Tuesday, October 19, 2010

Rado tampilkan bakat muda


(Dari kiri) Profesor Jalaini, Bernard dan Jen Siow.


PERTAMA kali melihat rekaan mewah Switzerland ini, reka bentuk klasiknya sangat terserlah. Mungkin bagi anak muda, ia bukan pilihan utama. Elemen yang ditampilkan tidak membawa ciri lasak, aktif atau gaya lincah.

Namun itu bukan persoalan kerana Rado sudah ada peminat sendiri. Baik muda atau tua, memakai jam tangan jenama itu memberi kepuasan. Rado sememangnya terkenal sebagai pelopor produk tahan calar.

Syarikat tersebut menghasilkan kira-kira setengah juta utas jam setahun dengan keupayaan kakitangan sekitar 300 orang.

Ditubuhkan seawal 1917, Rado ketika itu dikenali sebagai Co. Bermula pada tahun 1957 koleksi pertama jam tangan dengan jenama Rado diperkenalkan. Pada tahun 1983 Rado menjadi sebahagian daripada kumpulan SMH yang kemudiannya dikenali sebagai Group Swatch pada tahun 1998. Ia berbeza dengan jam tangan tradisional Switzerland lantaran rekaan estetikanya yang unik.

Menyahut kehendak zaman, Rado lari daripada pendekatan klasiknya dengan mendekati golongan muda menerusi Pertandingan Pereka Muda Rado.

Apa yang menarik di sebalik peraduan itu? Setiap peserta perlu menghasilkan rekaan grafik berdasarkan tema Spirit Tidak Terhad (Unlimited Spirit)

Rekaan yang dihasilkan tidak terhad kepada satu bidang sahaja. Ia meliputi 700 kerja seni termasuk lukisan, fesyen, digital, fotografi dan sebagainya.

Spirit melambangkan jiwa atau semangat yang tiada batas. Begitu juga kejayaan Rado selama ini yang menghasilkan pelbagai rekaan melangkaui pelbagai budaya dan negara.

Pada 29 Oktober ini, akan berlangsung peringkat akhir pertandingan di pusat membeli-belah, KLCC.

Lima peserta akhir telah terpilih untuk merebut hadiah berjumlah RM50,000.

Antara juri yang terlibat ialah Pengurus Besar Rado, Bernard Yong, jurugambar dan artis potret, Jen Siow dan pensyarah dan pelukis terkenal, Profesor Jalaini Hassan.

“Peserta telah menghasilkan rekaan yang bukan sahaja memenuhi tema kita malah mengetengahkan kualiti dan keaslian. Dalam membuat keputusan, kami mahu hasil yang menampilkan keghairahan dan artistik. ‘‘Kebanyakan peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada mereka yang berumur bawah 25 tahun. Ini menunjukkan anak muda mempunyai daya kreatif dan kesungguhan,” ujar Bernard Yong.

Rado sentiasa menampilkan jam tangan yang mempunyai ciri individualistik dan kualiti yang tidak dijangka. Malah, ia dihasilkan oleh tukang membuat jam tangan yang mementingkan kerja halus. Kebanyakan mereka berasal dari Milan,

Vienna and Shanghai.

Justeru itu, Bernard berharap pertandingan itu akan mengetengahkan pereka tempatan ke peringkat antarabangsa.

Hasil kerja lima peserta akhir, Chua Poh Huat, Looi Lin Chen, Shahrul Anuwar Mohd Yusof, Png Theng Hui dan Mohamed Nizar Musa akan dipamerkan di Suria KLCC mulai 27 Oktober hingga 2 November depan. Tiga pemenang utama akan memenangi wang tunai RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 berserta jam tangan Rado setiap seorang.

Apa kata juri

“Semua peserta akhir layak menjadi juara. saya menghargai hasil kerja mereka. Tetapi kita turut menilai bakat dan personaliti mereka, “ ujar Jen Siow.

“Pertandingan ini sebenarnya membuka ruang kepada pereka muda untuk mendekati jenama Rado. Sebenarnya ramai bakat muda di luar sana yang belum kita kenal pasti. Saya pasti mereka dapat menyumbangkan sesuatu. Pertandingan ini akan menjadi perintis kepada penghargaan hasil seni tempatan,” kata Profesor Jalaini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: