![]() |
| ABDUL Aziz Ahmad (kanan) bertanyakan sesuatu kepada anggotanya yang sedang menerima laporan daripada orang awam. |
NUSAJAYA merupakan salah satu daripada lima zon pembangunan utama dalam projek pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan ia meliputi kawasan seluas 9,600 hektar.
Projek pembangunan itu melibatkan tujuh komponen iaitu Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor (JSNAC), kelompok industri dan logistik selatan, hab perubatan dan 'EduCity' atau bandar raya ilmu.
Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor di Nusajaya bakal menjadi pembangunan bersepadu merangkumi kompleks pejabat kerajaan negeri dan persekutuan dalam satu kawasan seluas 320 ekar menghadap Selat Tebrau.
Dalam usaha untuk menjadikan Nusajaya sebagai sebuah bandar selamat, seorang polis berpangkat Supritendan diberi kepercayaan untuk menjaga keselamatan di daerah itu bagi meyakinkan bahawa bandar Nusajaya selamat untuk diduduki.
Supritendan Abdul Aziz Ahmad, 53, dilantik menjadi Ketua Polis Daerah Nusajaya pada tanggal 1 Ogos 2007 dan selama tiga tahun mengetuai daerah itu, pelbagai usaha dijalankan bagi memastikan keselamatan di kawasan itu terjamin.
Beliau menyifatkan tanggungjawab yang digalas di daerah itu merupakan sesuatu yang jauh lebih tinggi berbanding jawatan yang disandang beliau kerana Nusajaya menuntut tahap keselamatan yang amat tinggi.
Beliau memberitahu, dalam usaha untuk memenuhi tuntutan keselamatan, pihaknya sentiasa menyediakan mutu perkhidmatan terbaik bagi menarik keyakinan pelabur asing dan masyarakat setempat.
Ini kerana bandar itu merupakan lubuk pelaburan bagi projek pembangunan mega.
"Pada 21 Julai 2009, saya telah mengumumkan Nusajaya sebagai sebuah bandar selamat dan selaras dengan itu saya juga telah melaksanakan beberapa usaha untuk memastikan deklarasi itu menjadi kenyataan," katanya kepada Gaya Polis, baru-baru ini.
Anak kelahiran Pontian yang juga pemegang Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu memberitahu, beberapa pendekatan sedang digunakan termasuk menggunakan program kepolisan komuniti untuk membanteras kegiatan jenayah di kawasan kediaman di samping gerakan intensif cegah jenayah menggunakan kekuatan pasukan.
Selain itu katanya, pelan induk keselamatan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) juga merupakan salah satu daripada kerjasama yang dijalankan bersama pihak swasta bagi memastikan deklarasi bandar selamat mencapai objektif yang disasarkan.
Beliau berkata, perkara utama yang perlu dilaksanakan di sini adalah mengubah persepsi masyarakat terhadap keadaan jenayah semasa kerana ia merupakan sesuatu yang mustahak bagi menghilangkan keresahan dan ketakutan di kalangan masyarakat serta pelabur asing yang ada di Nusajaya.
"Antara usaha yang dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat ialah dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak media kerana media merupakan platform terbaik untuk memperbaiki persepsi negatif di kalangan masyarakat. Kita melihat usaha ini berjaya membuahkan hasil," jelasnya.
Selain itu katanya, pengalaman selama 19 tahun dalam Cawangan Khas juga akan digunakan bagi menurunkan kadar jenayah di daerah ini secara total.
Jelasnya, persepsi keselamatan adalah sangat penting di Nusajaya kerana di sini merupakan hab ekonomi Johor dan juga salah satu daripada pusat pelaburan terpenting di Malaysia, maka aspek keselamatan adalah mustahak.
Beliau yang sebelum ini pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar berkata, indeks jenayah untuk tahun 2010 dilihat menurun secara mendadak berbanding pada tahun sebelumnya dan IPD Nusajaya mensasarkan penurunan sebanyak 30 peratus menjelang penghujung tahun ini.
Katanya, jenayah pecah rumah siang dan malam hari mencatatkan penurunan drastik pada tahun ini dengan masing-masing sebanyak 60.37 peratus dan 61.48 peratus.
Selain itu katanya, jenayah kekerasan dan curi motosikal juga turut mencatatkan penurunan sebanyak 43.8 peratus dan 17.8 peratus.
Jelasnya, kawasan panas Nusajaya iaitu Bukit Indah juga turut mencatatkan penurunan indeks jenayah yang ketara iaitu sebanyak 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Persepsi masyarakat
"Penurunan indeks ini adalah sesuatu yang sangat baik dan ia adalah hasil usaha para anggota dan pegawai di seluruh IPD Nusajaya. Tambahan pula pada tahun ini Nusajaya mendapat tambahan sebanyak 100 anggota dan pegawai baru, penambahan anggota itu sangat membantu kami di sini," jelasnya.
Bapa kepada empat orang anak itu juga memberitahu, terdapat sesetengah pihak mendakwa di Nusajaya terdapat banyak jenayah berlaku melibatkan warga asing kerana jumlah pekerja asing di daerah itu adalah lebih banyak berbanding di daerah lain.
"Dakwaan itu adalah tidak tepat sama sekali. Ia hanya persepsi masyarakat semata-mata. Realitinya, mereka ini hanya tiga peratus daripada indeks jenayah keseluruhan.
"Ia bukanlah sesuatu yang serius di sini cuma sesekali ada jenayah yang berlaku melibatkan mereka," jelasnya.
Selain daripada usaha-usaha yang dijalankan pihaknya juga turut mewujudkan sebuah skuad baru yang dipanggil Skuad Srikandi yang mana tugas mereka ini adalah memantau para suri rumah yang berada di rumah bersendirian ketika suami mereka bekerja pada siang hari.
Beliau memberitahu, sebuah balai polis juga di wujudkan di Kota Iskandar bagi memantau segala yang berlaku di kawasan berkenaan memandangkan ia merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri.
Balai Anjung yang terletak di Kota Iskandar itu merupakan hasil daripada kerjasama dengan syarikat korporat UEM Land yang mana tapak balai polis berkenaan adalah sumbangan mereka untuk memastikan kawasan berkenaan bebas daripada ancaman jenayah.
"Seramai 17 anggota dan pegawai yang berkebolehan ditempatkan di situ dan mereka semua dilatih secara khusus untuk menjaga Kota Iskandar. Kawalan keselamatan di situ adalah pada tahap yang terbaik di mana semua yang ditempatkan di situ mempunyai kemahiran dan pendidikan tinggi.
"Pegawai dan anggota yang terlatih sangat diperlukan di sini kerana di Kota Iskandar mengandungi aset-aset kerajaan yang sangat berharga. Mereka juga bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan projek-projek pembangunan di sini," jelasnya.
Beliau memberitahu, pelbagai usaha penambahbaikan akan terus dilaksanakan di sini termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di kalangan pegawai dan anggota termasuk menyiapkan mereka untuk bagi menghadapi perubahan pada masa akan datang.
Usaha itu, termasuk menghantar pegawai dan anggota untuk menghadiri kelas Bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan para pelabur dan warga asing yang ada di daerah ini.
Selain itu beliau berkata, pelbagai kejayaan berjaya dilakar bersama IPD Nusajaya antaranya, penganugerahan tiga balai polis contoh. Balai Polis Ulu Choh dan Balai Polis Gelang Patah dinobatkan sebagai balai polis contoh peringkat negeri manakala Balai Polis Kangkar Pulai diiktiraf sebagai balai terbaik Malaysia.
Sementara itu, beliau berharap pada 2015 jumlah keanggotaan di Nusajaya dapat ditingkatkan kepada 1,000 orang berbanding hanya 574 pada masa ini kerana bilangan penduduk dan pelabur dijangka akan meningkat pada masa akan datang.
Beliau berkata, ia merupakan satu keperluan dan jumlah keanggotaan perlu diselaraskan mengikut keadaan semasa agar dapat memenuhi kehendak masyarakat pada sesuatu masa tambahan pula Nusajaya bakal menjadi sebuah bandar moden pada masa akan datang.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: