Tuesday, October 19, 2010

Pertandingan sayangi alam sekitar

SUBANG - Kementerian Pelajaran menyokong sebarang bentuk inisiatif syarikat swasta untuk memupuk dan menggalakkan kesedaran kepentingan menjaga alam sekitar di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Bahagian Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, melalui pertandingan seperti Toyota Eco Youth (TEY) 2010 - Battle of the Eco, golongan muda diberi pendedahan untuk membuat sesuatu secara berdedikasi dan positif dalam merealisasikan impian mereka.

Menurut beliau, program TEY membantu membangunkan modal insan negara selain menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada para peserta.

"Kementerian berharap dapat meningkatkan jumlah aktiviti kurikulum sekolah di seluruh negara supaya bentuk tradisional pembelajaran dapat dilengkapkan.

"Dalam konteks ini, TEY telah menyumbang dengan menyediakan kegiatan kurikulum kepada para pelajar," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di sini baru-baru ini.

Pertandingan kali kesepuluh itu diadakan sempena Persidangan dan Pameran Toyota Eco Youth (TEY) 2010 anjuran UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor).

Pada program yang diadakan selama dua hari itu, pertandingan TEY 2010 - Battle of the Eco melibatkan penyertaan lapan buah sekolah yang merupakan juara pertandingan pada tahun-tahun sebelum ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Pulau Pinang muncul juara pertandingan menewaskan SMK Iskandar Shah, Melaka di tempat kedua dan SMK Sanzac, Sabah di tempat ketiga.

SMK Sri Muda membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM7,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 dan RM3,000.

Sementara itu, Presiden UMW Toyota Motor, Kuah Kock Heng berkata, TEY telah memberi manfaat kepada kira-kira 145 sekolah melibatkan seramai 1,160 pelajar dan 290 orang guru sejak 10 tahun penyelarasannya.

"Kami percaya bahawa para peserta muda TEY 2010 akan mengambil apa mereka pelajari dan mengaplikasikan pengetahuan ini dalam usaha untuk menggalakkan pengekalan alam sekitar", katanya.

Menurut Kuah, atas penyelesaian yang berjaya bagi tahun ke-10 program, pihaknya mahu mengkaji semula program itu agar ia boleh disemai ke arah tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan strategi syarikat.

"Kami menyasarkan untuk membawa program ini ke tahap lebih tinggi dan menjadikannya lebih menarik pada tahun hadapan," jelasnya lagi.

SMK Sri Muda turut mengungguli kategori Persembahan Terbaik manakala kategori Pameran Terbaik dimenangi oleh SMK Dato' Onn dan Laman Sesawang Terbaik pula milik SMK Iskandar Shah.

Pemenang-pemenang bagi setiap kategori tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000.

Sekolah-sekolah lain yang turut menyertai pertandingan tersebut ialah SMK Sri Kenangan, Johor; SMK Labuan, Labuan; SMK Dato' Panglima Abdullah, Sabah; SMK Abi, Perlis dan SMK Dato' Onn, Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: