SEBUT sahaja National Geographic, sudah tentu ramai terbayang imej dan visual yang cukup luar biasa. Kehebatan dokumentarinya terhasil daripada kesungguhan dan ketelitian yang disiarkan melalui apa sahaja isu. Kupasan ceritanya menyajikan pengetahuan dan pendedahan yang tidak pernah menjemukan.
Kini National Geographic bukan sekadar nama yang kita kenali melalui peti televisyen malah sudah menjadi satu jenama yang membawa imej dan gaya, khususnya di dalam dunia seorang pengembara.
Di negara ini, produk-produk jenama itu kini boleh didapati di butik National Geographic di pasar raya Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Butik tersebut di buka melalui satu usahasama di antara YTL Corporation Berhad dan Worldwide Retail Store yang kini merupakan rakan kongsi kepada National Geographic.
Pada 22 Jun lalu, kedai tersebut secara rasminya beroperasi selepas dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Ia berkeluasan kira-kira 1,333 meter persegi itu merangkumi galeri jualan, ruang pameran, barangan cenderamata dan kafe ala Sepanyol yang menyajikan menu-menu istimewa dan luar dari kebiasaan.
Butik itu merupakan yang kedua dibuka di Asia Tenggara selepas pelancaran premis di Bandar Vivo, Singapura dan yang keempat selepas Regent Street, London dan Malaga, Sepanyol.
Selain produk-produk seperti pakaian, beg dan kelengkapan melancong yang lain, butik ini juga menjadi kegemaran mereka yang mencari sesuatu yang istimewa sebagai cenderahati.
Selain itu, buku-buku yang memaparkan koleksi gambar terbaik, peta dan atlas, majalah dan permainan kanak-kanak juga antara saguhati yang sering dicapai peminat.
Buat pengembara pula, sudah tentu rekaan baju, seluar dan beg-beg pengembara National Geographic pasti menepati cita rasa selain sesuai dipadankan pada hari biasa.
Di dalam premis itu sebuah kafe menyediakan pelbagai menu hidangan makanan pelbagai kebudayaan. Masakan tradisi Sepanyol iaitu Pinchos adalah antara yang menjadi kegemaran pelanggan. Kafe juga menyediakan tempat bersantai dan berehat yang selesa kepada pelanggan.
Bagi yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat keistimewaan butik jenama terkemuka itu sila lawati kedai National Geographic di Tingkat 3, Pusat Beli Belah Lot 10, Bukit Bintang atau layari laman web http://www.nationalgeographic.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: