Tuesday, October 19, 2010

Perkhemahan KRS sekolah menengah teknik, vokasional


Ahmad Tajuddin Jap memeriksa perbarisan kontinjen-kontinjen yang menyertai Perkhemahan KRS SMTV Kebangsaan di Kuala Rompin, Pahang, baru-baru ini.


KUALA ROMPIN - Kegiatan kokurikulum berbentuk perkhemahan memang menyeronokkan dan sering menjadi impian majoriti pelajar.

Aktiviti luar bilik darjah ini bukan sahaja boleh mengurangkan tekanan belajar malah menjadi medan untuk pelajar meningkatkan kemahiran diri, mengasah bakat kepimpinan dan menambahkan pengetahuan bukan akademik.

Justeru, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran buat julung kalinya mengadakan Perkhemahan Kadet Remaja Sekolah (KRS) untuk pelajar Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional (SMT/V) Peringkat Kebangsaan 2010 di Kem Pantai Chedoq, Pahang baru-baru ini.

Pengarahnya, Ahmad Tajuddin Jap berkata, objektif perkhemahan selama empat hari lima malam itu adalah untuk memupuk semangat patriotik terhadap agama, bangsa dan negara di kalangan pelajar SMT/V.

"Perkhemahan ini mampu melahirkan generasi yang mempunyai jati diri tinggi serta dapat memberi sumbangan ke arah kesejahteraan hidup bermasyarakat dan negara," katanya ketika berucap pada majlis penutup perkhemahan itu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, perkhemahan tersebut merupakan sebahagian daripada program outreach untuk meningkatkan enrolmen pelajar ke SMT/V di masa akan datang selaras dengan program Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional.

"Para pemimpin dan ahli kadet juga akan didedahkan mengenai tanggungjawab dan tugas pemimpin dalam unit beruniform selain membolehkan pelajar mengumpul markah merit 10 peratus untuk ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS)," jelasnya.

Di samping itu katanya, perkhemahan itu juga dapat membentuk generasi yang mempunyai semangat berpasukan, mempunyai keterampilan diri, berdaya saing, bersemangat juang yang tinggi dan mampu menghadapi cabaran dalam pembelajaran.

Kira-kira 1,000 peserta termasuk para pegawai, jurulatih, anggota penyelamat dan urus setia terlibat dalam perkhemahan ini.

Daripada jumlah itu, 700 pelajar dari 70 buah SMT/V dari seluruh negara menyertai program ini kecuali Sabah dan Sarawak disebabkan faktor jarak dan kewangan.

Peserta dibahagikan kepada lapan zon mengikut kawasan iaitu Zon Kedah/Perlis, Zon Pulau Pinang, Zon Perak, Zon Selangor/Kuala Lumpur, Zon Negeri Sembilan/Melaka, Zon Johor, Zon Pahang dan Zon Kelantan Terengganu.

Zon Negeri Sembilan/Melaka terpilih sebagai Zon Terbaik Keseluruhan pada perkhemahan tersebut menewaskan Zon Selangor/Kuala Lumpur di tempat kedua.

Sementara itu, Pengerusi Pengelola Perkhemahan, Hashim Puteh memberitahu, perlaksanaan program seumpama itu bukanlah suatu perkara mudah kerana ia memerlukan perancangan yang rapi dan melibatkan banyak pihak.

"Kerjasama dan semangat jitu yang telah ditunjukkan oleh semua pihak membolehkan segala agenda yang dirancang dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama daripada agensi-agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan dan lain-lain telah banyak membantu menjayakan program ini.

"Diharapkan agar semua ahli kadet yang mengikuti perkhemahan ini akan pulang dengan impak optimum dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian," ujarnya.

Pada perkhemahan itu, turut diadakan majlis pentauliahan kepada pengetua-pengetua SMT/V untuk membolehkan mereka menjadi pemimpin utama atau komandan KRS di sekolah.

Antara aktiviti yang disediakan pada perkhemahan itu ialah pertandingan kawad kaki, pandu arah, malam kebudayaan, merentas halangan, jalan lasak, repailing dan upsailing, flying fox, ikatan dan gajet, bantu mula, asas pertolongan cemas, masakan rimba, berkayak dan ujian Panduan Asas Fardu Ain (PAFA) bagi yang beragama Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: