Saturday, October 9, 2010

Rutin popular anak muda kota




“TRAFIK di Jalan Tun Razak agak sesak, begitu juga di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), kenderaan bergerak perlahan namun lancar. Di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban, trafik masih lagi terkawal,” sayup-sayup kedengaran suara penyampai radio menyampaikan maklumat trafik di salah sebuah stesen radio popular di negara ini.

Bagi pengguna kenderaan di sekitar bandar raya Kuala Lumpur, kesesakan trafik yang berlaku merupakan lumrah yang perlu ditempuhi saban hari. Biarpun terdapat pelbagai laluan alternatif yang disediakan, namun situasinya tetap tidak pernah berubah.

Tidak hairanlah, sebahagian besar warga kota khususnya terpaksa merancang perjalanan ke tempat kerja. Ada yang dilihat keluar rumah seawal pukul 6 pagi semata-mata mahu mengelak terperangkap dalam kesesakan.

Mohd. Mustaqim Baharum, 25, juga tidak terkecuali. Setiap hari dia perlu menempuh laluan sesak di Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari rumahnya di Desa Pandan ke tempat kerjanya di Dewan Filharmonik Petronas, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Jika sebahagian besar warga kota menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta, motosikal atau perkhidmatan awam yang lain, lelaki ini lebih selesa berbasikal ke pejabat.

Dia memerlukan masa sekitar 15 minit untuk tiba di KLCC sebelum mandi dan menukar pakaian. Tepat pukul 9.30 pagi dia sudah bersedia memulakan tugas sebagai kerani tiket di Dewan Filharmonik Petronas.

“Beginilah rutin saya. Jika cuti sekali pun saya tetap berbasikal ke mana-mana sahaja,” kata anak keenam daripada lapan beradik itu.

Ceritanya, sebelum ini dia sering menggunakan teksi pada bayaran sekitar RM5 hingga RM6. Bagaimanapun, sejak tambang teksi dinaikkan pertengahan tahun lalu, dia terpaksa membayar sehingga RM10 bagi jarak perjalanan yang sama.


MOHD. MUSTAQIM akan berbasikal ke tempat kerjanya di KLCC setiap hari.


“Bayangkan setiap hari saya terpaksa menyediakan sekitar RM20 untuk tambang berulang-alik ke tempat kerja, itu belum masuk makan dan minum.

“Disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya bertekad menunggang basikal ke pejabat sejak tahun lalu, sebelum ini sekadar suka-suka sahaja. Hasilnya saya mampu berjimat di antara RM500 hingga RM600 sebulan,” luah anak jati Kuala Lumpur itu.

Meningkatkan stamina

Mohd. Mustaqim memberitahu, selain menjimatkan wang, menunggang basikal juga merupakan kaedah untuknya mengekalkan kecergasan tubuh badan apatah lagi bagi seorang pemain bola sepak sepertinya.

Pasukannya bermain dalam Liga Selangor, namun kesibukan tugas memaksanya mengehadkan latihan bersama rakan sepasukan.

“Berkayuh setiap hari berjaya meningkatkan stamina dan menguatkan kaki apabila beraksi nanti biarpun tidak selalu berlatih di padang,” ujarnya.

Bermula dengan basikal gunung, dia kini beralih kepada basikal perlumbaan yang sering digunakan oleh pelumba-pelumba basikal di trek.

Istimewanya, basikal yang berharga sekitar RM1,000 sebuah itu bukan sahaja lebih ringan, malah ia mudah diselenggara serta mempunyai pelbagai alat ganti di pasaran.

“Tayar pancit merupakan masalah yang lazim berlaku, namun saya sentiasa bersedia dengan beberapa peralatan seperti tiub, pam tangan, spanar sekiranya berlaku kecemasan.

“Cuma faktor cuaca sahaja yang menjadi penghalang. Biarpun membawa baju hujan, namun jika terlalu lebat saya terpaksa berteduh kerana laluan agak bahaya,” katanya.

Selain Mohd. Mustaqim, minat itu turut dikongsi oleh Khairunnizam Mohd. Lani yang telah berbasikal ke pejabat sejak lebih tiga tahun lalu.

Sukarelawan di Galeri Petrosains, KLCC itu memberitahu, dia sanggup berbasikal dari rumahnya di Taman Koperasi Polis, Gombak sejauh 10 kilometer (km) setiap hari kerana bosan dengan sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.


DARI kiri: Shahril, Mohd, Mustaqim, Khairunnizam dan Qayyum membaiki kerosakan pada basikal.


“Bukan sahaja terperangkap dalam kesesakan, adakalanya saya terpaksa menunggu berjam-jam menunggu bas. Lebih malang sekiranya bas yang dinaiki rosak dan terpaksa menaiki teksi yang sudah tentu kosnya berkali ganda,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.

Hasratnya, bagaimanapun mengundang persepsi negatif di kalangan keluarga rakan-rakan dan masyarakat sekeliling, apatah lagi berbasikal ke pejabat dianggap sesuatu yang janggal ketika itu.

“Keluarga agak risau akan keselamatan saya, malah mereka sanggup membelikan saya motosikal. Di kalangan rakan-rakan pula ada yang menggelarkan saya gila. Jika berhenti di lampu isyarat, ada mata yang memandang sinis seolah-olah saya seperti pendatang asing,” katanya.

Melalui beberapa laluan alternatif di sekitar ibu negara, dia hanya memerlukan masa sekitar 30 minit untuk tiba di KLCC sebelum memulakan tugasnya.

“Dulu bilangan mereka yang berbasikal ke pejabat boleh dikira, kini ia menjadi semakin popular terutama di kalangan golongan muda di ibu kota. Apa yang penting selain berjimat, saya juga puas menikmati panorama dan pelbagai keletah manusia ketika menunggang.

“Setidak-tidaknya ini merupakan sumbangan saya dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar di samping mengamalkan gaya hidup sihat,” jelasnya yang aktif dalam sukan papan luncur dan BMX.

Konvoi ke Singapura

Sementara itu, Kordinator Projek Khas 8TV, Shahril Mohammad berkata, dia dan rakan-rakannya sering berbasikal pada hujung minggu sahaja.

“Apabila mendapat kerja di Bandar Utama, saya merasakan lebih sesuai berbasikal kerana jarak dari rumah ke pejabat mengambil masa lima minit sahaja.

“Lagi pun, saya mendapat galakan rakan-rakan dari Kumpulan Croszline dan Kumpulan Wild Dog yang turut aktif dalam beberapa aktiviti konvoi berbasikal di sekitar ibu negara,” katanya.

Antara negeri yang pernah mereka lawati ialah Melaka dan Perak. Di sana mereka bertemu dengan beberapa kumpulan remaja lain sebelum berkonvoi secara berkumpulan.

“Memang seronok, bukan sahaja dapat berjalan dan meluaskan pemandangan, tetapi dapat mengeratkan hubungan antara kami semua. Jika tidak berkonvoi pun kami sering berkumpul walaupun di kedai mamak sahaja.


EMPAT anak muda ini mengubah rutin ke pejabat sesuatu yang menyeronokkan walaupun berbasikal.


“Pada hujung tahun ini, kami akan berkonvoi selama dua hari ke Singapura yang bakal disertai beberapa peserta dari luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Indonesia,” katanya.

Shahril memberitahu, keluarganya tidak menghalang minatnya itu asalkan dia pandai menjaga diri dan menitikberatkan soal keselamatan.

“Jatuh basikal itu merupakan lumrah yang harus dilalui setiap penunggang. Disebabkan itu saya sentiasa berhati-hati. Bagaimanapun mentaliti pemandu di Malaysia, laluan kecemasan atau pantang ada ruang saja pasti mahu menyelit. Kadangkala kami yang terpaksa berhenti dan memberi laluan kepada golongan ini. Itu belum dipintas oleh lori atau bas yang dipandu laju,” katanya sedikit kesal.

Bagi Qayyum Abidin, 23, pula biarpun berbasikal ke tempat kerjanya di Jalan Raja Chulan, namun dia tetap mematuhi disiplin dan tidak pernah tiba lewat ke pejabat.

“Apa yang penting ialah bagaimana merancang masa dan perjalanan, jika nampak cuaca mulai gelap saya akan keluar lebih awal untuk mengelak terperangkap dalam hujan,” katanya yang bekerja di sebuah agensi pemungut hutang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: