Tuesday, October 19, 2010

Pelancongan jana pulangan RM53b tahun lalu


Ng Yen Yen (tiga dari kanan) bersama sebahagian ahli botani dari New Zealand dan Australia menikmati buah-buahan tempatan ketika melawat Taman Warisan Pertanian di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 18 Okt. - Kerajaan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM53 bilion pada tahun lalu hasil pelbagai promosi produk dan aktiviti pelancongan tempatan yang dijalankan dengan peruntukan RM460 juta.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, peruntukan tersebut termasuk inisiatif penyiaran iklan di luar negara seperti di CNN, BBC dan Aljazeera selain perkhidmatan 44 pegawai pelancongan di luar negara dan delegasi menteri serta timbalan menteri ke negara-negara sasaran.

"Melalui aktiviti hebahan dan penjelasan yang dilakukan di luar negara, masyarakat luar dapat mengenali Malaysia dengan lebih dekat dan memilih untuk datang ke sini.

"Ini secara tidak langsung memberi keuntungan dan faedah kepada mereka yang terlibat dengan industri pelancongan negara terutamanya peniaga, hotel, pemandu pelancong dan pemandu teksi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai kejayaan misi delegasinya ke New Zealand dan Australia pada Ogos lepas, di Taman Warisan Pertanian, di sini hari ini.

Pada majlis sama, Yen Yen turut menerima kunjungan enam ahli botani, wakil media dan agensi pelancongan dari kedua-dua negara tersebut.

Yen Yen berkata, kementerian menyasarkan pulangan pendapatan sebanyak RM168 bilion daripada 36 juta pelancong yang dijangka datang ke Malaysia pada 2015.

Pada masa sama, katanya, kementerian turut menyasarkan peningkatan jumlah pelancong Australia kepada 130,000 orang pada tahun ini untuk menjana pulangan pendapatan sebanyak RM535 juta kepada negara.

"Selain pelancong Australia, kita turut menyasarkan peningkatan kedatangan 100,000 pelancong dari New Zealand pada 2012 berbanding 63,000 orang tahun lepas.

"Untuk itu, sebuah pusat pelancongan negara akan dibuka di Auckland, New Zealand bagi membolehkan rakyat di negara itu didedahkan mengenai destinasi-destinasi pelancongan negara," katanya.

Mengulas lawatannya ke New Zealand dan Australia, beliau berkata, langkah tersebut dapat membangunkan produk pelancongan negara.

"Kita telah berjumpa dengan 50 wakil media kedua-dua negara untuk memperkenalkan Malaysia dan secara tidak langsung memperoleh publisiti secara percuma.

"Langkah ini lebih jimat berbanding terpaksa membeli iklan dan artikel di sana sehingga membabitkan kos sebanyak RM211,000," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, usaha untuk mempromosikan produk taman dan kebun botani tempatan perlu diteruskan supaya ia dapat dijadikan tarikan baru yang unik kepada pelancong.

"Di Semenanjung sahaja terdapat kira-kira 8,500 spesies tumbuhan berbunga dan ini tidak termasuk Sabah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai 10,000 dan 12,000 spesies berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: