
KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) semalam memperkenalkan perbankan mudah alih, Transact at Palm Mobile Banking-i (TAP) yang membolehkan pemegang akaun menjalankan transaksi perbankan melalui telefon bimbit tanpa memerlukan akses Internet.
Menjadikan ia sebagai bank pertama yang memperkenalkan perkhidmatan berkenaan, pemegang akaun dapat melaksanakan transaksi perbankan dengan mudah dan ringkas kerana ia hanya perlu menggunakan cip khas yang telah dibangunkan bersama dengan syarikat tempatan.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pelanggan yang mahu menggunakan perkhidmatan tersebut perlu memiliki akaun simpanan atau akaun semasa Bank Islam dan pengaktifan TAP Mobile Banking-i itu akan dibuat dengan melekatkan cip khas yang dilekatkan bersama-sama dengan kad SIM telefon bimbit pelanggan.
“Apabila cip tersebut diletakkan, pelanggan boleh terus menjalankan transaksi perbankan mereka.
“Bagi fasa permulaan ini, TAP Mobile Banking-i menawarkan perkhidmatan pembayaran bil, tambah nilai prabayar talian telefon mereka, pemindahan dana dalam Bank Islam dan antara bank GIRO, pertanyaan baki dan makluman khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan baru itu di sini semalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Besar, Divisyen Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin.
Mengulas lanjut, Zukri berkata, Bank Islam mengenakan caj yang minimum dan berpatutan bagi semua transaksi dan maklumat iaitu percuma bagi pindahan dana dalam bank tersebut dan serendah 20 sen untuk setiap makluman SMS sehingga RM2 untuk pemindahan dana antara bank GIRO.
“Perkhidmatan ini berbeza kerana keupayaan untuk berfungsi pada bila-bila masa dan lokasi tanpa memerlukan akses Internet dan sesuai semua jenis telefon bimbit melalui semua pembekal telekomunikasi utama.
“Sistem keselamatan dwipengesahan iaitu kemasukan kata laluan dan nombor PIN disediakan bagi memastikan keselamatan akaun dan maklumat pelanggan kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: