Tuesday, October 19, 2010

Sidang perjuangkan nasib kanak-kanak


Kanak-kanak yang mewakili generasi masa depan diberi penghormatan untuk bersama-sama meraikan Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.


SETIAP daripada kita memerlukan pemimpin yang akan bangun dan memperjuangkan nasib sesuatu bangsa dan negara itu pada masa depan.

Harapan itu pastinya disandarkan kepada generasi muda hari ini iaitu kanak-kanak yang bakal menjadi golongan yang sedia menerima cabaran dan menjadi pemimpin yang berkaliber.

Malangnya ada di sesetengah negara yang tidak meletakkan nasib dan hak kanak-kanak itu di tempat sewajarnya.

Akibat kemelut kemiskinan mahupun kekangan akibat peperangan, halangan infrastruktur mahupun sosial, hak kanak-kanak ini dinafikan dan terus menjadi mangsa kepada keadaan.

Justeru Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur bermula dari 10 hingga 13 Oktober lalu dilihat sebagai usaha yang jelas untuk memberi gambaran kepada dunia, betapa pentingnya kanak-kanak di setiap negara diberikan perhatian sewajarnya.

Bertemakan Kanak-Kanak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok, ia dihadiri oleh 15 wanita pertama, enam wakil wanita pertama dan 20 menteri pada sidang kemuncak yang dihoskan oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada sidang kemuncak itu juga, para wanita pertama sepakat meluluskan deklarasi menegaskan kepentingan untuk memberi tumpuan terhadap tiga aspek utama iaitu pendidikan, kekeluargaan dan komuniti bagi membina generasi muda yang berkepimpinan, bertanggungjawab dan berguna pada masa depan.

Untuk mencapai hasrat berkenaan mereka juga berjanji akan bekerjasama dengan semua pihak terutamanya kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli perniagaan dan media untuk mencapai sekurang-kurangnya satu matlamat dalam tiga aspek berkenaan.

Dalam aspek pendidikan, antara matlamat yang ingin dicapai ialah memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak di negara masing-masing sejak awal usia dan memastikan kanak-kanak lelaki dan perempuan mendapatkan hak sama rata dalam menuntut ilmu.

Ibu bapa juga diminta menyediakan program serta diet yang seimbang untuk mengoptimumkan perkembangan fizikal dan mental anak-anak, mengenal pasti kemahiran dan menyokong hobi anak-anak, memberikan bimbingan dan mengukuhkan semangat kekeluargaan.

Sehubungan itu komuniti pula ditetapkan menerusi deklarasi berkenaan agar mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat untuk kanak-kanak membesar.

Pada masa sama meminta agar undang-undang dan akta perlindungan kanak-kanak serta hak asasi manusia dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Kesemua deklarasi yang dipersetujui sebulat suara itu akan dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diberi perhatian oleh masyarakat dunia.

Selaku tuan rumah persidangan itu, Malaysia akan mengemukakan deklarasi itu kepada Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada Setiausaha Agung badan dunia itu.

Rosmah berkata, pada sidang akhbar selepas deklarasi itu, beliau berhasrat untuk melihat sidang kemuncak pada 2012 nanti dengan lebih ramai penyertaan termasuk dari negara-negara maju berdasarkan kepada kejayaan program itu di Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, menerusi penyertaan dari negara-negara maju, mereka boleh memberi maklum balas mengenai aspek yang perlu difokuskan dalam usaha meningkatkan kepentingan kanak-kanak dalam masa yang sama boleh mempelajari sesuatu daripada peserta dari negara-negara membangun.

Pada persidangan hari ketiga turut menyaksikan sekumpulan kanak-kanak telah diberikan peranan memakai pakaian yang mewakili pelbagai bangsa sebagai mewakili setiap naluri halus kanak-kanak dunia.

Sebelum itu, beberapa pelajar juga turut melafazkan mesej kanak-kanak Malaysia kepada wanita-wanita pertama yang diketuai oleh Zoe Lim Shu Mei, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA. Kuala Lumpur.

Dalam mesej ini mereka menyuarakan rasa betapa pentingnya kanak-kanak dunia diberikan perhatian, pendidikan, perlindungan dan keselesaan yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: