Tuesday, October 26, 2010

Kad Sim Prabayar Permudah Hubungan Jemaah Haji

Azrin Mohd Noor menerangkan fungsi kad prabayar untuk kegunaan jemaah haji di Mekah.

SETIAP jemaah haji, sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah suci Mekah, sudahpun bersedia mental dan fizikal untuk memberi tumpuan kepada ibadah yang akan dilakukan.

Namun dalam kekhusyukan mengerjakan amal ibadat itu, keluarga tercinta di kampung halaman tetap dalam ingatan sambil dipanjatkan doa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Keadaan ini biasanya berlaku selepas selesai segala urusan ibadat haji lebih-lebih lagi bila melihat para jemaah mula pulang manakala kota Mekah atau Madinah sudah mula lengang sedikit demi sedikit.

Kalau lebih kurang 10 atau 20 tahun lalu, para jemaah terpaksa menyediakan banyak duit syiling dan beratur panjang untuk menunggu giliran di pondok-pondok telefon awam bagi membuat panggilan kepada keluarga di kampung halaman, tetapi perkembangan teknologi moden yang serba canggih melalui telefon bimbit telah memudahkan para jemaah menghubungi keluarga di tanah air.

Namun masalah yang timbul ialah kadar caj yang dikenakan bukan murah. Jika setiap hari sanak-saudara dihubungi, jangan terkejut bila melihat bil telefon mencecah ratusan malah ribuan ringgit sekembali ke tanah air kelak.

Atas dasar keprihatinan itu, SEDANIA Group melalui anak syarikatnya, SEDANIA Travelneeds2u mengambil inisiatif menawarkan produk kad sim prabayar Global Starter Pack (GSP) bagi memudahkan jemaah membuat panggilan kepada keluarga masing-masing.

Ketua Pegawai Ekskutif SEDANIA Group, Azrin Mohd Noor berkata, pengenalan kad sim prabayar itu bertujuan untuk melengkapkan keperluan asas jemaah ketika berada di sana.

Kakitangan SEDANIA Group,Marina Zakaria memegang kad pra bayar buatan Malaysia untuk kegunaan jemaah haji.

Azrin berkata, idea untuk membawa kad sim itu daripada Arab Saudi adalah kerana memikirkan kesusahan jemaah yang perlu membayar lebih caj perayauan yang jauh lebih mahal berbanding menggunakan talian tempatan.

Katanya melalui penggunaan GSP, caj yang akan dikenakan serendah 22 sen untuk mesej pesanan ringkas (SMS) dan RM1.35 bagi panggilan ke Malaysia seminit berbanding RM2.85 sen untuk SMS dan panggilan jika menggunakan kad sim daripada Malaysia.

“Kad prabayar ini amat mudah didapati di Arab Saudi kerana ia mudah didapati dan jemaah tidak perlu risau dengan kos bil telefon yang tinggi memandangkan ia tidak mempunyai kos perayauan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar di sini baru-baru ini.

Malah katanya, SEDANIA turut membuka sebuah gerai khas di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya sepanjang musim haji bagi memudahkan ahli keluarga dan jemaah membeli kad sim itu.

Azrin berkata, kelebihan membeli kad sim itu di sini adalah bagi memudahkan ahli keluarga atau waris mendapatkan nombor telefon itu.

Satu pakej GSP akan mempunyai kredit sebanyak 25 Riyal Saudi dan tambah nilai boleh dibuat di cawangan tambah nilai di rangkaian telekomunikasi tempatan di Arab Saudi.

“Jemaah tidak perlu risau kerana terdapat banyak kedai yang menjual kad tambah nilai itu, malah kita turut mempunyai wakil di sana untuk membantu jemaah,” katanya.

Azrin berata, untuk memulakan penggunaan kad sim itu juga tidak memerlukan langkah yang rumit kerana ia semudah beli dan pakai.

“Kita faham ada di antara jemaah yang berumur 50 tahun ke atas yang tidak begitu mahir mengendalikan telefon bimbit. Tetapi kami memberi jaminan kad sim prabayar GSP ini mudah untuk diaktifkan.

“Malah waris boleh terus memasangkan sim kad itu ke dalam telefon dan jemaah hanya perlu menghidupkan telefon bimbit mereka setelah sampai di Arab Saudi,” katanya.

Pek yang dijual pada harga RM60 itu turut boleh didapati melalui laman web www.travelneeds2u.com untuk membuat tempahan dan bagi yang membeli melalui online kad itu akan diberikan sesudah sampai di Mekah oleh wakil syarikat itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: