Tuesday, October 5, 2010

Idham pertaruhkan R&B dan jazz


YAKIN... Idham pasti masih ramai lagi peminat irama jazz dan R&B dalam industri muzik tanah air.


JIKA diperhatikan, kini terdapat ramai pendatang baru yang lebih cenderung untuk memilih pop sebagai genre yang ingin dipertaruhkan bagi mencipta nama sebagai selebriti.

Namun, berlainan pula dengan Idham yang mempunyai keyakinan tinggi untuk mempertaruhkan R&B dan jazz yakni sebuah genre yang mempunyai peminat minoriti dalam industri hiburan di negara ini.

Berusia 27 tahun, Idham atau nama sebenarnya Hamli Hamdan yang pernah muncul dengan single berjudul Hanya Dia pada 2006 tidak ingin mengaku kalah.

Bahkan, anak kelahiran Bangi, Selangor itu berani mengambil risiko untuk keluar dengan album yang dinamakan Tuju Laut.

Bagaimana pun, ia bukanlah album sulung penyanyi hitam manis ini kerana pada 2006, dia pernah muncul dengan album mini bertajuk Tujuh Seru.

Jelas Idham ketika hadir pada sesi fotografi bersama Hits baru-baru ini, ketika itu dirinya lebih terarah kepada pasaran indie.

"Kini, dengan album baru yang memuatkan enam lagu, saya mula melangkah setapak ke hadapan untuk menceburi dunia arus perdana.

"Selain untuk mengembangkan karier seni, tujuan saya melangkah dalam dunia ini adalah untuk publisiti daripada pihak media yang pasti sedikit sebanyak membantu kerjaya saya.

"Jika dahulu, penglibatan artis indie dengan media begitu terhad memandangkan majlis yang disertai bukanlah sebuah acara besar dan jauh daripada pengetahuan media," ujar Idham yang juga akan keluar single dengan judul yang sama, Tuju Laut.

Namun kini, menurut Idham, dia ingin lebih mengenali pengamal media yang merupakan antara faktor naik turunnya seseorang artis itu.

Tambah Idham, album baru yang bakal muncul pada penghujung tahun ini merupakan hasil terbitannya sendiri di bawah label Inter Sound Sdn. Bhd., dan diedarkan oleh syarikat yang sama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: