Tuesday, October 19, 2010

Struktur semula perjanjian konsesi

SHAHRIL RIDZA...manfaat kepada pencarum KWSP
SHAHRIL RIDZA...manfaat kepada pencarum KWSP
IZZADIN...semua pihak dapat manfaat
IZZADIN...semua pihak dapat manfaat

RANCANGAN pengambilalihan aset dan tanggungan Plus Expressways Bhd (Plus) oleh UEM Group Bhd (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka dimuktamadkan dalam tempoh antara lapan dan 12 bulan lagi.

Bagaimanapun, sekiranya ia menjadi kenyataan, UEM dan KWSP memberi jaminan kadar tol di empat lebuh raya milik Plus tidak dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang sejajar pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pembentangan Bajet 2011, baru-baru ini.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Eksekutif UEM, Datuk Izzadin Idris berkata, pihaknya akan membuat penstrukturan semula Perjanjian Konsesi dengan memasukkan beberapa terma baru bagi menggantikan perjanjian sedia ada.


“Kami percaya setiap kali berlaku kenaikan tol, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada Plus dan berikutan itu, kami akan membincangkan perkara itu bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat,” katanya pada taklimat media khas mengenai pengambilalihan saham dan tanggungan Plus oleh UEM dan KWSP, di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif KWSP (Bahagian Pelaburan), Shahril Ridza Ridzuan.Menurutnya, kerajaan terpaksa membayar pampasan sehingga RM5 bilion kepada Plus sekiranya tiada kenaikan tol dilakukan selama lima tahun.


“Mengikut terma perjanjian sedia ada, kerajaan perlu membayar pampasan sekiranya tiada kenaikan tol dalam tempoh lima tahun.


“Malah, sehingga 30 Jun lalu, kerajaan terpaksa menanggung pampasan mencecah RM2.5 bilion kepada Plus,” katanya.


Dalam pada itu, Shahril Ridza berkata, keputusan untuk mengambil alih Plus memberi faedah kepada pencarum KWSP dalam jangka masa panjang. “Selain mendapat manfaat secara langsung daripada keuntungan lebuh raya kendalian Plus, ia juga memberikan pulangan kepada hampir 12 juta pencarum KWSP,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: