Friday, October 8, 2010

Menanti cabaran Suzuka

DENGAN hanya baki empat perlumbaan dan kedua-dua gelaran pemandu dan pengeluar masih belum dipastikan, perlumbaan Formula Satu kini menuju ke litar legenda, Suzuka untuk Grand Prix Jepun, hujung minggu ini.

pix_middle

Fernando Alonso Mark Webber Lewis Hamilton


Fernando Alonso
Penontonnya begitu fanatik, dan treknya dianggap sebagai antara yang terbaik dalam kalendar F1, malah turut mempunyai taman tema khas untuknya.Tidak hairan jika semua orang di paddock tidak sabar untuk ke sana. Ikuti komen pemandu mengenai perlumbaan itu dan peluang mereka di sana.


Rubens Barrichello, ­Williams
Kelayakan 2009 - tempat kelima, Perlumbaan 2009 -ketujuh


“Saya suka menyertai perlumbaan ini, ia berada dalam tiga tempat teratas keutamaan kami. Sukar untuk ke sana, apatah lagi jika anda dari Brazil tetapi anda boleh segera melupakannya sebaik anda masuk ke gear pertama dan meninggalkan garaj buat kali pertama.Suzuka adalah sebuah litar yang hebat. Sebuah trek kelajuan tinggi dan mempunyai selekoh tajam. Anda perlu berwaspada sepanjang masa. Saya bernasib baik pernah berlumba di Jepun sejak 1993 dan seronok dapat kembali. Kami perlu tunggu dan lihat bagaimana pencapaian kami tetapi saya optimis kami boleh mencapai keputusan baik hujung minggu ini.”



Nico Hulkenberg, Williams

Kelayakan dan perlumbaan 2009 -tidak bertanding

“Saya tidak pernah ke Jepun sebelum ini. Banyak perkara baik yang saya dengar mengenainya jadi saya tidak sabar menantikan perlumbaan ini.

Memandangkan saya tidak pernah memandu di litar ini, saya berlatih menggunakan simulator di kilang. Saya juga mengkaji data dengan jurutera supaya saya boleh berada dalam keadaan terbaik apabila berada di sana. Kelihatannya litar berkenaan menyeronokkan untuk dipandu.”


Robert Kubica, Renault
Kelayakan 2009 -ketujuh, Perlumbaan 2009 - kesembilan


“Suzuka adalah litar yang cukup mencabar dan terlalu pantas. Jika anda mengira bilangan selekoh berkelajuan tinggi dengan menggunakan gear keempat atau lebih, saya fikir ia mengalahkan mana-mana litar dalam kalendar.

Anda tidak boleh membuat kesilapan di Suzuka kerana kerana sebaik anda melakukan kesilapan, kereta akan terbabas ke tembok kerikil. Seringkali bila anda berada di luar kereta, anda tidak akan sedar pelumba lain juga melakukan kesilapan kerana mereka cepat masuk ke dalam litar. Suzuka tidak seperti itu, bila anda tersilap tidak mungkin anda dapat kembali.”


Vitaly Petrov, Renault
Kelayakan dan Perlumbaan 2009 -tidak bertanding


“Saya pulang ke Eropah sebaik berakhirnya perlumbaan di Singapura. Saya berlatih seperti biasa dan kembali ke UK untuk melawat kilang dan berbincang dengan jurutera mengenai apa yang berlaku di Singapura dan mempelajari sesuatu daripadanya.

“Saya tahu Suzuka adalah sebuah litar yang terkenal dan gembira dapat ke sana buat kali pertama. Sukar untuk saya katakan lebih banyak kerana saya tidak tahu apa yang patut saya jangkakan di sana. Ia akan memberi pengalaman baru tetapi daripada apa yang bincangkan dengan jurutera, litar berkenaan cukup mengelirukan.”


Kamui Kobayashi, BMW Sauber
Kelayakan dan Perlumbaan 2009 -tidak bertanding


“Saya seorang Jepun dan pusingan di Suzuka adalah perlumbaan di tempat sendiri, biarpun tidak banyak masa yang saya luangkan di Jepun sejak tujuh tahun lalu. Saya berusia 17 tahun ketika kali terakhir saya berlumba di Jepun.

“Sudah tentu saya tahu selok belok litar itu selepas memandu di sana tahun lalu bersama Toyota dalam ujian bebas sebelum menyertai Grand Prix. Keadaan di litar begitu baik, saya sukakannya. Ia satu trek yang mencabar dalam setiap pusingan. Saya fikir kereta kami akan cemerlang di Suzuka.”


Nick Heidfeld, BMW Sauber
Kelayakan 2009- keenam, Perlumbaan 2009 - keenam


“Saya tidak sabar menanti perlumbaan di Suzuka. Ia litar Formula Satu kegemaran saya dan memandangkan ini perlumbaan kedua saya bersama pasukan ini, sudah tentunya pengetahuan mengenai kereta akan membantu.

Selain itu, saya juga suka ke Jepun. Kali ini saya tidak hanya akan melawat Jepun tetapi juga Suzuka di mana biarpun tidak banyak yang berlaku di sana, saya masih sukakan Jepun. Saya sukakan makanan, budaya serta keterujaan peminat. Mereka sukakan Grand Prix Jepun dan ini seronok dilihat.”


Adrian Sutil, Force India
Kelayakan 2009 -keempat. Perlumbaan 2009 -ke-13.


“Suzuka adalah antara litar kegemaran saya, jadi saya tidak sabar ke sana. Tambahan pula kembali ke Jepun bagaikan pulang ke rumah sendiri kerana saya tinggal di sana selama setahun pada 2006 ketika bertanding dalam F3 Jepun. Saya berlumba empat kali di litar Suzuka.

Trek itu sendiri adalah ujian sebenar buat pemandu. Anda boleh bayangkan setiap selekoh mempunyai cabaran tersendiri. Biarpun kereta kini lebih kompetitif di pelbagai permukaan trek tetapi kami masih mempunyai kelebihan dari segi konfigurasi ‘downforce’ yang rendah jadi saya harap kami boleh kembali kompetitif seperti di Spa dan Monza tahun ini.”


Vitantonio Liuzzi,
Force India
Kelayakan 2009 - tempat ke-19, Perlumbaan 2009 ke-14


“Saya sudah memahami litar Suzuka kerana saya pernah memandu di sana pada 2006 dan sekali lagi tahun lalu. Ia adalah antara litar lama yang masih kekal dalam kejuaraan seperti Spa dan Monza, ia litar untuk lelaki sejati dan antara yang paling sukar sepanjang tahun.

Kita lihat tahun lalu bahawa keadaan litar yang basah boleh mengganggu keseimbangan, jadi ia menjejaskan tumpuan anda serta perlu berada dalam keadaan terbaik. Saya sukakan selekoh teknikal berkelajuan tinggi terutama di selekoh pertama di mana anda perlu membuat perkiraan tepat.”


Nico Rosberg, Mercedes GP
Kelayakan 2009 - tempat ke- 11, Perlumbaan 2009 - kelima


“Suzuka adalah litar perlumbaan yang hebat dan secara peribadi ia adalah yang terbaik dalam kalendar. Secara teknikalnya ia mencabar, begitu pantas dan litar pemandu sejati yang memerlukan anda melakukan pemanduan terbaik.

Sektor pertama menjadi tumpuan setiap pusingan dan apa yang membuatkan litar itu cukup mencabar. Kami memperoleh keputusan sederhana berdasarkan persembahan kami dengan sekali di tepat keenam dan dua kali di tempat kelima jadi kami berharap dapat mengulanginya di Suzuka.”


Michael Schumacher,
Mercedes GP
Kelayakan dan perlumbaan 2009- tidak bertanding


“Suzuka sentiasa menjadi antara litar pilihan saya sepanjang tahun kerana pemanduan di trek ini cukup sensasi. Secara teknikalnya, Suzuka begitu mencabar dan mempunyai kombinasi selekoh yang menarik jadi seronok apabila semuanya ada pada satu litar.

Saya ke Jepun dengan kenangan hebat memandangkan trek di Suzuka memberikan perlumbaan terbaik buat saya. Jelas sekali saya berharap kami boleh menambahnya dan saya bersedia menghadapi cabaran itu. Saya pasti kami akan cuba menghasilkan sesuatu yang maksimum hujung minggu ini.”


Jenson Button, McLaren
Kelayakan 2009 - ketujuh, perlumbaan 2009 -kelapan


“Saya menghabiskan banyak masa dalam karier Formula Satu di Jepun hingga saya menganggapnya sebagai rumah kedua. Tokyo adalah antara bandaraya terhebat dunia, banyak yang boleh diterokai dan Suzuka adalah adalah venue terhebat untuk Grand Prix Jepun.

Saya mendapatkan ­keputusan hebat di Suzuka tetapi tidak pernah menang di Jepun. Ini adalah litar yang menepati cara saya, perlu memandu sepantas ­mungkin melepasi selekoh dan mengekalkan rentak yang tepat dan lancar. Jika anda lakukan kesilapan, anda terpaksa mengembalikan momentum untuk beberapa selekoh berikutnya. Ia ­menghukum kesilapan anda.”


Lewis Hamilton, McLaren
Kelayakan 2009 -ketiga, perlumbaan 2009 -ketiga


“Dua perlumbaan Grand Prix Jepun yang saya sertai dalam Formula Satu ­diadakan di Fuji Speedway. Biarpun ia satu trek yang hebat, Suzuka yang diperkenalkan tahun lalu adalah antara trek perlumbaan terhebat dunia.

“Suzuka bagaikan urusan yang belum selesai buat saya. Saya melakukan pemanduan sebaik mungkin tahun lalu tetapi kereta kami tidak cukup pantas. Tahun ini saya tidak akan bersikap teragak-agak, saya perlukan keputusan meyakinkan untuk mengembalikan peluang meraih gelaran dan ia menjadi tumpuan utama saya sebaik duduk di kokpit pada pagi Jumaat.”


Heikki Kovalainen, Lotus
Kelayakan 2009 - ­kesembilan, Perlumbaan 2009 -ke-11


“Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelumba Williams kerana dengan insiden yang berpunca daripada mereka, menyebabkan impian saya di Singapura musnah. Saya melalui pengalaman menarik memadamkan api sendiri dan itu adalah cara terbaik untuk menangani situasi berbahaya, bayangkan jika saya terus memandu ke pit.

“Saya sukakan Jepun, ia sedikit gila tetapi dengan cara yang baik. Penyokong mereka begitu hebat, mereka lebih mengenali pemandu lebih daripada nada dan trek itu juga begitu hebat. Saya fikir kami akan cemerlang di sini. Ia pantas dan anda perlukan rentak yang baik untuk mencatat masa pusingan terpantas tetapi pengalaman dan tumpuan cukup penting dan saya tidak sabar untuk masuk semula ke dalam kereta.”


Jarno Trulli, Lotus
2009 Qualifying - 2nd, 2009 Race - 2nd


“Kembali ke Jepun adalah sesuatu yang saya nantikan. Saya sukakan litar itu dan tahun lalu saya berada di podium sebagai naib juara. Saya sedar kami tidak akan mengulanginya tahun ini tetapi saya fikir segalanya baik saja.

Semua orang dalam pasukan ini bersedia untuk beberapa perlumbaan terakhir dan kami mahu menewaskan pesaing terdekat. Kami berjuang dengan baik dan penyokong turut membantu jadi kami akan memberikan yang terbaik untuk membalas budi mereka.”


Mark Webber, Red Bull
Kelayakan 2009 - ke-20, perlumbaan 2009 ke-17


“Saya optimis kami akan cemerlang di Jepun dan keputusan pasukan cukup baik di sana tahun lalu. Ketika ini Ferrari memberi saingan sengit dengan dua kemenangan berturut-turut tetapi saingan merebut mata masih terbuka.
“Suzuka adalah sebuah litar yang disukai pemandu dan saya tidak sabar menantinya. Saya fikir kami akan kembali kompetitif, kami perlu memberikan keupayaan maksimum.”


Sebastian Vettel, Red Bull
Kelayakan 2009 - pertama, perlumbaan 2009 -pertama


“Suzuka pastinya serasi buat kereta kami tetapi kami masih perlu membuktikannya sekali lagi. Saya fikir kami mempunyai kereta yang kompetitif tahun ini di setiap litar, ia menjadikan kami bertambah yakin.

Tahun lalu cukup bagus dan saya fikir kami akan mendapat keputusan yang baik sekali lagi. Ferrari kini semakin meningkat dalam beberapa perlumbaan ­kebelakangan ini, jadi mereka akan memberi cabaran. Begitu juga dengan McLaren.”


Timo Glock, Virgin
Kelayakan 2009 - ke-14, Perlumbaan 2009 Race - tidak bertanding


“Kami ke Jepun selepas mempamerkan prestasi membanggakan di Singapura. Peringkat pertama peningkatan kereta nampaknya berjaya dan saya memandu dengan baik dalam keadaan litar basah atau kering.

“Saya fikir kami boleh jangkakan cuaca lembap di Jepun, ramalan awal menunjukkan kemungkinan besar hujan sewaktu ujian dan mungkin hujan ketika perlumbaan, Kini kami di peringkat kedua peningkatan kereta dengan perkembangan aerodinamik yang mungkin akan membantu kami.”


Lucas di Grassi, Virgin
Kelayakan 2009 -tidak bertanding, perlumbaan 2009 -tidak bertanding


“Suzuka adalah litar paling teknikal sepanjang musim perlumbaan dan saya berharap dapat memandu lebih pantas seperti yang dilakukan di Singapura.
“Ia trek yang baru bagi saya tetapi saya gembira dapat menyesuaikan diri ­dengan litar yang tidak ­pernah saya lalui setakat ini.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: