SEBUAH muzium mempamerkan koleksi kasut terkenal bekas wanita pertama, Imelda Marcos, dibuka semula di Filipina sebagai langkah menyelamatkan industri kasut yang kini dibanjiri kasut import murah di negara berkenaan.
Muzium tersebut yang terletak di tepi sungai pinggir bandar timur Marikina, Filipina bukan sekadar mempamerkan 3,000 pasang koleksi terbaik Imelda, bahkan merupakan tempat lahirnya pertukangan kasut terbaik di negara tersebut sejak satu kurun lalu.
Seorang perunding kasut, Tessie Endriga berkata, Imelda gagal menyediakan infrastruktur atau pembiayaan kepada industri kasut Marikina apabila beliau berkuasa suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, beliau tetap banyak membantu industri berkenaan melalui cara tersendiri.
"Imelda banyak melanggan jenama tempatan. Jika dia menyukai sesuatu rekaan tertentu, dia akan membeli sehingga satu dozen," imbas Endriga.
Endriga pernah bekerja bersama kerajaan di Biro Piawaian Produk.
Suatu ketika dahulu, kasut Marikina amat popular di dalam dan di luar negara.
Ia mula terjejas apabila kasut murah dari negara China dan Vietnam membanjiri industri kasut beberapa tahun lalu, kata seorang ahli perniagaan tempatan, Jose Tayawa.
"Anda membeli kasut buatan Marikina dan menggunakannya sehingga lima tahun. Anda membeli kasut negara China dengan harga lebih murah tetapi hanya boleh bertahan selama beberapa bulan sahaja," kata Tayawa yang merupakan Ketua Dewan Perniagaan dan Industri Marikina.
Bekas kurator muzium tersebut, Dolly Borlongan mengakui yang kebanyakan kasut Imelda diimport dari luar negara tetapi kasut Marikina masih boleh ditemui dalam jumlah yang besar di sini. Selain itu, pameran sejarah pembikinan kasut Marikina turut dipersembahkan kepada orang ramai.
Legasi Marikina
Muzium tersebut ditubuhkan pada tahun 1998 sebagai salah satu cara Marikina mempromosikan sejarah pembuatan kasutnya yang berusia lebih seabad. Dari selipar murah, kasut bertumit tinggi, but sehingga sepatu hitam semua boleh ditemui di Marikina.
Bandar berkenaan turut menghasilkan kasut terbesar dunia iaitu sepasang kasut kulit untuk lelaki setiap satu sebesar sebuah van. Sehingga kini, ia masih dipamerkan di pusat beli-belah Marikina.
Sudah beberapa generasi di Filipina membesar dengan memakai produk tempatan dan kasut kulit ular keluaran Marikina antara yang cukup popular pada awal tahun 1980-an. Bayangkan ia telah melonjakkan nama bandar tersebut di Internet.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, pembuat-pembuat kasut Marikina dan muzium kasut di bandar itu berdepan dengan masalah.
Banjir besar yang disebabkan ribut tropika Ketsana pada tahun lalu mengakibatkan kerosakan pada muzium berkenaan, malah turut menjejaskan kemudahan dan inventori pengeluar kasut di bandar itu.
Ribut dan persaingan asing memberi kesan mendalam terhadap industri kasut di Filipina.
Hanya 200 kilang pengeluar kasut masih kekal berbanding 3,000 pada pertengahan 1990, kata Ketua Pengarah Persekutuan Kasut Filipina, Roger Py.
Mempromosi semula sepatu
Pada lewat September lalu, Pentadbir Bandar Raya Marikina, Victoriano Sabiniano menambah, muzium berkenaan dibuka semula sebagai salah satu langkah dijangka dapat memberi harapan dalam mengubah nasib industri kasut.
Para pelancong yang melawat muzium itu akan cenderung mencari tempat untuk membeli kasut Marikina, kata pegawai kerajaan.
Senario tersebut membuatkan bandar raya itu mewujudkan ekspo kasut secara tetap di kawasan tumpuan untuk menjual sepatu dan aksesori lain.
"Langkah pertama adalah menguasai pasaran tempatan. Selepas memperbaiki pasaran ini baru kami boleh ke luar negara," kata Sabiniano kepada AFP.
Statistik kerajaan menunjukkan eksport kasut Filipina pada tahun 2009 menurun sebanyak 19.5 peratus berbanding tahun lalu kepada AS$25.96 juta (RM81 juta).
Industri kasut Filipina berada dalam zaman kegemilangannya pada tahun 1994 apabila nilai eksport ketika itu mencatatkan AS$176.3 juta (RM544 juta), tetapi mula menjunam sejak beberapa tahun lalu.
Penyeludupan juga merupakan masalah besar dalam industri ini apabila kasut asing yang diseludup dijual pada harga yang tidak dapat ditandingi syarikat tempatan, kata Pengarah Kesatuan Kasut Filipina, Roger Py.
"Kerana itu kami mengelak bertemu pesaing secara bersemuka dalam sektor kasut murah. Kami cuba mendapatkan pelanggan daripada segmen pertengahan dan atasan yang memahami kualiti tinggi kasut," kata Py, yang juga mengetuai pengeluar tempatan, Stefano Footwear.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: