Thursday, October 21, 2010

Lelaki miliki 115 burung tanpa kebenaran ditahan



SHAH ALAM – Sebanyak 115 burung pelbagai jenis dari spesies tempatan dan luar negara dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Serdang Raya, Serdang, kelmarin.

Pengarah Perhilitan Selangor, Rahmat Topani berkata, serbuan yang dijalankan empat anggotanya dibuat kira-kira jam 10.30 malam selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang bertanggungjawab menyimpan semua haiwan itu dipercayai untuk dijual.

“Pemeriksaan di luar rumah yang didiami suspek bersama keluarganya, menemui burung spesies tempatan iaitu 64 burung bayan kecil, burung bayan ‘putting’(33), burung bayan nuri (tujuh) dan burung merbah telinga merah (dua).

“Kami turut menemui burung dari spesies luar termasuk anak burung iaitu tiga burung ‘Sun Conure’, burung Fischer Love Bird (lima) dan burung African Gray Parrot (satu) yang diletakkan di bahagian dapur,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Rahmat berkata, nilai rampasan keseluruhan bagi semua burung itu dianggarkan berjumlah antara RM12,000 dan RM15,000.

“Siasatan lanjut mendapati harga pasaran bagi seekor anak burung dari spesies luar boleh mencecah sehingga RM2,000,” katanya.

Beliau berkata, tiga jenis burung bukan spesies tempatan yang dirampas iaitu jenis Sun Conure dan African Gray Parrot memerlukan dokumen tertentu bagi membolehkannya dibawa masuk ke negara ini termasuk untuk tujuan memilikinya.

Katanya, suspek boleh didakwa mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kerana memiliki dan membawa masuk dua spesies burung dari negara luar membabitkan denda tidak melebihi RM100,000 bagi setiap ekor haiwan atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek yang melakukan kegiatan haram itu sejak setahun lalu juga boleh didakwa mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).

Rahmat berkata, semua burung dari spesies tempatan akan dilepaskan ke habitat asal manakala, burung dari spesies luar akan dihantar ke zoo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: