NICOL (kanan) berentap dengan Duncalf dalam penentuan pingat emas perseorangan wanita, malam tadi. Nicol menang 11-3, 11-5, 11-7.
PINGAT emas keempat kontinjen negara menyusul selepas kemarau 24 jam menerusi ratu skuasy, Nicol Ann David yang tidak banyak mengerah keringat untuk muncul juara baru Sukan Komanwel, menewaskan Jenny Duncalf 3-0 dalam perlawanan akhir perseorangan wanita, malam tadi.Pemain nombor satu dunia itu hanya mengambil masa 38 minit mengatasi lawan dari England, 11-3, 11-5, 11-7 dan mengesahkan statusnya selaku pemain skuasy terhebat pernah disaksikan.
“Perasaan saya hebat ketika ini kerana akhirnya memenangi emas selepas empat kali mencuba di Sukan Komanwel. Ini macam melengkapkan grand slam dalam skuasy dunia,” katanya selepas tamat perlawanan.
“Ini adalah minggu paling cemerlang dalam kerjaya saya. Apapun, ini bukan kejayaan peribadi tapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia yang menyokong saya selama ini.”
Ini adalah kemenangan kali keempat ke atas lawan itu tahun ini dan rekod pertemuan sehingga kini memihak Nicol 22-2 daripada 24 pertemuan lalu.
Jelas sekali rentak persembahan Nicol malam tadi garang dan agresif ketika dia tampak ghairah untuk muncul juara selepas dipalit kecewa di Melbourne, empat tahun lalu.
Pingat gangsa menjadi milik pemain Australia, Kasey Brown yang tidak perlu mengerah keringat apabila diberi kemenangan percuma selepas pemain England, Alison Waters menarik diri gara-gara kecederaan yang dialami pada saingan separuh akhir, kelmarin.
Sementara itu, impian Azlan Iskandar untuk meraih pingat gangsa gagal selepas tewas kepada pemain England, Peter Barker 11-5, 11-4, 11-2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: