Tuesday, October 19, 2010

Manga Jepun inspirasi Aina


Bacaan wajib sebelum melelapkan mata.


SIAPA sangka dalam tempoh hampir 11 tahun, Nur Aina Mohd. Khairi telah berjaya mengumpul lebih 50 judul komik Jepun. Koleksi komik yang bermula pada tahun 1999 itu adalah hasil ‘daya tahan’ Aina menahan nafsu membelanjakan duit poket sebanyak RM10 yang diberi ibunya setiap hari. Kesemua komik berkenaan kini menjadi koleksi paling berharga dan tidak ternilai bagi gadis itu.

Gadis berusia 23 tahun itu membeli sekurang-kurangnya dua buah komik setiap minggu. Maknanya dalam tempoh sebulan, Aina mampu memiliki kira-kira lapan buah komik manga pelbagai siri dan judul.

Ketaksuban terhadap bahan bacaan terjemahan bahasa Jepun menjadikan sudut tepi kamar tidurnya ‘meriah’. Di situ tersusun rapi kurang 1,000 naskhah komik kegemarannya.

Rak buku tersebut dibeli khas oleh ibunya, Rohani Jaafar untuk memudahkan anaknya menyimpan menempatkan pelbagai ragam judul dan siri buku bergenre komedi.

Antara koleksi manga dalam simpanan Aina adalah Slam Dunk, Detective Conan, Sailor Moon, Naruto, Yaiba, Fullmetal Alchemist, Inuyasha, Dr. Slump, Mutiara Naga, Budak Getah, Juara Bola Keranjang dan GTO.

Ada komik disampul kemas menggunakan plastik sementara yang lain dikekalkan dengan kulit asal.

Semua khazanah pelbagai warna itu menjadi kebanggaan Aina. Koleksi itu sering menjadi rujukan di kalangan kawan-kawan dan saudara terdekat yang ingin memasuki dunia manga.

‘‘Dahulu siri kartun Crayon Sin Chan yang disiarkan di televisyen menjadi pilihan utama tontonan di hujung minggu. Ironinya, ada yang samakan karakter saya sama seperti watak kartun,’’ kata jururawat muda ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Selangor itu mendapati ‘kesan sampingan’ bahan bacaan berkenaan membolehkan dia berfikir di luar kotak minda terutama dalam menyelesaikan masalah harian.

Tuntutan tugas hakiki yang lebih menjurus kepada urusan melibatkan hubungan sesama insan menyebabkan dia perlu bersikap lebih rasional dan bijak.

Aina mengakui bahawa peranan komik amat besar. Selain sebagai hiburan di masa lapang, ia turut menjadi makanan minda serta mampu menenangkan fikiran terutama ketika tertekan.

Contohnya, manga berjudul Ikhtiar Hidup yang dibeli di kedai buku Sun Comic yang terletak di Sungai Wang, Kuala Lumpur, mendedahkan tentang perkara di luar jangkaan. Bezanya, ia disampaikan menerusi kaedah humor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: