Tuesday, October 19, 2010

1Nita eksklusif untuk wanita


Noraini Ahmad (berdiri kanan) melayan tetamu yang hadir semasa rumah terbuka 1nita di Kuala Lumpur baru-baru ini.


TIDAK mustahil satu hari nanti kedai dalam talian (online) menandingi kehebatan kedai di alam nyata. Kenyataan ini memang tidak dapat dinafikan, kerana apa saja perniagaan yang dilakukan menerusi Internet memang satu platform efisien selain menjimatkan masa peniaga juga pengguna.

Jumlah pengguna Internet yang makin meningkat dari hari ke hari bukti bahawa medium Internet mampu menjana pendapatan yang baik bagi peniaga khususnya wanita.

Sementara itu, wanita tidak kira dari apa jua latar belakang perniagaan sama ada kecil atau besar kini boleh memajukan perniagaan mereka melalui alam maya dengan terbentuknya laman web www.1nita.my di atas daya usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Laman web ini dikendalikan oleh .my Domain Registry, di mana setiap usahawan wanita yang telah mendaftar boleh menikmati peluang dan ruang untuk perniagaan mereka.

Jika tidak mempunyai kemahiran atau apa-apa pengetahuan dalam bidang IT tidak perlu khuatir kerana 1Nita menyediakan latihan untuk ahli membangunkan perniagaan dalam talian masing-masing.

Ia bukan sahaja tentang pembangunan perniagaan malah merangkumi semua sekali. Peluang e-pasaran dan e-perdagangan ini satu peluang keemasan yang boleh mengembangkan perniagaan wanita dengan memberi tumpuan kepada peniaga wanita luar bandar.

Projek berkenaan membuka ruang kepada apa jenis perniagaan seperti pakaian, makanan, aksesori, kraf tangan dan sebagainya.

Pengurus Projek 1Nita, Mohammad Amri Ramli berkata, projek .my Domain Registry yang pada asalnya dikenali sebagai projek W-X adalah organisasi pendaftar dan pentadbir tunggal yang memperkenalkan usaha itu dengan menggabungkan konsep 1Malaysia untuk golongan wanita.

"Sehingga kini terdapat lebih 500 usahawan wanita yang telah dilatih di bawah projek 1Nita yang telah bermula di kawasan Lembah Klang.

"1Nita ini menggunakan Internet sebagai wadah perantara untuk berurusan dengan pelanggan manakala laman web berfungsi sebagai kedai.

"Melalui laman ini pengguna memilih barangan dipaparkan dalam laman web dan membayarnya menerusi e-bayaran menggunakan akaun bank," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dan majlis ramah mesra ahli projek 1Nita di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengerusi .my Domain Registry, Datuk Noraini Ahmad.

Tambah Mohammad Amri, sasaran mereka adalah untuk mencari lebih ramai usahawan wanita yang berpotensi dari seluruh negara.

Untuk menjadi ahli, disarankan agar mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) malah penganjur menyediakan khidmat bimbingan pendaftaran secara online.

Had umur yang ditetapkan adalah 18 tahun ke atas.

"Bakal ahli perlu menjalani kursus penuh, seminar dari projek 1Nita sebelum menerima pentauliahan sebagai peniaga projek dalam talian 1Nita," jelasnya.

Projek 1Nita ini mendapat sokongan dari Multimedia Development Corporation, National Council of Women´s Organisations, Pusat Kajian E-Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Radical Box Sdn. Bhd.

Badan sokongan lain projek tersebut ialah Jabatan Pembangunan Wanita, SMECorp dan Sirim Berhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: