Wednesday, October 13, 2010

Graduan Universiti Putra Malaysia digesa jayakan program transformasi negara


SULTAN Sharafuddin Idris Shah (tiga dari kiri) bertitah kepada Omar Abdul Rahman (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh bekas dekan-dekan veterinar pada majlis Konvokesyen UPM, Serdang, semalam.


SERDANG 10 Okt. - Para graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) digesa memberi komitmen tinggi dalam menjayakan program transformasi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi yang mantap serta menyeluruh.

Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, untuk tujuan itu, para graduan perlu terus berusaha membuka dan mempertajamkan minda untuk melihat sesuatu fenomena secara global.

Sehubungan itu titah baginda, graduan juga perlu merancang masa hadapan secara lebih cekap dan berkesan.

"Semangat keusahawanan yang dipupuk di UPM harus disemarakkan dengan jiwa kental dan keberanian merempuh risiko serta pandai menukar segala cabaran menjadi peluang untuk kejayaan," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-34 UPM, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah setelah menyampaikan ijazah pertama dan ijazah sarjana dalam pelbagai disiplin kepada 764 graduan pagi ini.

Sebanyak 7,545 graduan UPM menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen yang berlangsung lima hari bermula 9 hingga 13 Oktober ini.

Baginda bertitah, seramai 83 graduan sulung program Ijazah Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem, Ijazah Pengurusan Alam Sekitar dan Ijazah Pertanian Sains Ternakan turut menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.

Sultan Selangor juga bertitah, difahamkan jumlah graduan doktor falsafah dari UPM adalah yang tertinggi berbanding semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Baginda bertitah, untuk berjaya sebagai pendukung Model Baharu Ekonomi, graduan juga dituntut supaya lebih kreatif dan inovatif bagi memenuhi kehendak pelanggan termasuk menghadapi saingan, mencapai matlamat dan untuk mengubah suai pentadbiran dan pengurusan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menyampaikan anugerah Profesor Emeritus kepada Tan Sri Omar Abdul Rahman iaitu dekan dan profesor pertama di UPM yang menerajui Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan sekitar 70-an.

Omar dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik, UPM pada 1982 dan pada 1984 pula Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu melantik beliau sebagai Penasihat Sains pertama kepada Perdana Menteri.

Sebagai Penasihat Sains, antara kejayaan yang dicapai termasuk memperkenal dan memajukan skim Pengurusan Sains dan Teknologi melalui penubuhan pelbagai dana khas untuk penyelidikan sains.

Sumbangan Omar kepada kemajuan sains pula diperakui dengan menerima lapan ijazah kehormat Doctor of Science dan Doctor of Law yang dianugerahkan oleh pelbagai universiti di dalam dan luar negara.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 78 tahun ini merupakan warga Malaysia pertama memperoleh PhD dari Universiti Cambridge, United Kingdom.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: