Tuesday, October 19, 2010

Jackass ketepikan filem Facebook


SATU adegan lagak ngeri mengarut dalam filem Jackass.


LOS ANGELES 18 Okt. - Filem terbaru Jackass yang memaparkan aksi lagak ngeri mengarut, mengetepikan filem Facebook yang berada di carta teratas box-office Amerika Utara selama dua minggu berturut-turut, apabila mengutip jualan tiket berjumlah AS$50 juta (RM160 juta) hujung minggu lalu.

Menurut penjejak box-office, Exhibitor Relations, Jackass yang diterbitkan dalam format tiga dimensi (3D) dan menampilkan Johnny Knoxville serta krewnya, berjaya melepasi jangkaan awal menerusi filem ketiga siri itu, 10 tahun selepas aksi lagak ngeri berani mereka ditayangkan di MTV.

Filem Red lakonan Bruce Willis, Morgan Freeman, John Malkovich dan Helen Mirren yang mengisahkan ejen perisik yang kembali berkhidmat selepas bersara, berada di tempat kedua dengan kutipan berjumlah AS$22.5 juta (RM72 juta).

Selepas dua minggu berturut-turut mengungguli carta, The Social Network sebuah filem tentang jaringan sosial Facebook, jatuh di tangga ketiga dengan kutipan berjumlah AS$11 juta (RM35.2 juta).

Filem Secretariat tentang seekor kuda lumba yang memenangi kejohanan Triple Crown, berada di tangga keempat, apabila menerima kutipan berjumlah AS$9.5 juta (RM30.4 juta) hujung minggu lalu.

Berada di tempat kelima adalah filem Life As We Know It, sebuah kisah romantik komedi tentang seorang lelaki dan wanita yang berusaha membesarkan bayi rakan mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya. Ia mengutip sebanyak AS$9.2 juta (RM29 juta).

Filem animasi burung hantu Legend of the Guardians berada di tangga keenam dengan kutipan berjumlah AS$4.2 juta (RM13.4 juta), diikuti The Town, kisah rompakan bank arahan Ben Afleck di tangga ketujuh dengan kutipan berjumlah AS$4 juta (RM12.8 juta).

Kisah ngeri pembunuh bersiri My Soul to Take yang mengutip sebanyak AS$3.2 juta (RM10.2 juta) berada di tempat kelapan, sementara filem komedi remaja Easy A tentang seorang gadis yang menipu, hilang keperawanannya untuk popular, berada di tempat kesembilan dengan kutipan berjumlah AS$2.7 juta (RM8.6 juta).

Melengkapkan 10 carta teratas box-office Amerika Utara adalah filem Wall Street: Money Never Sleeps yang menampilkan Michael Douglas, Shia LaBeouf dan Carey Mulligan yang berjaya mengutip sebanyak AS$2.4 juta (RM7.6 juta).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: