Friday, October 8, 2010

Kes hak jaga cucu selesai


SHEIKH MUSTAPHA


SHAH ALAM - Kes permohonan ibu bapa angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha bagi mendapatkan hak penjagaan dua cucu selepas kematian bapa mereka tiga tahun lepas selesai semalam.

Ia berikutan persetujuan semua pihak untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik di luar mahkamah berdasarkan terma-terma yang dipersetujui bersama.

Perjanjian mengenainya ditandatangani di Mahkamah Tinggi Syariah di sini di hadapan Hakim Syarie Mohammad Adib Husain.

Pada 23 Disember 2008, Datin Zuraida Sheikh Ahmad dan Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak penjagaan dua cucu mereka, Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 5, dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 3.

Mereka berbuat demikian kerana mendakwa kanak-kanak itu telah berada dalam asuhan mereka sejak dilahirkan.

Zuraida, 65, dan Sheikh Mustapha, 75, selaku plaintif menamakan menantu mereka, Haryati Mohd. Redza, 32, dan ibu Haryati, Kamar Aziah Abdullah, 62, sebagai defendan.

Ibu bapa angkasawan pertama negara itu memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 87(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Sheikh Aiman dan Siti Balkish merupakan anak kepada adik Dr. Sheikh Muszaphar, Sheikh Mustapha Al Masrie, 32, seorang jurutera awam yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Oktober 2007 selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: