Saturday, October 9, 2010

Keindahan wangian pada fesyen

UMUM mengetahui bau adalah zat kimia yang bercampur di ruang udara manakala istilah wangian atau aroma yang banyak digunakan dalam industri makanan atau kosmetik sebenarnya mencerminkan sesuatu yang enak.

TERBARU...Hooi bersama rekaan terbaru daripada koleksi Scent.
TERBARU...Hooi bersama rekaan terbaru daripada koleksi Scent.

ELEGAN...rekaan baju menarik dengan corak jalur. ANGGUN...gaun merah terang yang menyerlahkan lagi keanggunan wanita. ADA GAYA...gaun koktel polos yang diserikan lagi dengan hiasan tali pinggang. GAYA FEMININ...baju lengan panjang polos rona lembut yang dipadankan bersama skirt berkilat. GAYA MODEN...blaus merah terang tanpa lengan yang digayakan bersama skirt pendek. ADA KELAINAN...padanan gaya unik untuk yang berani mencuba.


ANGGUN...gaun merah terang yang menyerlahkan lagi keanggunan wanita.
Bau wangi pula memberi kesan besar kepada pancaindera kerana ia mampu membang­kitkan ketenangan selain mencapai tahap imaginasi.

Untuk itu, keindahan wa­ngian itu diterjemahkan pereka fesyen terkenal, Khoon Hooi, yang mengadaptasi elemen penuh misteri berkenaan bagi dijelmakan dalam himpunan terbarunya sempena musim luruh tahun ini.

Tampil dengan tema bauan dalam konsep Scent, rekaan busana dalam koleksi berkenaan direka khusus untuk wanita moden yang mempunyai keperibadian tersendiri.

Menurut Hooi, koleksi berkenaan amat istimewa kerana ia sepenuhnya rekaan tangan yang menyerlahkan imej tiga dimensi atau lebih dikenali sebagai 3D.
Koleksi itu sarat dengan tekstur rona gelap dengan menggabungkan warna tanah bagi menyeimbangi keindahan serta keberanian pemakai.

“Koleksi ini turut lahir daripada inspirasi yang diambil daripada corak pemakaian wanita abad pertengahan era Belle Epoque iaitu tempoh sejarah Eropah yang bermula pada abad ke-19 dan berlangsung hingga akhir Perang Dunia Pertama.“Selain itu, rekaan saya kali ini juga banyak menggambarkan gaya fesyen legenda Joan of Arc dari Perancis yang berani, namun masih mengekalkan imej feminin,” katanya.


Kata Hooi lagi, apabila wa­ngian bercampur dengan aroma lain ia memberikan elemen aroma baru yang menarik.Justeru, konsep 3D yang ditampilkan dengan tema Scent mampu memanfaatkan tekstur yang kaya dengan elemen warna.

“Saya menambah nilai wanita klasik hari ini menerusi konsep berkenaan untuk wanita moden yang gemar bergaya sekali gus menambah koleksi baru dalam almari mereka.

“Antara rona yang ditampil­kan kali ini ialah hitam yang digabungkan warna coklat atau krim serta diselitkan dengan warna keemasan.

“Inspirasi daripada pengaruh aroma bau fesyen ini nampak lebih anggun dan berani, tetapi penuh dengan ciri kewanitaan bagi mengekalkan konsep gaya rekaan tersendiri,” katanya pada majlis pertunjukan fesyen koleksi berkenaan di ibu kota, baru-baru ini.

Menyerlahkan lagi rekaan, Hooi memilih gabungan material mewah berkualiti tinggi seperti sifon, satin, organza, benang kait serta renda.

Lebih istimewa, ia turut diselitkan dengan perincian moden seperti susun letak fungsi zip yang lebih strategik bagi setiap koleksi.

Melengkapkan lagi gaya pada musim luruh ini, Hooi tidak ketinggalan menghasilkan pakaian yang lebih ringkas menerusi koleksi Timeless Tailoring dan Holiday dengan sentuhan sempurna yang lebih moden.

Koleksi berkenaan boleh digayakan sama ada menghadiri acara kasual, parti koktel mahupun majlis formal.

Rekaan terbaru musim luruh Hooi itu boleh didapati di Star Hill Gallery, Maize dan Parkson Pavilion, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: