di muat turun

* Melayari Internet dengan selamat. Pelayar web yang digunakan seperti Mozilla, IE dan sebagainya perlu dikonfigurasikan dengan selamat dan betul di bahagian fungsi sekuriti seperti sentiasa tidak membenarkan pop-up Windows atau tetingkap terbuka.

* Sentiasa mengimbas program atau fail komputer yang diperolehi daripada luar dengan perisian anti virus yang telah dikemas kini seperti cakera Flash USB, disket, CD, DVD dan sebagainya .

* Pasang program firewalls persendirian atau personal firewall untuk menambah baik sistem perlindungan komputer anda tetapi ia perlu dikonfigurasikan dengan baik.

Dalam Windows sudah terdapat program tembok api ini yang dikenali sebagai Windows Firewall. Program-program yang lain adalah seperti Zone Alarn, Sygate dan lain-lain.

Inilah antara langkah awal yang boleh diambil.

Soalan 2

Boleh terangkan apa perbezaan antara RAM dengan ROM.

Persamaan antara RAM dan ROM adalah kedua-duanya merupakan sejenis memori komputer.

RAM adalah singkatan untuk Random Access Memory dan ROM adalah singkatan untuk Read Only Memory.

RAM, simpanan data di dalamnya bersifat sementara manakala ROM pula simpanan data dalamnya adalah bersifat kekal.

Sebagai contoh, RAM akan digunakan untuk menyimpan segala maklumat atau data yang sedang dilarikan dalam komputer seperti membuka pelayar web untuk melayari Internet, membuka fail, bermain komputer dan sebagainya.

Sekiranya berlaku gangguan elektrik, komputer akan terpadam. Apabila komputer ini dibuka semula, segala maklumat atau data yang dibuka sebelum ini akan terpadam sekiranya ia tidak disimpan dalam cakera keras. Ini kerana ia disimpan secara sementara di dalam RAM.

Manakala ROM pula, biasanya ia digunakan untuk menyimpan maklumat atau data berkenaan dengan spesifikasi dan konfigurasi komputer seperti maklumat berkenaan dengan perkakasan dan sistem komputer seperti yang terdapat dalam BIOS (Basic Input Output System) dan sebagainya.

Apabila dibuka, data dan maklumatnya tetap sama kerana ia disimpan secara kekal dalam ROM.

Projektor interaktif pelbagai fungsi


Eileen Soh menunjukkan kelengkapan projektor terbaru syarikatnya.


MEMPERLUAS rangkaian produk elektronik keluaran syarikatnya, ViewSonic baru-baru ini tampil dengan siri projektor berteknologi tinggi sesuai untuk operasi di rumah atau pun bagi tujuan profesional.

Kehadiran semua projektor untuk siri PJD7 dan Pro8 itu dilihat bakal menawarkan pengalaman tayangan menerusi platform pemprosesan cahaya digital ke peringkat lebih cemerlang dari segi kualiti dan interaktiviti.

Untuk siri PDJ7, ia ditampilkan dalam dua model iaitu PJD7383i dan PJD7583wi dengan sasaran operasi pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Kedua-dua model berkenaan diintegrasikan bersama ciri mesra pengguna, paparan tiga dimensi tersedia (3D ready), 3,000 lampu lumen, resolusi 1,024 x 768 dan proses pemasangan mudah.

Apa yang unik, model-model itu turut dilengkapi keupayaan interaktif yang membenarkan pengguna menulis secara terus pada imej yang dipaparkan menerusi pen khas dikenali sebagai PointBlank Pen.

Selain itu, ia turut disempurnakan bersama teknologi lontaran imej berjarak pendek iaitu kurang daripada satu meter dari skrin bersaiz 80 inci serta mempunyai mikrofon binaan dalam dan sambungan USB.

Ia juga tersedia bersama sokongan sambungan LAN untuk membolehkan operasinya dapat dipantau, dirus dan diselenggara oleh pihak tertentu sebagai contoh bahagian teknologi maklumat (IT).

Menurut Pengurus Negara ViewSonic, Eileen Soh, dengan semua kelebihan itu, ia akan memudahkan perjalanan aktiviti pengajaran di dalam kelas.

"Produk inovatif ini bakal membantu para pengajar berkomunikasi dengan pelajar secara lebih efektif sekali gus dapat menarik perhatian mereka," katanya.

Melihat siri Pro8 pula, antara model-model yang ditampilkan adalah seperti Pro8200, Pro8500 dan Pro8450w.

Kesemuanya didatangkan bersama kelebihan teknologi BrilliantColor untuk meningkatkan kesan kualiti pada paparan.

Model Pro8200 dibangunkan secara eksklusif untuk menyokong operasi bersama sistem teater rumah dengan kelebihan seperti resolusi 1920x1080, warna bertenaga, paparan video berdefinisi tinggi (HD) dan kualiti pencerahan tinggi.

Untuk Pro8500 pula, ia merupakan projektor profesional untuk kegunaan komersial dengan dilengkapi 5,000 lampu lumen, resolusi 1024x768 XGA dan mampu beroperasi dalam apa juga situasi pencahayaan.

Sementara untuk model Pro8450w, ia dibangunkan dengan teknologi pencerahan tinggi yang menawarkan paparan warna lebih jelas selain mempunyai 4,500 lampu lumen dan beresolusi 1280x800 WXGA.

Model ViewSonic PJD7383i dan PJD7583wi masing-masing dijual pada harga pasaran RM5,999 dan RM6,999.

Bagi model Pro8200 pula, harganya RM5,099, Pro8500 (RM7,999) dan Pro8450 (RM6,999)

Untuk maklumat spesifikasi dan teknikal lebih terperinci, sila layari laman web www.viwsonic.com.

Memandu guna otak


BRAINDRIVER akan memberi manfaat kepada golongan cacat untuk memandu tanpa menggunakan tangan.


APABILA memandu, gunalah otak." Ia merupakan ungkapan yang selalu kita dengar bagi mengingatkan para pemandu agar tidak memandu sesuka hati, sebaliknya menggunakan akal fikiran ketika berada di jalan raya.

Bagaimanapun, artikel ini bukan ingin memberi panduan memandu menggunakan otak atau pemanduan berhemah tetapi berkongsi maklumat mengenai kajian saintis yang berusaha memperkenalkan kaedah memandu kereta 'hanya menggunakan otak.'

Sememangnya saintis sebelum ini telah berusaha membangunkan pelbagai kaedah atau teknologi untuk membaca gelombang otak dan kemudiannya menterjemahkannya kepada tindakan mekanikal seperti mengawal tangan robot, permainan video dan sebagainya.

Ada juga kajian kawalan telefon dan televisyen yang sedang dijalankan oleh saintis.

Jangan anda tidak percaya, saintis kini juga sedang berusaha membangunkan teknologi bagaimana manusia boleh memandu kereta tanpa menggunakan tangan, sebaliknya hanya mengarahkannya melalui minda!

Aplikasi dikenali sebagai BrainDriver itu akan menghubungkan otak manusia dan komputer yang membolehkan kereta dipandu tanpa perlu memegang stereng.

Penyelidik yang diketuai oleh Raul Rojas, profesor bidang kepintaran buatan di Freie Universitat Berlin, Jerman, menggunakan "Emotiv neroheadset" untuk merekod aktiviti otak pemandu.

Set kepala neuro merupakan alat 'electroencephalography' atau EEG yang pada asalnya dibangunkan untuk kegunaan permainan video oleh syarikat Emotiv dari San Francisco, Amerika Syarikat.

Bagi seseorang pemandu yang ingin menggunakan sistem pemanduan tanpa tangan ini, mereka perlu melakukan beberapa latihan mental terlebih dahulu.

Melalui latihan ini, pemandu akan cuba mengalihkan barangan secara maya (di skrin komputer) dengan hanya menggunakan fikiran dan bukannya menggunakan tetikus.

Pemandu itu akan memakai set kepala Emotiv untuk merekodkan aktiviti mindanya supaya alat itu dapat mengenalinya dengan lebih baik.

Apa yang penting adalah komputer dapat memahami empat arahan penting pemandu iaitu "berhenti, mula, kiri dan kanan."

Dalam satu temu bual, Rojas memberitahu IEEE Spectrum, aplikasi BrainDriver masih di peringkat kajian dan masih tidak boleh digunakan untuk kegunaan di jalan raya.

Bagaimanapun, pembangunan aplikasi antara muka antara manusia dan mesin yang semakin baik akan membolehkan matlamat tersebut dicapai dalam dunia pemanduan.

Bagaimanapun, beberapa ujian yang dijalankan telah membuktikan perkara tersebut boleh dilakukan dan pemanduan tanpa tangan sememangnya boleh dilakukan dengan BrainDriver.

Kajian yang dikenali juga sebagai Projek AutoNOMOS diyakini akan memberikan bentuk pemanduan yang lebih selamat dan mesra alam di masa depan.

Ujian menunjukkan sensor yang dipasang pada kepada pemandu boleh menterjemahkan arahan-arahan mudah yang berkaitan dengan arah, kelajuan dan membrek.

Rojas berkata, sistem komputer yang berada dalam kereta boleh mengenalpasti apa yang dilakukan oleh kereta-kereta lain tetapi ia sukar mengesan arah pergerakan pejalan kaki.

Katanya, projek ini sememangnya leih tertumpu kepada pembangunan teknologi tetapi tidak mustahil ia akan boleh digunakan untuk pemandu-pemandu cacat di masa depan.

Bagi pemandu biasa pula, BrainDriver pula boleh meningkatkan tahap keselamatan seperti mengetahui bila pemandu berasa mengantuk atau tertidur dan kemudiannya mengejutkannya dengan bunyi atau gegaran.

AR fenomena


teknologi AR juga boleh digunakan dalam pengurusan dan perancangan bandar melalui model yang dihasilkan.


Pernahkah anda menonton filem Terminator? Masihkah anda ingat babak yang memaparkan pandangan daripada mata robot Terminator yang mampu menunjukkan informasi bersebelahan sesuatu objek dilihat olehnya?

Ia seolah-olah seperti anda sedang memakai cermin mata khas yang mampu memaparkan imej tiga dimensi (3D) serta informasi berkenaan subjek yang sedang dilihat.

Mungkin suasana tersebut merupakan antara contoh terbaik bagi menerangkan teknologi Augmented Reality (AR) yang sedang dibangunkan di Malaysia kini.

AR diasaskan oleh Tom Caudell pada 1992 untuk kegunaan dalam projek pemasangan wayar elektrik di syarikat Boeing.

Ia merupakan antara teknologi pengimejan yang sangat baru dan jarang digunakan pada ketika itu namun teknologi tersebut didapati amat membantu juruteknik kapal terbang dalam proses pendawaian elektrik dengan betul dan tepat.

Apakah teknologi AR yang sebenar? Ia merupakan gabungan dunia sebenar dan data yang dihasilkan komputer lalu dipersembahkan secara visual.

Di negara ini, teknologi berkenaan telah diperkenalkan oleh syarikat Friendly Rabbit Media (FRM) Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab menghasilkan perisian bagi telefon bimbit seperti filem pendek, animasi 3D, permainan dan pelbagai aplikasi lain.

Menurut pengasas FRM Sdn. Bhd., Amar Zulkifli, jika dahulu teknologi AR boleh dikatakan fiksyen sains semata-mata namun tidak lagi pada hari ini.

"Sebenarnya, kita telah banyak didedahkan dengan teknologi AR dalam filem-filem terbitan Hollywood.

"Contoh paling mudah, teknologi tersebut telah digunakan dalam filem Terminator yang di hasilkan pada seawal tahun 1984 lagi," ujar beliau ketika di temui baru-baru ini.

Teknologi AR terdiri daripada dua jenis

Pertama, ia berdasarkan penanda untuk melihat imej yang dihasilkan kawasan yang bertanda akan dihalakan kepada kamera komputer.

Apabila tanda tersebut dikesan, imej produk berbentuk 3D akan keluar di dalam video yang diambil dan bersiar secara langsung.

Kedua, berdasarkan mercu tanda atau lokasi di mana sistem AR akan diprogramkan bersama informasi berkenaan lokasi yang anda rakamkan melalui kamera telefon pintar.

Namun sistem tersebut bergantung kepada maklumat yang disediakan serta arah kedudukan anda menghadap untuk merakamkan gambar lokasi tersebut.

Justeru teknologi AR bukan sahaja boleh digunakan dalam sektor pembuatan serta seni sahaja malah ia juga boleh dikembangkan ke sektor pelancongan.

Malah, majalah untuk tujuan pengiklanan apa jua jenis produk yang dijual. Lebih menarik, syarikat tersebut telah diberi mandat untuk mengunakan teknologi tersebut dalam pementasan teater Muzikal Tun Mahathir yang pernah ditayangkan sebelum ini .

Jelas Amar, ia merupakan satu kejayaan kepada FRM kerana diberi kepercayaan untuk menyediakan prop yang terdiri daripada imej 3D bagi membantu menjadikan teater tersebut lebih menarik.

"FRM dipertanggungjawabkan untuk menyediakan beberapa babak yang memperlihatkan jasa Tun Mahathir membangunkan negara.

"Ia seperti babak di mana Isma Daniel (watak Tun Mahathir) mengangkat tangan lalu sebuah demi sebuah bangunan muncul dalam bentuk imej 3D di layar pentas," ujarnya.

Bagi babak tersebut, beliau menggunakan teknik pengesanan wajah sebagai penanda bagi membolehkan komputer mengesan sekali gus mengeluarkan imej bangunan mengikut kehendak pelakon.

Selain itu, ketika babak diserang tentera Jepun yang menggunakan kapal terbang juga di dalam bentuk imej 3D.

Selain menjadi suatu yang berbeza, teknologi AR juga mampu mengurangkan kos membina prop yang sukar dan mahal untuk pementasan seperti Muzikal Tun Mahathir tersebut.

Ketika ditanya, adakah perancangan FRM selepas ini, Amar berkata pihaknya akan terus berusaha untuk memperkenalkan teknologi tersebut kepada orang ramai.

Ia berikutan teknologi AR antara teknologi yang sangat baru dan masih belum diperkenalkan secara meluas di negara ini.

Bagi yang berminat anda boleh melayari laman web syarikat tersebut di www.friendlyrabbitmedia.com untuk mendapatkan penerangan serta maklumat lanjut.

Jaminan keselamatan IT


Selain perisian perlindungan keselamatan bagi data digital, syarikat ini juga membekalkan kad pintar pelbagai guna.


DI wujudkan sejak Mei 2005, Orea Technologies Sdn. Bhd. terus melangkah maju dalam mempromosi produk teknologi maklumat (IT) ciptaan seratus peratus tenaga mahir tempatan.

Lebih membanggakan produk IT yang dikeluarkan oleh syarikat ini adalah hasil kerja anak-anak tempatan bumiputera.

Di kenali hanya sebagai OREA, syarikat yang di terajui oleh Norshafida Abdul Khalid sebagai Pengarah Urusan sehingga kini telah menghasilkan lapan jenis produk IT yang telah dipasarkan ke seluruh negara.

Menurut Norshafida, OREA memfokuskan perhatian kepada produk berupa perisian keselamatan IT untuk perlindungan data digital.

"Syarikat OREA menawarkan perisian yang boleh menjamin keselamatan bagi melindungi data digital dalam pelbagai medium.

"Data digital yang ada kini terdiri daripada pelbagai format antaranya video, fail PDF, Words, Excel, jpeg, Image atau ia boleh berada di dalam peranti seperti pemacu cakera USB, cakera keras tambahan, komputer, kamera digital, telefon bimbit dan pelbagai lagi," katanya ketika di temui di pejabatnya di ibu negara baru-baru ini.

Malah, perisian yang dikenali sebagai OREACrypt tersebut turut sesuai untuk digunakan untuk melindungi aset di dalam bentuk data digital seperti harta benda, pelan perniagaan, kertas kerja, video dan gambar personal di dalam gajet digital.

Jelas Norshafida lagi, jika segala data tersebut tidak dilindungi dan tersebar mahupun jatuh ke tangan pesaing perniagaan mahupun individu yang berniat jahat mungkin ia akan merosakkan perniagaan mahupun imej seseorang.

Secara mudahnya, perisian OREA buatan tempatan tersebut mampu melindungi segala jenis data digital sulit di dalam apa jua jenis gajet yang menyimpannya.

Antara produk perisian keselamatan IT yang telah dihasilkan oleh OREA adalah OREACA™, OREACryptSIM™, OREACryptUSB™, OREACryptMail™, OREACryptIM™, OREACryptData™ dan OREACryptSIM™.

Selain perisian untuk tujuan keselamatan, OREA turut membangun dan menghasilkan Kad Pintar Pelbagai Guna.

"Kad tersebut adalah seperti yang anda lihat dan guna kini iaitu kad bank, kad pelajar, kad ID, kad sim GSM, kad nama plastik bersama cip mahu pun tanpa cip.

"OREA juga merupakan satu-satunya syarikat tempatan di negara ini yang beroperasi mengeluarkan kad pintar pelbagai guna sejak akhir tahun lalu," ujar beliau.

Kebiasaannya industri pembuatan kad pintar pelbagai guna ini didominasi oleh syarikat dari luar negara.

Selain pembuatan kad, OREA turut menawarkan kemahiran untuk aplikasi dan penyelesaian kad pintar di negara ini.

Selain menawarkan produk berdasarkan persekitaran IT tempatan, OREA juga dalam langkah mengembangkan produk syarikatnya ke peringkat global.

Baru-baru ini, syarikat ini juga telah tersenarai sebagai penerima Anugerah ICT NEF-AWANI 2010 dalam kategori Syarikat Paling Inovatif.

Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Industri dan Usahawan ICT Bumiputera Malaysia (NEF) bersama saluran berita televisyen, Astro Awani.

Ujar Norshafida, melalui pendedahan serta anugerah melalui media massa dan cetak ini diharapkan produk keluaran syarikat beliau lebih dikenali.

Kamera pengawasan mini


SAKSIKAN video yang dipaparkan pada monitor LCD.


Kualiti kehidupan masa kini terus menjadi rungutan apabila kejadian banjir kilat, longkang berbau busuk dan serangan nyamuk menjadi fenomena yang menghantui sesetengah penduduk.

Ia adalah kerana kegagalan pihak -pihak tertentu yang bertanggungjawab menyelenggara longkang yang tersumbat dan sekali gus membasmi masalah denggi yang semakin berleluasa masa kini.

Masalah longkang tersumbat sering menjadi isu disebabkan kesukaran untuk mencari punca tersumbat memandangkan keadaan longkang yang gelap dan tinggi.

Jika tidak diselesaikan dengan segera,ia mengundang pelbagai masalah, termasuk mengancam nyawa penduduk.

Siri inovasi kali ini Zull Design Autotronic akan menunjukkan cara untuk mereka alat inovasi iaitu 'Main hole camera yang boleh menyelesaikan masalah untuk mencari punca longkang tersumbat dan boleh digunakan bagi kegunaan aktiviti-akitviti yang lain.

Alat-alat yang digunakan

nKamera infra merah

*Pemegang (handle)

*Bateri

*Pocket bag

*Wayar

*Monitor LCD

Langkah-langkah

nSambungkan kamera infra merah kepada pemegang sepert i gambar rajah.

*Letakkan bateri ke dalam pocket bag dan sambungkan pada kamera infra merah dan LCD monitor dengan menggunakan wayar yang sesuai.

*'ON' kamera dan halakan pada tempat yang diingini

*LCD Monitor akan memaparkan shoot yang diambil oleh kamera tadi. Selamat mencuba.

Discovery berlabuh di ISS


Imej dari NASA TV menunjukkan kapal angkasa lepas, Discovery selamat bercantum dengan Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), kelmarin.


CAPE CANAVERAL, Florida 27 Feb. – Kapal angkasa lepas, Discovery tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam dalam misi terakhirnya sebelum Amerika Syarikat (AS) menamatkan khidmat tiga kapal angkasanya tahun ini.

Discovery yang membawa 10 tan bekalan kargo dan enam krew itu, berlepas Khamis lalu untuk misi selama 11 hari yang juga penerbangan ke-39 dan terakhirnya.

Dua lagi kapal angkasa lepas milik AS, Endeavour dan Atlantis dijadual mengadakan misi terakhir dalam tempoh enam bulan akan datang.

Sebelum bercantum dengan ISS pada pukul 2.14 petang (4 pagi waktu Malaysia), komander Steven Lindsey memusingkan kapal angkasa itu bagi membolehkan krew di stesen ISS yang diketuai oleh angkasawan NASA, Scotty Kelly mengambil gambar perisai haba Discovery.

NASA menganalisis gambar itu untuk memeriksa kerosakan akibat kesan hentakan serpihan ketika pelancaran Khamis lalu, pemeriksaan rutin sejak Discovery menyambung semula perkhidmatannya selepas terlibat dengan kemalangan pada 2003 di Colombia.

Agensi angkasa lepas AS itu tidak mengeluarkan sebarang laporan mengenai kerosakan Discovery, kapal angkasa tertua yang masih beroperasi, walaupun empat keping bahan penebat berbusa tertanggal daripada tangki bahan bakarnya semasa pelancaran.

Krew Discovery termasuk juruterbang Eric Boe serta angkasawan Michael Barratt dan Nicole Stott membawa tempat penyimpanan baru, modul penyelidikan, sebuah platform simpanan luaran, alat ganti radiator dan robot prototaip seperti manusia digelar Robonaut 2, atau R2 yang dibina hasil kerjasama dengan General Motors Co.

NASA dijangka akan membuat keputusan Selasa ini sama ada akan melanjutkan misi kali ini sehari lagi untuk sesi penggambaran yang tidak pernah dibuat sebelum ini.

Selepas misi ini selesai, Discovery yang buat pertama kalinya melakukan penerbangan pada 1984, akan ditempatkan di muzium.

Inovasi untuk petani


Hasmin Hakim Abdullah menunjukkan isi rambutan dalam air gula sama seperti longan dan laici.


Perkembangan industri pertanian menyebabkan permintaan tenaga buruh tinggi dan pada masa sama kosnya membimbangkan pengusaha.

Pelbagai langkah perlu diambil bagi menghadapi masalah pengambilan tenaga buruh asing.

Pada masa sama, pelbagai agensi kerajaan mula membangunkan program berasaskan mekanikal dan automasi selaras dengan perkembangan industri pertanian.

Berdasarkan laporan beberapa tahun lepas, penggunaan jentera dan mesin pertanian hanya 14 peratus dan wajar ditingkatkan memandangkan banyak inovasi pertanian telah dibangunkan bagi membantu golongan usahawantani.

Di negara ini, peneraju pembangunan teknologi pertanian ialah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

MARDI ditubuhkan sejak empat dekad lalu telah menghasilkan pelbagai mesin bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) .

Lebih membanggakan, banyak mesin ciptaan MARDI bukan saja mendapat pengiktirafan pada pertandingan reka cipta dan inovasi di dalam dan luar negara malah telah dipaten, dikomersial dengan lesen dan digunakan oleh usahawantani.

* Sistem penggredan automatik bagi buah-buahan tropika

Mesin yang mendapat sentuhan pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi MARDI, Dr. Teoh Chin Chuang berupaya menggredkan empat jenis buah iaitu belimbing, mangga, betik dan nanas.

Dr. Chin Chuang berkata, idea membina sistem penggredan buah-buahan bermula apabila melihat kesulitan pusat pengumpulan menggred buah-buahan.

"Pekerja yang mahir diperlukan bagi meneliti warna buah selain mesin penimbang bagi menimbang berat buah seperti yang ditetapkan oleh Lembaga Pemasaran Persekutuan (FAMA).

"Bagaimanapun masalah timbul apabila tiada keseragaman dalam penggredan semasa pemeriksaan FAMA," katanya.

Mesin yang dibangunkan oleh Dr. Chin Chuang menepati piawaian FAMA bagi tujuan eksport dengan ketepatan 98 peratus bagi warna dan hampir 100 peratus bagi berat.

Menggunakan mesin ini, pengusaha boleh menggred buah-buahan sebanyak 800 biji sejam hanya dengan dua tenaga kerja yang tidak berpengalaman.

"Seorang pekerja diperlukan bagi meletakkan buah-buahan ke mesin dan seorang lagi bagi pembungkusan buah-buahan," katanya.

Berbanding dengan kaedah manual, 10 orang pekerja hanya dapat menggredkan tidak sampai satu tan buah-buahan dalam masa lapan jam.

Menjalinkan kerjasama dengan Dynatex Solution Sdn. Bhd., MARDI telah memohon paten bagi mesin berkenaan dan memberikan lesen kepada syarikat berkenaan untuk mengkomersialkannya.

Mengambil masa tiga tahun membangunkan mesin berkenaan, rekaan Dr. Chin Chuang berjaya memikat hati juri apabila dianugerahkan Pingat Emas dan Anugerah Produk Malaysia Paling Inovatif semasa dipertandingkan di ITEX 2010 baru-baru ini.

* Pemutar Dorong Diri Kuasa MADOX

Industri sawit di negara ini menjana pendapatan kira-kira 17.4 juta tan tandan kosong sawit sepanjang tahun.

Ini merupakan sumbangan besar bahan mentah bagi menghasilkan baja organik.

Pihak RISDA, Sime Darby serta beberapa pengeluar berpotensi menghasilkan kira-kira 100 tan sejam tandan kosong sawit dan 100 tan sehari kompos.

Kompos dihasilkan menerusi proses aerobik dan pengeringan sisa pertanian yang memerlukan penggunaan mesin pembancuh.

Dalam proses kompos, mikrob perlu digaul sekata bagi memastikan taburan mikrob sekata dengan menggaul sekata sisa pertanian.

Justeru Pegawai Penyelidik di Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Muhammad Isa Othman membangunkan jentera membancuh yang dapat membantu usahawan baja organik.

Istimewanya jentera yang dinamakan MADOX mudah diselaraskan pada ketinggian berbeza dengan lebih berkesan.

"MADOX dapat membantu usahawan dalam proses penghasilan bahan kompos dengan menjadikan campuran mikrob, air dan mineral lebih sekata," katanya.

Pembancuh yang direka khusus bagi kotak gear tork tinggi MADOX menggunakan sistem motor hidraulik tunggal berkuasa rendah.

Teknologi berkenaan dibangunkan berdasarkan rekaan model tiga dimensi (3D) melibatkan pembuatan

pembancuh besar dan berat serta kotak gear.

"Jentera ini mudah digunakan sama ada di dalam bangunan atau tempat tertutup tanpa perlu mengubah struktur bangunan," katanya.

Jentera yang mendapat tiga anugerah iaitu Pingat Emas, Anugerah Malaysia Innovative Product dan Best Invention Research Institute/Organisations Category dalam proses pendaftaran paten manakala pengkomersialan sedang dijalankan bersama-sama syarikat Malift Sdn Bhd - Puchong Jentera.

* Mesin Mengasing Biji Rambutan

Rambutan merupakan salah satu buah-buahan tropika yang menghadapi masalah lambakan setiap musim.

Salah satu kaedah bagi mengatasi masalah berkenaan adalah dengan memproses rambutan dengan memberikan nilai tambah.

Bagaimanapun proses mengasing kulit dan biji rambutan adalah rumit, memakan masa dan memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Bagi mengembangkan industri pemprosesan rambutan, pengeluaran perlu banyak dan berterusan.

Bagaimanapun kos tenaga kerja yang tinggi sedikit sebanyak melumpuhkan industri pemprosesan rambutan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan Pegawai Penyelidik MARDI, Hasmin Hakim Abdullah telah mereka mesin mengasing biji dan kulit rambutan bagi kegunaan industri kecil dan sederhana.

"Mesin yang digunakan adalah unik, ringkas tetapi amat sesuai bagi mengasing biji dan kulit rambutan serentak," katanya.

* Mesin berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu

*komponen mengasingkan biji rambutan yang boleh disesuaikan dengan biji rambutan

*konsep menghiris kulit rambutan tanpa merosakkan isi

*saiz acuan yang boleh diubah bergantung kepada saiz buah

Hasmin berkata, mesin berkenaan mudah digunakan walaupun oleh pekerja tidak mahir manakala saiz acuan boleh diubah bergantung kepada varieti buah.

Mesin berkenaan boleh digunakan bagi membangunkan produk tambah nilai bagi pasaran tempatan dan eksport.

Selain itu ia dapat mengurangkan kos dengan memproses sehingga 360 biji rambutan sejam berbanding manual.

"Bagaimanapun lebih banyak rambutan boleh diproses apabila empat hingga enam pengasing biji rambutan digunakan serentak," katanya.

Mesin berkenaan sesuai digunakan bagi industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menghasilkan produk koktel, produk kaleng, jus, produk vakum kering dan produk beku kering.

* Sistem mengasingkan biji benih cili tanpa air

Kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan tanaman makanan dan biji benih sendiri semakin meningkat.

Bagaimanapun sehingga kini negara masih lagi mengimport biji benih tanaman dan sayur-sayuran dari luar negara.

Terdapat pelbagai peringkat dalam industri menghasilkan biji benih dan peringkat yang kritikal adalah sistem mengasingkan biji benih.

Terdapat pelbagai masalah berkaitan dengan pengasingan biji benih terutamanya cili dan biasanya petani menggunakan pisau bagi membelah cili dan mengasingkan biji benih cili.

Proses berkenaan biasanya menyebabkan keadaan tidak selesa kepada pekerja.

Justeru pegawai penyelidik Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, Yahaya Sahari membangunkan satu sistem bagi mengasingkan biji benih cili tanpa menggunakan air.

Sistem berkenaan terdiri daripada dua buah mesin iaitu mesin mengekstrak dan mesin mengasing biji benih tanpa menggunakan air.

"Hanya biji benih yang masak sepenuhnya akan digunakan untuk mendapatkan biji benih yang berkualiti.

"Sistem ini mengekstrak dan memisahkan biji benih cili yang segar dan sebaik saja dituai di ladang," katanya.

Mesin mengekstrak berfungsi menghancurkan dan membahagikan dua buah cili agar biji benih dapat dikeluarkan daripada bahagian dalam isinya.

Manakala mesin mengasing pula berfungsi untuk memisahkan biji benih cili daripada isinya dengan mudah.

Sistem berkenaan, jelas Yahaya boleh memproses sehingga 30 kg buah cili sejam berbanding 4 kg berbanding konvensional.

Menggunakan sistem berkenaan kadar kehilangan biji dapat dikurangkan malah dapat kadar percambahan meningkat sehingga 90 peratus.

"Sistem ini dijangka dapat menyelesaikan banyak masalah seperti tenaga kerja, mengurangkan kos pengeluaran dan menjadikan industri biji benih lebih berdaya saing," katanya.

Inovasi berkenaan jelas Yahaya dapat meningkatkan produktiviti kerana tidak memerlukan tenaga mahir dan

berpengalaman.

Apa yang lebih menarik, sistem berkenaan mudah dikendalikan dan diselenggarakan telah digunakan di MARDI, Jalan Kebun, Kelang, Selangor.

741 teknologi MARDI


MARDI sentiasa menjana teknologi untuk dikomersialkan kepada golongan peladang, penternak dan nelayan serta IKS.


Setakat ini sebanyak 741 teknologi telah dihasilkan oleh MARDI sejak tahun 1972 sehingga 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 110 teknologi telah berjaya dikomersialkan melalui perlesenan, perundingan, inkubator, TechnoFund dan public goods.

Jumlah teknologi produk makanan yang telah diguna pakai oleh usahawan IKS adalah sebanyak 240 jenis daripada pelbagai kluster produk makanan. Ia merangkumi lebih kurang 21 peratus daripada teknologi produk yang ada di MARDI.

Jumlah setiap kluster produk adalah berbeza. Contohnya hasilan ikan ialah 12.5 peratus dan makanan ringan atau snek 28 peratus.

Sebanyak 76 teknologi dijana dalam setahun (tahun 2010) dan tidak kurang 14 peratus dikomersialkan.

Selain inovasi-inovasi terbaru MARDI, satu lagi teknologi yang tidak kurang pentingnya ialah Mesin Penabur Baris Padi Jenis Traktor Untuk Bendang .

Kaedah menanam padi terus berkembang daripada menggunakan kuku kambing bagi mengubah anak benih padi kepada kaedah tabur serak dan terkini mesin tabur dalam baris.

Bagaimanapun teknik tanaman dalam baris yang dahulunya menggunakan tenaga manusia yang mana mesin tersebut perlu dipikul.

Perekanya - Pegawai Penyelidik Prinsipal, Sistem Elektronik dan Bangunan Persekitaran, Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Dr. Chan Chee Wan telah menaiktaraf mesin berkenaan.

Membandingkan tiga kaedah yang digunakan, Dr. Chan Chee Wan berkata, tabur serak walaupun murah tetapi mempunyai banyak masalah.

Dr. Chan berkata, kaedah tanam secara terus dalam baris banyak digunakan tetapi tidak menggunakan mesin.

"Teknik konvensional memerlukan kos yang tinggi kerana penggunaan tenaga buruh yang banyak.

"Misalnya mencerung memerlukan kos yang tinggi sekitar RM1,000 sehektar manakala tabur serak hanya RM350 sehektar, sementara tabur baris pula memakan belanja RM350 hingga RM400 sehektar," katanya.

Teknik tabur baris menggunakan traktor kecil yang diubahsuai dengan berat antara 350 hingga 500 kg dan ia tidak mudah terbenam di sawah.

Teknik tabur baris menggunakan traktor boleh menanam sehingga enam hektar sehari dengan seorang pekerja.

Manakala teknik mencerung hanya boleh menanam 1.2 hingga 1.5 hektar sehari dengan seorang pekerja.

"Teknik tabur baris juga lebih cepat dan menepati jadual penanaman padi sekarang yang lebih cepat," katanya.

Beliau menjangka penggunaan mesin tabur baris menggunakan traktor yang lebih cepat dengan kos yang rendah membolehkan pesawah mendapat keuntungan yang lebih besar.

Anggaran kos bagi teknik mencerung termasuk pusat semaian seluas 10.11 hektar bagi kawasan sawah 1,600 hektar dengan kapasiti semai tikar sebanyak 500,000 setahun dengan 20 unit mesin memerlukan kos RM8.1 juta.

Jika dibandingkan dengan teknik tabur baris menggunakan traktor bagi kawasan sawah padi seluas 1,600 hektar menggunakan tujuh buah mesin dengan 40 hari bekerja semusim. Ia hanya memerlukan kos antara RM 280,000 dan RM 400,000.

"Ini bergantung kepada kos mesin sekitar RM35,000 hingga RM55,000 seunit oleh syarikat Oryza Mechanique Sdn. Bhd. yang dilesenkan untuk mengkomersialkan mesin tabur baris menggunakan traktor," katanya.

Mesin yang telah diguna pakai di sawah padi di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah pada musim yang lalu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan petani.

Chee Wan berkata, penggunaan mesin tersebut dapat mengurangkan penggunaan biji benih sehingga 40 hingga 50 peratus.

Selain itu, kaedah tersebut dapat mengurangkan masalah pokok rebah sehingga 80 peratus berbanding tabur serak.

"Keistimewaan kaedah ini dapat dilihat dengan dua petak bersebelahan di mana satu petak ditanam secara tabur serak dan sebelah lagi secara tabur baris menggunakan traktor.

"Padi yang ditanam dengan teknik tabur baris menggunakan traktor hanya lima peratus dijangkiti bena perang berbanding 40 peratus pada petak tabur serak," katanya.

Tip penjagaan pokok petai


pokok yang baik berbuah dengan kadar enam kilogram sepokok dalam setahun.


Pengenalan
Pokok petai merupakan tumbuhan asli negara ini dan masih tumbuh meliar di kawasan hutan serta banyak terdapat di rantau Asia Tenggara.

Petai boleh diumpamakan sebagai raja segala ulam di kalangan penggemarnya kerana sedap dimakan secara segar, menjadi penyedap rasa di dalam masakan, malahan dijadikan sebagai dijeruk dan produk hiliran.

Nama botani atau saintifiknya petai ialah Parkia speciosa dan tergolong di dalam keluarga Leguminasae.

Pokok petai boleh ditanam dengan menggunakan sistem segi empat sama dengan jarak antara pokok ialah 12 meter x 12 meter.

Jumlah pokok petai yang boleh ditanam bagi keluasan sehektar ialah 69 pokok.

Teknik pembiakan pokok petai boleh dilakukan secara cantuman mata tunas dan biji benih.

Untuk pembiakan secara biji benih, digalakkan memilih biji petai yang telah tua dan besar.

Ia perlu disemai di dalam polibeg kecil atau kotak semaian pasir.

Selepas biji bercambah, tinggalkan satu anak benih yang sihat sahaja untuk hidup subur dan membesar.

Pembiakan secara mata tunas pula memerlukan pokok penanti petai, mata tunas petai dan peralatan cantuman seperti pisau cantuman dan plastik pembalut lutsinar.

Pokok yang telah berjaya dicantum akan diberikan naungan sehingga berumur tujuh bulan.

Pokok yang berumur melebihi umur tujuh bulan amat sesuai ditanam di kebun.

Tip Penjagaan

Di antara tip penjagaan pokok petai yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut:

Pengairan

* Pengurusan air yang berkesan dan teratur dapat menyumbang kepada peratus hidup yang tinggi di samping dapat memberikan kelembapan pada tanah dan suhu pokok.

* Terdapat dua kaedah pengairan yang boleh digunakan untuk membekalkan air kepada pokok iaitu secara manual

(tong penyiram air) dan sistem pengairan secara titis.

* Pemasangan pengairan secara titis memerlukan kemudahan seperti kolam atau takungan air, pam air, paip utama, paip penghubung dan komponen pengairan titis. Kelebihan penggunaan pengairan secara titis ialah dapat menjimatkan penggunaan air di samping mengurangkan kos penyiraman anak pokok.

* Anak pokok petai perlu disiram sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

* Tempoh untuk menyiram anak pokok bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan keperluan air oleh pokok, akan tetapi mengikut kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga bulan selepas ditanam.

Pengawalan rumpai

* Kawalan rumpai boleh dijalankan dengan menggunakan cangkul di peringkat awal dan penggunaan sungkupan dikeliling anak pokok memang dapat membantu mengawal rumpai secara berkesan.

"Selain itu, penggunaan racun rumpai yang bertindak secara sentuh (paraquat) boleh digunakan untuk mengawal rumpai yang tumbuh dikeliling anak pokok.

* Kekerapan meracun rumpai adalah disyorkan empat kali setahun dengan semburan di sekeliling pangkal pokok sahaja.

Pembajaan

* Program pembajaan anak pokok petai perlu dilakukan dengan kekerapan empat kali setahun.

* Penggunaan baja tumbesaran pada peringkat awal penanaman memang dapat membantu mempercepatkan pertumbuhan tunas, ranting dan pucuk yang baru dengan sempurna dan baik.

* Tahun pertama, penggunaan baja tumbesaran dengan kadar 600 gram sepokok untuk tempoh setahun. Ia perlu dibahagikan kepada empat kali pembajaan dalam setahun.

* Selepas pokok mengeluarkan hasil, penggunaan baja buah perlu untuk menggalakkan pokok berbuah dengan kadar enam kilogram untuk sepokok dalam setahun.

* Kaedah pembajaan yang paling baik dipraktikkan ialah dengan kaedah empat poket di keliling kanopi pokok. Selepas baja dimasukkan ke dalam lubang, tutup semula dengan tanah.

* Baja organik perlu ditabur dengan kadar antara 10 dan 20 kilogram dalam setahun. I juga bergantung kepada umur pokok dan kesuburan tanah. Kekerapan membaja ialah dua kali setahun.

* Kelebihan baja organik ialah dapat membantu menyuburkan tanah, membekalkan baja secara berterusan dan mempercepatkan pertumbuhan pokok secara optimum.

Pemangkasan

Pangkasan atas pokok (topping) digalakkan apabila ketinggian pokok petai mencapai 10 meter bagi mengawal ketinggian pokok untuk mengatasi kesulitan mengambil buah dan mengelakkan lenggai (papan) luka dan calar jika jatuh ke tanah semasa mengait buah.

Kawalan perosak

l Di antara perosak pokok dan buah petai pula adalah ulat pengorek batang dan buah. Di samping itu, haiwan liar seperti monyet dan tupai juga kerap memakan buah petai.

* Kawalan ulat pengorek batang adalah dengan menggunakan racun serangga dengan bahan aktif methamidophos, diazinion dan lain-lain racun yang disyorkan.

* Amalan kebersihan kawasan kebun yang baik dapat mengurangkan risiko pokok dan buah petai diserang perosak.