“BAPA saudara saya pernah jalani pembedahan penggantian buah pinggang di India pada 1979 atau 1980. Pendermanya, lelaki muda umurnya dalam pertengahan 20-an. Bagaimana dia mendapat penderma, siapa yang menguruskan atau berapa bayarannya; saya tidak tahu.
Malah dia juga tidak tahu punca kematian bapa saudaranya itu, namun antara kemungkinan ialah berlaku penolakan pada buah pinggang baru (kerana ia dianggap bahan asing), jangkitan penyakit (yang dihidapi penderma) atau buah pinggang yang diterima bukanlah dalam keadaan baik.
Ini adalah antara risiko yang dihadapi penerima jika pemindahan organ termasuklah buah pinggang tidak melalui prosedur ditetapkan kementerian kesihatan di sesebuah negara.
Semua ini boleh berlaku kerana dalam proses pendermaan organ secara haram, tiada pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas penderma untuk memastikan dia bebas daripada jangkitan, penyakit, kesesuaian dengan penerima atau status (tahap fungsi) organ yang hendak didermakan.
Menurut Perunding Nefrologi dan Penasihat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan, Datuk Dr Zaki Morad, pemindahan organ atau transplan adalah kaedah rawatan paling berkesan khususnya bagi pesakit yang mengalami kegagalan organ peringkat akhir sama ada membabitkan hati, jantung dan paru-paru.
Bagi buah pinggang, walaupun ada pilihan lain seperti dialisis tetapi transplan adalah kaedah yang lebih baik di segi kos dan kualiti hidup. Kerana itulah ia menjadi rawatan yang sangat dikehendaki serta mendapat permintaan hangat.
Di seluruh dunia, organ yang sangat dikehendaki ialah buah pinggang dengan jumlah permintaan sebanyak 60,000 setahun diikuti hati (23,000) dan injap (5,000). Malangnya, di kebanyakan negara termasuk Malaysia, jumlah orang yang mahu menjadi penerima jauh melebihi angka yang sanggup menderma.
Pada 2004, berdasarkan laporan Jabatan Pembangunan Perubatan Kementerian Kesihatan, kadar pendermaan organ di Malaysia masih sangat rendah berbanding negara lain.
Di Sepanyol misalnya, kadar pendermaan organ mencecah 34.6 peratus, Amerika Syarikat (24.1 peratus), Belanda (15.5 peratus), Jerman (13 peratus), Britain (12.7 peratus), Arab Saudi (2.3 peratus) dan Malaysia (0.67 peratus)
Pendermaan organ selepas kematian (kadaverik) lebih diutamakan berbanding pendermaan ketika hidup. Ini kerana pendermaan sewaktu hayat mempunyai risiko dan hanya dibolehkan untuk satu buah pinggang dan sebahagian hati.
Selepas kematian, penderma boleh menderma apa saja organ dan tisu tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan padanya selain boleh menyelamatkan banyak nyawa dan memberi manfaat kepada orang lain.
Pendermaan ketika hidup hanya dibenarkan untuk ahli keluarga saja kerana ia boleh menimbulkan pelbagai isu berkaitan etika seperti penindasan kepada orang yang lemah atau miskin, paksaan dan jual beli.
Organ yang boleh didermakan di negara kita ialah jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, pankreas dan tangan manakala jenis tisu termasuklah kornea, injap jantung, salur darah (arteri dan vena), usus, tulang, tendon, ligamen dan kulit.
Buah pinggang daripada penderma kadaverik (selepas meninggal dunia) contohnya boleh menyelamatkan empat pesakit; dua yang menerima buah pinggang dan dua lagi akan mendapat tempat untuk rawatan dialisis.
Dengan ikrar penderma dan keizinan ahli keluarga, organ hanya boleh diambil apabila menderma sudah meninggal dunia mengalami kematian otak walaupun jantungnya masih berdenyut. Ramai yang tidak faham bagaimana perkara ini berlaku.
Menurut buku panduan pendermaan organ terbitan Bahagian Pendidikan Kesihatan, jantung kita mempunyai pacemaker atau perentak tersendiri daripada otak. Ia akan terus berdenyut selagi menerima bekalan oksigen.
Jika dikeluarkan daripada badan dan diletakkan dalam larutan tertentu serta diberikan bekalan oksigen, ia akan terus berdenyut bagi satu tempoh. Inilah sebabnya selepas mati otak, jantung akan terus berdenyut tetapi ia akan berhenti dalam satu tempoh walaupun bantuan maksimum diberikan.
Apabila seseorang disahkan mati otak, dia sebenarnya sudah meninggal dunia dan otaknya tidak lagi berfungsi. Kerana itu tindakan menghentikan alat bantuan pernafasan bukanlah penyebab kematian kerana ia hanya membuatkan jantung berdegup buat sementara.
Pilih transplan ‘halal’
Oleh kerana transplan menjadi rawatan terbaik bagi kegagalan organ peringkat akhir, maka di seluruh dunia permintaan untuk prosedur ini amat tinggi. Malangnya ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan ia sebagai barang dagangan di pasaran gelap.
Mungkin masih ada yang ingat kisah tiga lelaki: Mohammad Salim Khan, 35, Shakil Ahmed, 30, dan Naseem Mohammad, 27, dari Ahmedabad, Gujarat, India semuanya bekerja sebagai buruh kasar diculik, diberikan suntikan pelali dan dibedah untuk diambil buah pinggang ketika mereka tidak sedar pada Januari 2008.
Dalam tempoh sembilan tahun, kira-kira 500 rakyat India diambil buah pinggang oleh doktor yang menjalankan pembedahan transplan secara haram dan membekalkan buah pinggang kepada orang kaya di negara itu dan rakyat asing.
China, India, Filipina, Mesir, Pakistan dan Colombia adalah antara destinasi untuk mendapatkan organ sama ada secara ‘halal’ iaitu mengikut prosedur ditetapkan kementerian kesihatan sesebuah negara atau haram (pasaran gelap). Secara purata satu daripada 12 transplan dijalankan secara haram.
Menurut Pakar Bedah Fakulti Perubatan Universiti Harvard yang juga Pengarah Hal-Ehwal Perubatan Persatuan Transplan Organ Antarabangsa, Prof Francis Delmonico, transplan yang dijalankan secara haram atau tidak mengikut peraturan mempunyai banyak risiko kesihatan seperti:
a. Risiko penerima
“Tiada jaminan buah pinggang yang dibeli itu selamat. Buah pinggang dari China berkemungkinan mempunyai virus Hepatitis B dan HIV kerana ia datang daripada banduan yang dihukum mati. Buah pinggang dari India dan Pakistan pula diambil daripada buruh kasar.
“Siapa yang akan bertanggungjawab jika perkara sebegini berlaku? Doktor di negara yang menjalankan pembedahan transplan haram itu tidak akan buat rawatan susulan untuk anda. Doktor di negara itu tidak pedulikan keselamatan anda. Selepas pembedahan mereka terus lepas tangan,” katanya.
Jelasnya, oleh kerana ubat anti penolakan yang perlu diambil selepas pembedahan transplan melemahkan daya ketahanan badan, penerima akan lebih mudah terkena jangkitan; dia kemudian membawa ia balik ke negara asalnya dan membahayakan ahli keluarga.
Apa yang membimbangkan ialah jangkitan mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap antibiotik dan rawatan lain. Dalam keadaan ini, ia boleh membawa maut.
b. Risiko kepada penderma/penjual
Cegah perdagangan organ
“Perdagangan organ adalah salah walaupun ada persetujuan antara penjual dan pembeli. Ini kerana ia hanya akan memihak pembeli kaya manakala penjual atau pesakit yang miskin akan terus tertindas serta tidak dapat organ yang dinanti.
“Apa yang membimbangkan apabila perdagangan organ memasuki peringkat global, maka wujudlah ‘ahli perniagaan’ baru yang akan menyelinap masuk ke negara lain untuk mencari mangsa. Maka jenayah yang lebih besar akan terjadi.
“Untuk mencegahnya, setiap negara perlu ada program dan tabung pendermaan organ sendiri. Cara ini boleh menggalakkan penduduk sesebuah negara berikrar menjadi penderma, bukan mendapatkan organ dari negara lain. Jika organ diperoleh dari negara lain, mesti tahu dari mana sumbernya,” kata Dr Delmonico lagi.
Katanya, di setiap negara, banyak sumber organ yang tidak dimanfaatkan khususnya daripada mangsa kemalangan jalan raya. Secara purata negara kita mencatatkan 6,000 hingga 7,000 kes kemalangan jalan raya setahun yang kebanyakannya membabitkan golongan muda di mana organ mereka masih dalam keadaan baik.
Setiap tahun kira-kira 2,500 kes kegagalan buah pinggang peringkat akhir dilaporkan dan sehingga tahun lalu, jumlah keseluruhan pesakit dianggarkan mencecah 20,000 orang dan 50 peratus daripadanya menunggu untuk pemindahan organ.
Malangnya, di negara kita, tempoh menunggu untuk pesakit menerima buah pinggang baru adalah antara 16 hingga 20 tahun.
Di kalangan pesakit yang menunggu untuk mendapat jantung, hati dan paru-paru, lebih 50 peratus meninggal dunia dalam penantian.
Jika organ daripada mangsa kemalangan itu dimanfaatkan, kita sebenarnya mempunyai bekalan organ yang mencukupi untuk menyelamatkan nyawa pesakit di seluruh negara. Alangkah sayangnya jika organ yang masih ‘muda’ umurnya itu dibawa ‘pergi’ begitu saja.
Sudah sampai masa kita mengubah konsep hidup. Andai kita bersedia menjadi penerima, kita juga semestinya sanggup berikrar menjadi penderma.
Mudah-mudahan ia menjadi bekal amalan apabila kita sudah tiada.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: