|
|
USIA muda bukan penghalang bagi si jelita ini untuk menceburkan diri dalam pelbagai cabang kerjaya.
Penyanyi dan pelakon yang mula mencipta nama selepas menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu kini semakin selesa melibatkan diri dalam bidang perniagaan.
Nur Heliza Helmi yang gemar disapa sebagai Heliza ini sebenarnya bukanlah calang-calang gadis yang boleh didekati.
Biarpun dari luaran dia kelihatan cukup lembut dan ayu dengan imej bertudung namun, dia sebenarnya seorang yang mempunyai semangat kental dan berjiwa besar.
Tertubuhnya Heliza Helmi Production (HHP) pada Februari lalu bagaikan ekspresi dirinya yang cukup gemarkan cabaran.
Apa tidaknya, tatkala rakan sekuliah sibuk mentelaah pelajaran menghadapi peperiksaan penggal akhir dia pula terpaksa berpijak di bumi nyata menguruskan sebaik mungkin masa dalam kerjaya nyanyian, perniagaan dan juga pelajaran.
Baru-baru ini Hits berkesempatan berkunjung ke HHP, pejabat milik 'bos muda' ini yang terletak di Pusat Perniagaan Masria, Cheras, Kuala Lumpur.
Baru tiga bulan beroperasi secara rasmi, jelas Heliza, pelbagai perancangan telah dilakukannya dalam memastikan perkembangan serta hala tuju syarikatnya pada masa depan.
"Inilah yang dikatakan variasi dalam kehidupan dan bagi saya segala yang diceburi adalah himpunan ilmu yang perlu saya kutip sebanyak mungkin.
"Saya seorang yang suka mengambil tahu banyak perkara sebab itu saya suka mendalami pelbagai perkara yang saya suka.
"Bagi saya inilah cabaran dalam kehidupan saya daripada situ saya belajar banyak perkara dan dalam masa yang sama membantu saya merancang aktiviti dan jadual harian dengan lebih tersusun," kata Heliza.
Tidak cukup rehat, berat badan susut dan mencipta lagu serta memikirkan pelbagai perancangan untuk perjalanan syarikat bagaikan sudah menjadi rencah dalam kehidupannya kini.
Sebab itulah andai persoalan berbangkit tentang kehidupan peribadinya diajukan, pantas sahaja jawapan yang diberi, fokusnya kini hanyalah kerjaya dan keluarga.
Andai tidak di pejabat kata Heliza, dia lebih gemar menghabiskan waktu bersama keluarga di rumah dan jika ingin ke mana-mana, dia lebih selesa ditemani oleh pembantu peribadi dan juga ahli keluarganya.
"Bukan senang nak mulakan sesebuah perniagaan apatah lagi, syarikat ini masih terlalu baru. Perlu banyak bermain dengan strategi dan risikonya pula tidak semua perkara yang kita cuba lakukan akan mencapai kejayaan.
"Namun, saya bersyukur mempunyai penasihat yang banyak memberi dorongan kepada saya untuk terus berusaha iaitu ayah saya (Helmi Mohd. Hasmi, 53) yang tidak pernah jemu memberi pelbagai nasihat kepada saya.
"Bukan itu sahaja, saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga dan enam orang kakitangan HHP yang sama-sama merangka pelbagai agenda terbaik dan sumber kekuatan bagi syarikat ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: