Saturday, October 9, 2010

Enjin lasak jimat bahan api


KETUA Pegawai Eksekutif Isuzu, Takashi Hata (kanan) dan pembantu khas, Oyama, pada pelancaran Isuzu D-Max baru-baru ini.


ISUZU Malaysia kini menambah satu lagi varian dalam rangkaian model trak pikapnya yang impresif. Model 4x4 double cab Isuzu D-Max 2.5-liter Super Commonrail itu dikatakan mampu memberikan tahap penjimatan bahan api mengagumkan dan prestasi enjin yang sangat fleksibel.

Ia dijangka mampu mengubah fikiran para pengguna kenderaan tentang bagaimana sebuah trak pikap boleh berfungsi.

Sebelum ini, Isuzu Malaysia memang ada memasarkan trak pikap bersesaran 2.5 liter, namun enjin yang ada padanya tidak dilengkapi dengan sistem Super Commonrail.

Justeru, ciri paling ketara yang ada pada produk terbaru ini pastinya enjin Isuzu Super Commonrail 4JK1-TC. Ia merupakan antara enjin trak pikap satu tan paling laris di dunia. Lebih setengah juta unit telah dihasilkan sejak pengenalannya pada tahun 2005.

Bercakap pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Takashi Hata menyatakan bahawa model Isuzu D-Max 2.5-liter Super Commonrail serba baru ini bakal menawarkan pengguna sebuah trak pikap berprestasi terbaik dan kos penyelenggaraan rendah yang tiada tandingan.

“D-Max baru ini disasarkan buat pengguna bijak yang tahu menghargai kecanggihan teknologi trak pikap, di samping mengekalkan keistimewaannya yang serba boleh dan teguh.

Keperluan pemandu

“Kini ada model D-Max yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak pemandu trak pikap. Sama ada untuk tujuan perniagaan atau berseronok. Tidak syak lagi, apa jua pilihannya, para pemilik akan memandu sebuah trak pikap yang paling menjimatkan minyak, tahan lasak dan boleh diharap dalam pasaran hari ini,” jelasnya.

Isuzu Malaysia menjangkakan model D-Max 2.5-liter Super Commonrail yang baru dapat membantu mengekalkan pertumbuhan kukuh syarikat dalam segmen trak pikap dengan menyumbang jualan bulanan sebanyak 150 unit.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, nadi kepada 2.5 liter Super Commonrail D-Max yang baru ialah enjin empat silinder yang penuh kuasa. Sama seperti semua enjin Isuzu, enjin berkod 4JK-1 yang baru ini dibina bagi memberikan operasi enjin yang cekap dan tahan lasak. Biarpun dikerah sehingga ke tahap ekstrem.

Di bahagian dalamnya, enjin ini dilengkapi dengan pelapik yang telah dilarut dan jaket air dua peringkat yang berupaya menghilangkan kepanasan pada blok serta kepala silinder. Sementara bahan api, minyak enjin dan penyejuk EGR juga memastikan enjin dapat beroperasi pada rangkaian suhu yang optimum untuk prestasi lebih baik.


Maklumat lanjut atau mahu mengetahui lokasi pengedar terdekat, lawati Isuzu Malaysia di laman web www.isuzu.net.my.


Bagi membantu kecekapan enjin, omboh aloi yang ringan dan teguh digunakan. Sementara 16 injapnya digerakkan oleh mekanisme roller rocker arms yang memberikan operasi lebih senyap dan lancar.

Komponen-komponen ini digerakkan oleh sistem pemasaan gear dan rantai yang bukan hanya tidak memerlukan sebarang bentuk penyelenggaraan untuk mengurangkan kos, malah memberikan ketenangan jiwa kerana berbanding tali sawat getah, rantai tidak akan terputus secara tiba-tiba.

Prestasi enjin

Enjin bersesaran 2,499cc ini juga memperoleh karakteristik prestasinya yang cemerlang daripada konfigurasi menyilang 95.4mm x 87.4mm. Kuasa maksimum 85kW (116ps) mampu dijana pada takat 3,600rpm. Tork maksimum 280Nm pula diperoleh pada putaran enjin serendah 1,800rpm hingga 2,200rpm. Ini bermaksud peningkatan kuasa adalah melebihi 47 peratus dan 59 peratus lebih tork kepada model 2.5-liter D-Max.

Prestasi enjin ini kemudiannya dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan yang dibangunkan khas untuknya. Ciri ini dipertingkatkan dengan penggunaan sistem Touch-On-The-Fly 4WD Isuzu yang terkenal.Apa yang perlu dilakukan ialah tekan satu butang pada papan pemuka.

Sistem ABS dan EBD juga merupakan ciri standard pada D-Max yang baru bagi meningkatkan lagi tahap keselamatannya.

Dalam ruang kabin D-Max, para pemiliknya akan menikmati peralatan berkualiti tinggi dan sofistikated. Kemasan dalamannya sama dengan model 3.0 liter. Ia hadir bersama semua ciri termasuklah panel instrumen e-Lumax, lengkap dengan paparan pelbagai jenis maklumat. Selain sistem audio 2-DIN dan dua beg udara SRS. Tombol gear dan sterengnya dibalut dengan kulit bagi model berspesifikasi penuh.

Model 2.5-liter Super Commonrail yang baru ini akan berada di semua pengedar Isuzu di seluruh negara mulai 1 Oktober 2010. Ia ditawarkan pada harga bermula RM82,000 hingga RM89,000 untuk model berspesifikasi penuh (Semenanjung Malaysia) di atas jalan bersama insurans.

Pelanggan-pelanggan yang membeli sebuah D-Max double cab juga layak untuk menerima satu unit Garmin GPS dan rebat tunai. Tawaran ini sah bergantung kepada terma dan syarat yang khusus sehingga 30 November 2010 atau selagi stok masih ada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: