Sunday, October 17, 2010

Jangan pandang belakang lagi

DI atas kertas, semua­nya tampak indah dan menggembirakan kerana kontinjen negara akhirnya melakar kutipan pingat emas terbanyak dalam sejarah temasya Sukan Komanwel dengan 12 pingat emas di New Delhi berakhir Khamis lalu.

AMIRUL HAMIZAN IBRAHIM
AMIRUL HAMIZAN IBRAHIM

LEE CHONG WEI LEE CHONG WEI RIZAL TISIN RIZAL TISIN ELAINE KOON ELAINE KOON ROSLINDA SAMSU ROSLINDA SAMSU BIBIANA NG BIBIANA NG NICOL DAVID NICOL DAVID PANDALELA RINONG PANDALELA RINONG

LEE CHONG WEI


Namun, dengan perbelanjaan besar yang dikeluarkan bagi persiapan dan latihan atlet sejak empat tahun lalu, jumlah emas itu sepatutnya mampu dipertingkatkan lagi apatah lagi saingan Sukan Komanwel (dalam beberapa acara terutama badminton) tidak sehebat temasya lain.

Lantas, harapan dan impian lebih besar menanti atlet yang sebenarnya berdepan tugas sukar untuk mengulangi persembahan baik dengan temasya Sukan Asia Guangzhou berbaki kira-kira 26 hari lagi.


Kontinjen negara tidak harus mendabik dada dan berpuas hati dengan apa yang diraih di New Delhi sebaliknya berusaha lebih gigih kerana apa yang boleh dibanggakan adalah pingat emas pada temasya Sukan Olimpik London dua tahun lagi.




ANALISIS 14 ACARA


ANGKAT BERAT
2 Emas, 1 Perak, 2 Gangsa


AKSI temasya kali ini membuktikan keperkasaan badang negara untuk bersaing di pentas antarabangsa. Malah pingat pertama negara yang disumbang atlet senior, Amirul Hamizan Ibrahim pada hari pembukaan kejohanan seakan penyuntik semangat kontinjen negara melakar gemi­lang di New Delhi.

Kudrat Amirul nyata masih terus ditagih mes­kipun pernah melalui zaman gelap angkara penggantungan dua tahun positif penggunaan dadah terlarang dengan mengetepikan tekanan dua atlet tuan rumah untuk menjulang angkatan 257kg bagi menggenggam emas kategori 56kg.

Bagaimanapun atlet kelahiran Rompin, Pahang tidak boleh terlalu mendabik dada meskipun berjaya meneruskan penguasaan Malaysia dalam kategori itu sejak 2002 di Manchester memandangkan jumlah angkatannya itu masih jauh de­ngan rekod terbaik, 265kg di Sukan Olimpik Beijing 2008.

Malah Amirul sendiri pastinya menyedari, saingan yang bakal dihadapi selepas ini di Sukan Asia Guangzhou bulan depan lebih sukar berbanding lawan yang ditemui di Sukan Komanwel. Begitu halnya dengan Aricco Jumith, yang mendominasi acara 62kg.


BADMINTON
4 Emas, 1 Perak


SKUAD badminton memperbaiki pencapaian empat tahun apabila merangkul empat emas menerusi acara berpasukan, perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan beregu campuran, Kien Keat/Chin Eei Hui berban­ding di Melbourne tiga emas, tiga gangsa.

Chong Wei mudah mempertahankan pingat begitu juga dengan beregu nombor satu negara dengan pujian harus diberikan terhadap beregu campuran kerana berjaya menghasilkan pingat selepas pulang dengan tangan kosong empat tahun lalu.

Begitupun cabaran berbeza dan sukar menanti mereka di Sukan Asia Guangzhou apabila perlu berdepan jaguh dari China, Korea Selatan dan Indonesia.

Khidmat Muhammad Hafiz Hashim dalam skuad negara perlu difikirkan semula dan mungkin sudah tiba masa BAM memberi peluang kepada barisan muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Misbun Ramadan Misbun.

Prestasi Hafiz yang pernah merangkul emas di Sukan Komanwel Manchester cukup mengecewakan dan agak pelik dia tewas mengejut kepada pemain India.


BERBASIKAL
1 Emas, 1 Perak, 1 Gangsa


KEJAYAAN skuad berbasikal trek negara di Komanwel, New Delhi adalah yang terbaik dalam sejarah pemba­bitan skuad berbasikal di temasya itu.

Pastinya pencapaian itu akan lebih diraikan jika emas yang dirangkul oleh Azizulhasni Awang tidak dibatalkan.

Satu emas, perak dan gangsa bagaimanapun melepasi sasaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan keputusan membenarkan barisan skuad itu berkampung di Melbourne sebagai satu tindakan tepat menjelang Olimpik London 2012.

Kita sememangnya menanti-nanti aksi pelumba berbasikal muda negara di Sukan Asia Guangzhou.


BOLING PADANG

KEKECEWAAN paling besar yang dialami oleh kontinjen Malaysia adalah melalui acara boling padang yang gagal menyum­bang sebarang pingat emas walaupun Persatuan Boling Padang Malaysia meletakkan sasaran yang tinggi untuk empat pingat emas namun terpaksa akur dengan satu perak dan gangsa menerusi pairs wanita dan lelaki.

Sandaran menerusi pemenang dua pingat emas pada dua edisi Sukan Komanwel sebelum ini iaitu Siti Zalina Ahmad dan pemain nombor satu dunia, Mohd Safuan Said yang dikatakan sudah bersedia ‘meletup’ turut lebur. Semua itu janji kosong belaka.


GIMNASTIK
1 Emas, 1 Perak, 3 Gangsa


KETIKA keyakinan ramai terhadap gimnas negara terhakis berikutan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dikatakan gagal melahirkan atlet yang memenuhi standard, kejayaan dilakar ratu gimrama negara, Elaine Koon, membangkitkan semula kegemilangan yang pernah dikecapi mereka 12 tahun dulu.

Kali terakhir gimnastik negara mencapai kejayaan hebat adalah ketika mereka meraih emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Elaine, 17, muncul sebagai atlet yang memenangi koleksi pi­ngat terbanyak dan bakal menerima imbuhan wang tunai tertinggi (RM180,000).

Kejayaan Elaine dianggap mampu menjadi pembakar semangat buat arena gimnastik negara mengekalkan kejayaan menjelang saingan Sukan Asia Guangzhou, kelak.


HOKI

MELIHAT aksi skuad hoki lelaki dan wanita negara pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi sebenarnya menerbitkan perasaan muak ramai pihak terhadap barisan anak buah Stephen Van Huizen serta Yahaya Atan itu.

Apa tidaknya, status selaku pemenang pingat gangsa bagi skuad hoki lelaki serta tempat keenam untuk skuad hoki wanita pada temasya empat tahun lalu di Melbourne, skrip itu tidak berulang di New Delhi sebaliknya prestasi kedua-dua pasukan jauh lebih buruk.

Apa yang pasti, alasan kedua-dua skuad yang menegaskan Sukan Komanwel hanyalah sebagai pentas menguji prestasi pasukan sebelum meletakkan sasaran sebenar di Sukan Asia, seolah-olah semacam satu kisah dongeng kerana cabaran di Guangzhou sebenarnya lebih perit.


MENEMBAK
2 Emas, 3 Perak, 3 Gangsa


HADIR ke Sukan Komanwel tanpa banyak harapan disandarkan, skuad menembak negara pulang ke tanah air dengan mengukir senyuman apabila mereka berjaya membuktikan potensi sebenar.

Kejayaan itu menghapuskan badi tanpa emas sejak kejayaan bekas penembak kebangsaan, Nurul Hudda Baharin pada 1998, di Kuala Lumpur dan dianggap tepat pada masanya ketika prestasi atlet negara diragui gara-gara aksi hambar di Sukan Sea Laos, tahun lalu.

Nur Suryani membuktikan dirinya masih layak diangkat sebagai penembak wanita nombor satu negara dengan gandingan bersama atlet muda, Nur Ayuni berjaya membidik emas yang pada awalnya dilihat tidak berada dalam jangkauan.

Sementara, atlet pistol turut menggegar hasil kebangkitan atlet berpengalaman, Bibiana Ng apabila meraih emas pertama pada penampilan keempatnya dalam temasya sukan ini.


MEMANAH
1 Perak


SASARAN satu pingat emas Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia yang diletakkan ke atas bahu pemanah utama negara, Cheng Chu Sian tidak kesampaian sebaliknya hanya sekadar meraih pingat perak di dalam acara recurve berpa­sukan bergandingan dengan Izzuddin Abd Rahim dan Arif Farhan Ibrahim Putra.

Namun secara keseluruhan skuad 12 pemanah kebangsaan yang turut menyertai kategori compound gagal menyerlah.


OLAHRAGA

WALAUPUN tidak diberikan harapan tinggi untuk meraih pingat pada Sukan Komanwel di New Delhi, skuad olahraga yang bertanding menerusi lima acara sepatutnya mempamerkan aksi terbaik iaitu setidak-tidaknya cuba memperbaiki rekod peribadi masing-masing.

Namun, aksi longlai semua atlet termasuk jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei serta Roslinda Samsu menerusi acara lompat bergalah wanita, sepatutnya menyedarkan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bahawa mereka perlu bekerja lebih keras selain mengambil kira pandangan atlet.


PING PONG
1 Gangsa


Ada sinar gemilang dicatatkan skuad ping pong negara yang pulang dengan satu pingat gangsa menerusi acara berpasukan wanita apabila mereka mengatasi England pada perlawanan penentuan pingat gangsa.

Ia satu catatan sejarah buat kem Malaysia kerana sejak acara ping pong diperkenalkan pada temasya 2002 di Manchester, ini kali pertama skuad negara tidak pulang penuh hampa. Namun skuad ping pong wanita masih menaruh harapan kepada pemain lama seperti Beh Lee Wei dan skuad lelaki pula gagal bertindak cemerlang.

Pendedahan lebih ba­nyak di peringkat antarabangsa perlu jika Malaysia mahu lebih berjaya di peringkat itu.


AKUATIK
1 Emas, 1 Perak, 2 Gangsa


SKUAD terjun negara gah di Sukan Komanwel New Delhi menerusi kehabatan Pandelela Rinong yang memenangi emas acara 10m platform wanita kemudian bergandingan dengan Leong Mun Yee acara 10m platform serentak.

Penampilan memukau skuad terjun turut disokong dengan kejayaan wakil lelaki hasil kemampuan Bryan Nickson Lomas menyumbang gangsa acara 10m platform lelaki. Dia sekali lagi berpasangan dengan Yeoh Ken Nee meraih gangsa.

Keupayaan skuad terjun negara yang berlatih di China menguatkan lagi keyakinan untuk melihat kejayaan di Sukan Asia Guang­zhou. Namun aksi hambar skuad renang cukup mengecewakan.


RAGBI

Pentas ragbi tujuh sebelah pada Sukan Komanwel nyata bukan milik Malaysia kerana mereka tumpas semua empat perlawanan dilalui, tiga pada peringkat kumpulan dan satu pada peringkat bowl.

Mereka tunduk kepada Kenya (0-40), Samoa (0-61) dan Papua New Guinea (10-56) selain di tangan Uganda (14-26) pada perlawanan peringkat bowl. Skuad ragbi tidak sepatutnya dihantar ke Sukan Komanwel jika inilah keputusan yang dicapai.


SKUASY
1 Emas, 1 Gangsa


KEJAYAAN Datuk Nicol David membawa pulang emas daripada temasya Sukan Komanwel New Delhi bukanlah sesuatu yang meme­ranjatkan kerana tahun ini, prestasi yang dipamerkan atlet itu benar-benar memberangsangkan kerana beberapa gelaran dunia sudah berada dalam genggamannya sejak awal tahun ini.

Ketika temasya Sukan Komanwel di Melbourne 2006, Nicol gagal meriah sebarang pingat dan hanya emas Sukan Komanwel yang belum berada di dalam koleksinya. Justeru, kejayaan Nicol bukanlah sesuatu yang memeranjatkan sebaliknya adalah satu tragedi andai dia tidak muncul juara pada edisi kali ini.

Skuasy juga mencatatkan satu gangsa menerusi sumbangan Nicol dan Ong Beng Hee menerusi acara beregu campuran.


TINJU

SELEPAS kejayaan Sapok Biki memenangi emas acara tinju Sukan Komanwel di Kuala Lumpur 1998, tiada lagi kilauan pingat ber­kenaan yang singgah di kem negara dan temasya di New Delhi juga gagal menamatkan badi yang sudah menjangkau hingga 12 tahun itu.

Sasaran yang ditetapkan di New Delhi ialah satu emas tetapi buat kesekian kalinya, pe­ninju Malaysia gagal lagi untuk mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Sapok itu sekali gus memaksa kontinjen negara perlu menunggu sekurang-kurangnya empat tahun lagi untuk melihat sama ada kejayaan itu mampu diulangi atau tidak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: