Sunday, October 24, 2010

Mendaki tembok ajaib di dunia


PENGUNJUNG boleh menyaksikan panorama indah di sepanjang pendakian Tembok Besar China.


ANTARA percaya dan tidak, Tembok Besar China yang mula dikenali menerusi buku-buku sejarah dan di kaca televisyen pada zaman kanak-kanak sudah berada di depan mata.

Secara spontan, rasa penuh kagum pantas menguasai diri dan anak mata tidak putus-putus melilau memerhati tembok yang panjang dan melingkari bukit serta gunung di kawasan sekeliling.

Sudah pasti perkara pertama yang dilakukan, mengambil gambar kenangan bersama rakan-rakan media lain sebelum memulakan aktiviti pendakian.

Malah perasaan teruja semakin melonjak apabila melihat ratusan pengunjung tidak kira lapisan umur dan negara yang juga tidak sabar untuk melakukan aktiviti sama.

Siapa yang tidak tercabar apabila melihat warga emas yang dianggarkan berusia lebih 70 tahun dan kanak-kanak kecil yang mampu mendaki tembok besar tersebut.

Namun baru lima minit menapak anak tangga, pendakian Tembok Besar itu begitu meletihkan. Nafas tidak henti-henti turun naik walaupun sesekali dapat menyedut angin yang bertiup dingin.

Sampai satu tahap, rasa seperti ingin mengalah untuk meneruskan pendakian apabila tangga yang didaki semakin hampir ke kemuncak.

Ini kerana sudahlah penat, pendakian dianggap menjadi lebih sukar kerana reka bina anak tangganya yang sempit dan ada yang sudah rosak.

Ditambah pula dengan perasaan gayat yang mula timbul apabila melihat nun sayup-sayup ke bawah tempat awal memulakan pendakian.

Namun nasib agak baik kerana terdapat kedai serbaneka yang menjual air minuman di pertengahan Tembok Besar itu untuk menghilang rasa haus di tekak.

Menyambung pendakian, perasaan sedikit lega apabila dapat berehat di menara yang terdapat di sepanjang tembok itu untuk melepas lelah.

Selepas penat semakin hilang, ingin sahaja menamatkan pendakian dan kembali ke bawah. Namun perasaan bagai dicabar lagi apabila melihat kanak-kanak kecil dan warga emas yang masih meneruskan pendakian.

Tanpa mahu mengaku kalah, aktiviti mendaki diteruskan lagi dan sesekali berhenti untuk memerhati panorama yang indah saujana mata memandang.

Semakin tinggi pendakian, pengunjung dapat merasakan angin bertiup semakin kuat dan menjadikan udara sekeliling begitu sejuk dan berangin.

Paling ketara, semakin tinggi mendaki, Tembok Besar itu agak lengang kerana tidak ramai yang mampu meneruskan pendakian. .

Sebagai tanda sampai ke sana, pengunjung yang melawat ke Tembok Besar China boleh mendapatkan sijil pendakian beserta gambar peribadi berlatarkan Tembok Besar itu dengan bayaran hanya 100 yuan.

Pengunjung boleh mendapatkan sijil serta gambar kenangan sebaik sahaja pendakian selesai.

Lokasi wajib

Berkunjung ke Beijing, China ibarat menjadi satu aktiviti wajib bagi pengunjung luar negara melawat Tembok Besar China.

Tembok besar itu menjadi kebanggaan kepada seluruh rakyat China apabila monumen buatan manusia paling panjang dalam dunia itu diiktiraf sebagai tujuh keajaiban di dunia.

Ia turut diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1987 sebagai warisan sejarah yang menjadi lambang keagungan silam Tiongkok.

Bermula di Gentian Shanhaiguan di wilayah Hebei, panjang tembok tersebut merentasi banjaran tinggi hingga ke Teluk Bohai di sebelah timur negara itu adalah 6,400 kilometer (km).

Pada tahun lalu, satu tinjauan arkeologi baru menggunakan teknologi termaju melaporkan panjang keseluruhan tembok termasuk cabangnya menjangkau 8,851.8 km.

Mengikut sejarah, Tembok Besar itu merupakan satu siri kubu China silam yang dibina sekitar 200 tahun sebelum Masihi dan diperkukuh pada akhir abad ke-14 sehingga permulaan abad ke-17 semasa Dinasti Ming.

Ia menjadi benteng pertahanan untuk melindungi utara China daripada serangan puak Mongol dan Turkik yang dimulakan menerusi beberapa tembok dibina semenjak abad ketiga sebelum Masihi.

Tembok Besar yang masih tinggal pada hari ini adalah hasil pembangunan ketika Dinasti Ming. Keunikannya adalah bahagian dalam temboknya berisi tanah yang bercampur dengan batu-batan.

Bahagian atas pula dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda di mana pembinaannya lebih kukuh dan tahan lama.

Tembok Besar pertama dibina sewaktu pemerintahan Maharaja Pertama Dinasti Qin dengan menggabungkan beberapa tembok sedia ada yang dibina pada Zaman Negara-Negara Berperang.

Pada asalnya, Tembok Besar itu terletak ke arah utara dari Tembok Besar yang masih wujud hari ini dan hujung timur sampai di Korea Utara. Namun sebahagian besar Tembok Besar pertama itu sudah binasa.

Ketika kerja pembinaannya, kerajaan telah mengarahkan para petani membina tembok itu dan ramai yang mati sewaktu menyiapkannya.

Justeru, tidak mustahil juga Tembok Besar China turut digelar 'kubur terpanjang di bumi'.

Keajaiban luar fikiran

"Bayangkanlah dengan keunikan Tembok Besar ini, tak terfikir bagaimana mereka dapat menyiapkan pembinaannya hingga menjadi bangunan yang merupakan antara tujuh keajaiban di dunia," kata seorang teman kepada penulis.

Memang benarlah, kekuatan dan ketahanan Tembok Besar selepas ribuan tahun dibina amat menakjubkan dan menjadi lambang ketamadunan tinggi purba China.

Malah memang tidak terjangkau dalam kotak fikiran bagaimana Tembok Besar itu dibina apabila melihat lereng bukit yang berliku dan terlalu sukar untuk di daki.

Bagaimanapun, Tembok Besar China membuktikan semangat kental penduduk zaman dahulu melakukan kerja-kerja yang dianggap hampir mustahil dengan menggunakan hanya tulang empat kerat tanpa bantuan peralatan canggih.

Biarpun peranan asal Tembok Besar sebagai kubu pertahanan sudah tidak ada lagi, namun keindahan reka bentuknya tetap mengagumkan.

Keindahan Tembok Besar sebenarnya terpancar pada kemegahan, kekuatan dan kebesaran apabila reka bentuknya yang memanjang menyamai bentuk naga besar yang melingkari kawasan bukit dan gunung.

Sebaliknya jika dilihat dari jarak dekat, Tembok Besar itu penuh dengan daya tarikan seni dengan nilai-nilai arkitekual yang aneka ragam.

Hakikatnya, Tembok Besar itu adalah lambang jerih payah yang dibasahi keringat dan darah serta diresapi kepintaran rakyat China pada zaman dahulu.

Tembok Besar China yang penuh masyhur itu mengandungi semangat dan perasaan bangga China yang kini telah menjadi lambang bangsa berjaya.

Sementara itu, jika anda ingin berkunjung ke Beijing, AirAsia X menawarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tianjin lima kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Segala maklumat mengenai kemudahan pakej percutian termasuk hotel dan aktiviti sama ada Tianjin atau Beijing boleh dilayari di airasiago.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: