NAMA Dennis Lau dan instrumen biola bagaikan tidak boleh dipisahkan lagi. Meniti persada dunia muzik sejak berusia tiga tahun membuatkan jejaka itu cukup handal mengendalikan gesekan biola.
Setiap kali mengadakan persembahan, dengan wajah serius lelaki berusia 25 tahun itu sentiasa menutup mata. Hasilnya adalah alunan bunyi gesekan biola yang merdu dan mengasyikkan halwa telinga. Itulah tanda dan bukti betapa Dennis menumpahkan kebolehannya itu dengan sepenuh hati.
Biarpun tanpa seni kata lagu mengiringi kebanyakan persembahan Dennis saat menggesek biola, bukan sedikit penonton yang kagum dan tergamam dengan keindahan melodi yang tercipta apabila penggesek biola pemuda itu bertemu dengan talinya.
Selain popular sebagai pemain biola solo, personaliti yang ditampilkan Dennis juga menambahkan lagi kredibiliti beliau, bahkan bukan menghairankan jika ada wanita yang jatuh hati kepadanya.
Dengan rambut dirias rapi, jambang nipis di wajah dan busana trendy tersarung di badannya, jejaka berbintang Virgo itu menyerlah aura tersendiri apabila berada di pentas persembahan.
Tidak kira sama ada majlis eksklusif atau santai, Dennis sentiasa tampil dengan imej kemas.
Secara jujur, graduan Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Kolej Antarabangsa Sedaya (UCSI) itu mengakui bahawa penampilan fesyen paling digemarinya ialah memakai jaket kulit.
“Bagi saya fesyen jaket boleh disesuaikan untuk pelbagai majlis yang dihadiri. Sekiranya ia majlis eksklusif jaket tersebut akan dikenakan dengan baju kemeja lengan panjang.
“Apabila diundang ke majlis santai, mungkin saya akan pakai baju T di sebelah dalam,” terangnya yang merupakan anak tunggal.
Tidak melabelkan dirinya sebagai seorang yang obses membeli-belah terutama berkaitan fesyen, bagaimanapun Dennis tidak menafikan akan singgah di butik-butik fesyen untuk membeli busana terbaru jika dia mempunyai persembahan atau penggambaran.
Tambah anak muda yang sering dijemput mengadakan persembahan terutamanya pada majlis pelancaran produk kecantikan dan fesyen, biasanya dia lebih gemar untuk mendapatkan koleksi baju serta aksesori di luar negara. Ini kerana, dia mahu kelihatan unik dan trendy.
“Kalau ada undangan atau kerja di luar negara, masa itulah saya gunakan untuk membeli-belah baju, seluar, kasut dan sebagainya.
“Saya suka dengan gaya dan koleksi fesyen dari Hong Kong, Shanghai, China dan Korea. Rekaan fesyen di sana lebih terkini, menarik dan pastinya lebih murah,” ulasnya yang tidak begitu mementingkan jenama.
Rawat wajah sendiri
Memiliki rupa paras yang tampan, melengkapkan lagi pakej penampilan Dennis.
Bagi mengekalkan kelebihannya itu, Dennis tertawa apabila diajukan pertanyaan sama ada dia seorang jejaka yang banyak menghabiskan masa memanjakan diri di spa.
Riak wajahnya itu menggambarkan spa agak asing bagi dirinya, sambil dia mengungkap bicara, “cukup sekadar melakukannya di rumah dengan rutin biasa.
“Belum terfikir untuk ke spa. Bersih muka pun buat sendiri.
“Lainlah kalau gunting rambut, pastinya saya ke salun,” selorohnya.
|
|
Bagaimanapun, Dennis yang tidak lokek berkongsi cerita tentang regim kecantikan wajahnya memberitahu, beliau membersih muka sebanyak tiga kali setiap hari.
Biasanya dia akan mengamalkan proses membasuh muka dan menggunakan krim jerawat. Tidak lupa juga, seminggu sekali dia melakukan sendiri proses menghilang bintik hitam terutama di hidung.
Namun, tabiat yang tidak boleh diubah sehingga kini, akui Dennis ialah mencuci muka setiap kali selepas makan terutamanya hidangan tengah hari.
“Biasanya kalau makan di kedai biasa, saya akan berpeluh-peluh. Itu yang menyebabkan saya akan membasuh muka sebab rasa melekit dan tidak selesa,”ujarnya.
Bercerita soal kesihatan pula, Dennis yang mempunyai ketinggian 173 sentimeter dan berat 68 kilogram mengakui memang mengamalkan diet seimbang.
Mahu kelihatan bergaya di pentas atau lensa kamera, dia terpaksa mengawal nafsu makan dengan mengambil makanan yang menyihatkan selain dalam jumlah yang sederhana.
Selain itu, Dennis juga meluangkan masa sebanyak tiga kali seminggu di gim bagi membolehkan dirinya sentiasa bertenaga sewaktu melakukan persembahan.
“Saya ke gim sebab untuk tambahkan lagi kecergasan bukannya untuk menurunkan berat badan. Jadi satu jam sehari sudah memadai,” jelasnya.
Pengemas
Menjadikan lokasi kediamannya sejak kecil di Subang Jaya sebagai studio dua tingkat Mosaic Music Entertainment, susun atur keseluruhan ruang di situ merupakan sentuhan kreatif dirinya sendiri.
“Apabila ibu bapa saya berpindah, saya jadikan rumah ini sebagai studio. Tidaklah terlalu cantik tetapi di sinilah tempat saya lepak untuk buat lagu, berbincang hal tertentu dan sebagainya.
“Lagipun saya rasa lebih rileks, hendak tidur dan mandi pun boleh,” katanya.
Melihat susun atur barangan di dalam rumahnya yang tidak terlalu berselerak, rupa-rupanya Dennis tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah.
Malah, Dennis juga melarang ibunya mengemas barang miliknya.
Ini kerana dia lebih suka mengemas sendiri supaya barang yang disimpan tidak akan hilang.
“Bukannya cerewet tapi mungkin saya sudah biasa berdikari sejak kecil. Mungkin juga faktor anak tunggal, menyebabkan saya tidak suka orang lain mengusik barang-barang saya.
“Biarlah saya sendiri yang kemas dan simpan,” Dennis menyudahkan bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: