Tuesday, October 19, 2010

Jangan jadi 'si Tanggang'


Awiah Awi menerima trofi Ibu Mithali 2010 daripada Rosmah Mansor di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


APAKAH pilihan yang ada bagi ibu bapa kepada anak-anak mereka kecuali mesti menjadi yang terbaik kepada seluruh ahli keluarga. Lantaran itu ibu bapa 'wajib' menjadi contoh kerana mereka sahajalah role model yang ada pada si anak.

Namun beban kadang kala dilihat lebih berat digalas oleh insan yang bergelar ibu! Dalam banyak keadaan merekalah ibu, merekalah juga bapa kepada anak-anak.

Membesarkan anak-anak seorang diri yang kadang kala di celah-celah lemparan kata nista masyarakat, namun si ibu tidak pernah memikirkan dirinya. Sebaliknya, yang menjadi keutamaannya adalah anak-anak.

Tepatlah sebagaimana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sesungguhnya Allah yang Maha Bijaksana mengurniakan keupayaan luar biasa kepada wanita yang bergelar ibu.

Ibu bukan hanya mengandung atau melahirkan anak, tetapi dalam kehidupan bersendirian pun mampu membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

"Namun menjadi seorang ibu cemerlang bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi.

"Lebih mengagumkan, sesibuk manapun menguruskan rumahtangga, kaum ibu dulu dan kini ada yang melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Ini semua menyerlahkan lagi dinamika sebagai seorang wanita," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Ibu Mithali 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Jamil Khir lagi, perbezaan zaman menjadikan corak didikan ibu sekarang dengan dahulu turut berbeza.

Katanya, ibu bapa dahulu mungkin menggunakan pendekatan yang tegas terutama dalam membentuk akhlak dan mentaati ibadat. Berbeza pula dengan ibu-ibu sekarang yang mahu menjadi ibu dan sekali gus sahabat kepada anak-anak.

"Semua pendekatan ini tidak ada salahnya, asalkan sahaja aplikasinya dapat disesuaikan dengan realiti dan situasi," katanya.

Namun Jamil Khir menyuarakan kebimbangan beliau betapa semakin ketaranya kes-kes anak-anak yang derhaka atau 'si Tanggang' terhadap ibu mereka sejak kebelakangan ini.

Ini termasuklah kes-kes penderaan fizikal, serangan dan pergaduhan sehingga menyebabkan ada ibu yang cedera malah maut di tangan anaknya sendiri.

"Sepanjang tahun 2008 sehingga Jun 2010 misalnya, sebanyak 91 kes penderaan fizikal terhadap ibu kandung dilaporkan, termasuk 24 kes terhadap ibu mentua, lima kes ibu saudara dan satu kes melibatkan ibu tiri.

"Malah terdapat kes melibatkan anak seawal usia 16 tahun yang didapati sanggup mendera ibunya sendiri," katanya.

Tidakkah si anak ini tahu penderhakaan terhadap ibu bapa adalah satu kemungkaran yang amat besar dan dimurkai Allah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengingatkan kita: "Setiap dosa itu ditangguhkan akibatnya sehingga hari kiamat oleh Allah berdasarkan apa yang dikehendaki-Nya, melainkan dosa menderhaka kepada kedua ibu bapa, maka sesungguhnya ia disegerakan kepada pelakunya". (riwayat al Hakim)

Oleh itu, Jamil Khir mengingatkan anak-anak yang menderhaka bahawa mereka tidak akan mendapat keberkatan hidup.

"Jika maksiat derhaka ini dibiarkan berleluasa di dalam sesebuah masyarakat, maka banyaklah juga keberkatan yang akan ditarik oleh Allah daripada masyarakat itu," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaluddin Mhd. Tahir mahu penganugerahan ini dijadikan dorongan kepada para ibu agar dapat meneruskan perjuangan mereka seperti mana contoh pengorbanan para Ibu Mithali dan kisah kehebatan para ibu yang tercatat dalam al-Quran.

"Antara nama yang harum semerbak termasuklah Siti Maryam ibu kandung Nabi Isa, Asiah ibu angkat Nabi Musa, Siti Hajar ibu kandung Nabi Ismail serta Yukabid ibu kandung Nabi Musa," katanya dalam ucapannya di majlis itu.

Masyarakat dunia kata beliau, menyambut Hari Ibu pada setiap Ahad kedua dalam bulan Mei setiap tahun.

Bagaimanapun, Yadim mengorak langkah lebih jauh dalam menyatakan penghargaan dan menjunjung kemuliaan insan bernama ibu dengan menganugerahkan mereka sebagai Ibu Mithali.

"Pengorbanan seorang ibu tidak dapat diukur dan dibandingkan dengan apa jua pun. Ia melebihi daripada segala pengorbanan," katanya.

Tambah Aziz Jamaluddin, syariat saie di antara bukit Safa dan Marwah dalam ibadat haji dan umrah adalah simbol keagungan memperingati peristiwa yang berlaku kepada Siti Hajar, bonda Nabi Ismail yang mana Siti Hajar penuh sabar dan tabah mencari air untuk menghilangkan dahaga anaknya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: