Sunday, October 3, 2010

Mari Menarilah pula!


LIHAT kolaborasi pertama ini di gelangang tarian pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam di saluran Astro Ria.


IMBAS semula perjalanan program realiti Sehati Berdansa yang berlangsung selama tiga musim di Astro Ria, ada yang menyebut program yang mengangkat selebriti sebagai juara tarian itu mempunyai sumpahan tersendiri.

Bayangkan, kehidupan beberapa pasangan selebriti yang menyertai pertandingan itu berakhir dengan perceraian.

Usai perjalanan program tersebut, kini muncul pula program yang lebih kurang sama tetapi mengambil khalayak sebagai peserta. Program baru itu dinamakan Mari Menari.

Sebanyak 12 pasangan yang terdiri daripada ahli keluarga seperti ibu atau bapa dan anak, adik-beradik dan suami isteri bakal beradu nasib dengan diajar oleh mentor masing-masing.

Selain juri dan peserta, tunjang utama rancangan yang akan ke udara pada 16 Oktober ini ialah pengacara Awal Ashaari dan Lisa Surihani.

Kedua-dua selebriti itu berkolaborasi buat kali pertama di lantai dansa.

Teruja dengan kerjasama yang terjalin, Lisa dan Awal berkongsi cerita tentang tarian dan rasa tidak sabar untuk muncul di kaca televisyen beriringan dalam program Mari Menari pada setiap Sabtu pukul 9 malam. Mungkin ada wajah-wajah yang anda kenali.

Boleh ceritakan pembabitan kalian dalam program terbaru Astro ini, Mari Menari?

LISA (L): Saya bertugas sebagai hos bersama dan Awal menjadi hos utama. Saya akan bertugas selepas persembahan di belakang pentas dengan memberikan kata-kata semangat buat peserta. Saya juga akan mendapatkan komen juri tentang persembahan mereka.

AWAL (A): Saya merupakan pengacara utama rancangan ini. Saya juga mengendalikan segmen penyingkiran peserta yang penuh debaran pada hari Ahad.

Apa yang membuatkan kalian tertarik untuk mengambil tugasan ini?

L: Saya pernah menyatakan keinginan untuk kembali ke bidang pengacaraan selepas lama meninggalkannya. Sejak pulang dari United Kingdom, saya belum mengacarakan sebarang program.

Saya juga ingin bekerjasama dengan Awal. Gementar kerana sudah lama meninggalkan bidang ini tetapi teruja kerana mahu mengasah semula bakat saya.

A: Saya rasa seperti naik pangkat. Dahulu saya cuma terlibat dengan segmen di sebalik dan detik program Sehati Berdansa. Tetapi tahun ini saya diberi peluang mengendalikan sebuah program. Bagi saya ini satu kepercayaan yang besar.

Bagaimana dengan ikatan kimia antara kalian berdua kerana faktor itu dikatakan penting untuk pengacara bersama?

L: Saya pernah bekerjasama dengan Awal melalui filem I'm Not Single. Selepas itu, persahabatan terjalin dan kami sama-sama menyokong perjalanan kerjaya masing-masing. Ini membuatkan kami tidak kekok bekerja bersama.

A: Seperti yang Lisa katakan, kami pernah bekerjasama dalam sebuah filem. Sebelum ini, pihak Astro ada meminta saya menyenaraikan individu yang berpotensi bekerjasama dengan saya.

Salah seorang yang saya senaraikan ialah Lisa. Saya tahu kami selesa bekerja bersama. Saya juga tahu kemampuannya.

Sejujurnya, adakah kalian minat bidang tarian?

L: Saya belajar tarian balet sewaktu berusia lima tahun hinggalah 14 tahun. Adalah asas-asas tarian. Kemudian saya berhenti kerana faktor tertentu. Saya juga suka menari di depan cermin.

A: Minat menari memang tidak ada tapi saya gemar melihat orang menari. Saya kagum kerana mereka mampu mengingati langkah tarian dan berkolaborasi dengan lagu dan penari-penari yang lain.

Saya tidak tahu bagaimana cara mereka menghafal langkah tersebut. Bagi saya, ia sangat sukar. Tidak seperti Lisa, saya tidak pernah menari di depan cermin (ketawa).


LISA sebenarnya seorang yang gemar menari di hadapan cermin dan mempunyai asas sebagai penari balet.


Melihat banyak pasangan peserta Sehati Berdansa yang bercerai, ada yang berpendapat program Astro itu mempunyai sumpahan. Apa pendapat Awal sebagai pengacara program itu?

A: Itu berbalik pada soal jodoh. Orang biasa pun bercerai, cuma tidak diuar-uarkan. Ia menjadi satu cerita hangat kerana mereka peserta Sehati Berdansa.

Berdasarkan pemerhatian saya, pasangan Sehati Berdansa dahulu semuanya sangat romantik dan penyayang. Saya sendiri saksikan mereka sentiasa berpelukan dan memberikan kasih sayang.

Melihatkan situasi itu memang tidak terlintas pun dalam fikiran yang mereka akan bercerai. Ini bukan salah program tetapi sudah takdir.

Bagaimana kalian melihat bidang tarian daripada kaca mata umum. Adakah serius atau saja suka-suka?

L: Kalau mahu membandingkan dengan negara luar, program atau bidang itu sendiri berada di tahap yang berlainan. Tetapi apa yang boleh saya katakan, kita punya potensi dalam bidang tersebut.

Malah, ada diversiti. Dengan adanya program sebegini, kita dapat tonjolkan yang kita tidak ada batas dari segi bakat.

A: Tarian sebenarnya adalah cara paling baik untuk menunjukkan kepelbagaian budaya kita. Kita ada tarian Cina, India, Melayu dan sebagainya. Di situlah letaknya keunikan tarian itu.

Mungkin Lisa boleh ceritakan kenapa khalayak perlu menonton Mari Menari?

L: Rancangan lain mengambil peserta yang sudah pandai menari. Sebaliknya, Mari Menari mengambil peserta amatur.

Mereka akan mempunyai penasihat dan mentor untuk memberi tunjuk ajar. itu lebih menyeronokkan. Saya sangat mengharapkan sokongan umum terhadap program ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: