Tuesday, October 26, 2010

Selepas Pahang, Datuk Robiah Lakar Sejarah Di Bukit Aman

Sempat beramah mesra dengan masyarakat dalam satu aktiviti yang diadakan di Gambang, Kuantan.

BUKAN mudah untuk seseorang yang bergelar wanita menggalas tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan ketua di tempat kerja dalam satu masa. Andai tidak kena caranya, maka akan pincanglah salah satu peranannya.

Namun Datuk Robiah Abdul Ghani, wanita yang popular dalam dunia kepolisan hari ini menjadi salah seorang daripada jutaan wanita di Malaysia yang membuktikan betapa kaum Hawa juga mampu bergerak seiring kaum Adam.

Mencipta kejayaan demi kejayaan, wanita dengan 1001 aspirasi ini secara tidak langsung mengajak kaum lelaki di luar sana berfikir sejenak bahawa tangan-tangan wanita hari ini tidak hanya berdaya menggoncang buaian, tetapi juga mampu menggegar dunia! Ikuti temuramah Mingguan mStar dengan beliau.

Memandangkan Datuk Robiah Abdul Ghani masih diselubungi mood ceria apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman pada 13 Oktober lalu, Mingguan mStar memulakan bicara dengan menyingkap pengalaman manis beliau sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam pasukan ini.

Menyambut soalan itu dengan reaksi malu, sambil berseloroh beliau berkata: “Soalan macam inilah yang susah saya nak jawab sebenarnya sebab bagi saya setiap hari bekerja adalah pengalaman manis.”

Apa yang keluar dari mulut anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini terang-terangan membuktikan wanita ini ada ‘luar biasanya’. Butir bicaranya, walau belum dilontar sepenuhnya mampu memberi petanda beliau bukanlah calang-calang wanita.

Mujurlah beliau yang telah lama bertapak dalam bidang kerja yang cukup sinonim dengan ketegasan ini masih sudi bercerita dan tidak lokek berkongsi rahsia kejayaan apabila diminta.

Cuma satu perkara yang ditekankan, tidak pernah terlintas di benaknya untuk sampai ke puncak seperti hari ini, apatah lagi memegang jawatan idaman kebanyakan anggota polis di seluruh Malaysia.

“Sejak kecil lagi saya suka buat aktiviti luar. Saya tak suka kerja pejabat. Habis sekolah pada tahun 1970, saya terus sertai polis. Arwah bapa yang bersara sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur pada 1978 membuatkan saya terdorong menyertai pasukan ini,” beliau mengimbas saat awal meneroka dunia maha mencabar ini.

Tanggal 15 Disember 1971 nyata tidak dilupakan Robiah kerana pada tarikh itulah beliau secara rasminya bergelar anggota polis dengan memegang pangkat inspektor.

Saat itu beliau nekad, selagi uniform tersarung di badan beliau akan menerima tugasan tanpa rungutan. Robiah mahu buktikan anggota polis wanita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan anggota polis lelaki.

“Apabila seseorang wanita menyertai polis, kita perlu lihat diri kita sebagai anggota polis. Tak kira di peringkat mana pun kita, kita tak patut menjadikan jantina sebagai halangan untuk maju, sebaliknya sentiasa meningkatkan kualiti kerja.

Robiah Abdul Ghani

“Jujur saya katakan sepanjang berkhidmat, saya tak pernah terlintas untuk berhenti separuh jalan sebaliknya sentiasa mencari kepuasan dalam bekerja,” kata wanita berusia 57 tahun ini.

Kecekalan dan kesungguhan Robiah nyata ‘berbayar’ apabila pada Jun 1974 beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Komander Platun Pasukan Polis Hutan.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tujuh tahun bersama pasukan itu apabila pasukannya dihantar masuk ke hutan untuk misi ‘perang saraf’ yang menuntut mereka merapatkan diri dengan Orang Asli bagi mendapatkan maklumat tentang komunis.

Pada 14 Julai 2008 Robiah sekali lagi melakar sejarah apabila beliau mendapat pengiktirafan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Pahang.

Tidak sampai tiga tahun memegang jawatan itu, kaum wanita boleh berbangga dengan beliau apabila dilantik pula sebagai Pengarah Pengurusan di Bukit Aman pada 13 Oktober 2010.

Suami isteri polis

Satu lagi perihal menarik tentang ibu kepada Erny Herliza, 30, Ezuan, 28, dan Ezry, 25, ini apabila beliau bertemu jodoh dengan jejaka yang juga merupakan anggota polis.

Suami beliau, Datuk Ibrahim Manas, 60, merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Selangor yang bersara pada 2006.

Menurut Robiah, beliau bersyukur dipermudahkan urusan memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu walau sibuk dengan kerjaya.

“Saya kena pandai bahagikan masa. Waktu hujung minggu saya akan bersama keluarga. Kami tonton wayang, makan malam di luar dan membeli-belah sama-sama.

“Saya selalu bincang dan minta pandangan suami walau dia sudah bersara. Bila dapat tahu saya dilantik sebagai pengarah di Bukit Aman, dia gembira bagi pihak saya,” jelas Robiah yang gemar menanam pokok bunga dan bermain golf pada masa lapang.

Bercerita tentang kehidupan keluarganya di rumah, Robiah bertindak seperti ibu-ibu lain. Namun, beliau mengakui tidak dapat ‘lari’ dari ketegasan dan disiplin dalam mendidik anak-anak.

“Misalnya, rambut anak lelaki saya mesti pendek. Mereka kena terima hakikat ibu bapa mereka ini anggota polis.

“Sampai sekarang kami masih tanya dengan siapa mereka keluar dan berkawan. Sama macam ibu bapa lain, kami juga risau bila fikir tentang masalah sosial remaja di luar sana,” ujarnya.

Robiah cukup disenangi oleh segenap lapisan masyarakat.

Robiah juga tidak pernah memaksa anak-anaknya menceburi bidang yang sama memandangkan ketiga-tiga anaknya tidak menunjukkan minat mengikut jejak langkah beliau dan suami.

Jelasnya, pada masa kini memilih untuk menjadi anggota polis bererti seseorang itu telah bersedia memikul tugas dan tanggungjawab berat di samping perlu berdepan dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam bidang ini.

Polis wanita, emosi dan air mata

DI sebalik ketegasan, terdapat juga kelembutan dalam diri Robiah. Sifat ini terpancar ketika Robiah lembut menyusun kata dan sering merendah diri.

Walau yang terpaksa menahan perasaan ketika dimarahi sewaktu berkhidmat sebagai anggota bawahan dulu, Robiah yang mempunyai banyak pengalaman ini akur bahawa wanita dan emosi tidak dapat dipisahkan.

“Kena marah tu adatlah. Kadang-kadang walau kita betul dan bos salah, akhirnya bos juga yang betul.

“Kalau kena marah dengan pegawai atasan, saya diam dan pendam dalam hati. Saya tak melawan. Lepas itu saya akan kenal pasti kelemahan dan kesalahan. Kemudian barulah saya panggil anggota bawah saya untuk perbaiki kesilapan.

“Pernah juga beberapa kali saya menangis sebab kerja. Paling saya tak dapat tahan air mata ketika memberi bantuan kepada anggota yang tercedera kerana pasukan briged terkena bedilan bom,” katanya.

Sehingga kini, beliau bersyukur kerana orang-orang sekeliling dan anggota bawahannya sentiasa memberikan kerjasama.

Sebagai ketua Robiah percaya dengan kerja berpasukan selain sedia mendengar pendapat semua pihak.

Mahu bersikap profesional, Robiah juga sering mengawal emosi wanitanya agar tidak terbawa-bawa ke tempat kerja. Beliau tidak mahu anggota-anggota di bawah tanggungjawabnya terkena tempias emosi atau amarahnya.

“Marah saya marah bertempat. Kalau buat silap, saya tegur tapi habis sampai situ sahaja. Saya tak panjangkan cerita,” katanya yang menganggap anggota bawahannya sebagai kawan.

Diberi kepercayaan memegang jawatan tinggi membuatkan Robiah sering mengingatkan dirinya sendiri bahawa beliau adalah mentor kepada anggota lain.

Malah, beliau juga mempunyai idola sendiri iaitu Asisten Komisioner Koraiza Abdullah yang menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Georgetown dan Datuk Zakiah Laidin.

Sebagai wanita yang pernah mengukir sejarah dalam pasukan polis, Robiah menasihatkan polis wanita yang tergolong dalam kumpulan minoriti supaya bekerja keras dan menunjukkan prestasi kerja terbaik.

“Harus diingat, bila kita buat sembilan kebaikan dan satu kesilapan, maka kesilapan yang satu itulah yang akan jadi ingatan, bukan kebaikan yang sembilan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: