Tuesday, October 5, 2010

Gaya busana orang muda




BERSANTAI di hujung minggu sambil memakai kemeja-T dan seluar jeans pasti memberi kepuasan. Kasual, ringkas dan bebas menjadi keinginan setiap anak muda dalam menggayakan fesyen.

Kembali ke era 50-an, gaya kehidupan kolej ketika itu menjadi trend musim ini. Dengan corak blaus atau kemeja-T serba ringkas seperti belang-belang, ia menjadi pilihan remaja.

Lebih bergaya dengan padanan jaket fabrik lembut dan blaus polos atau bercorak bunga untuk gadis remaja.

Warna hijau, biru atau kelabu semakin popular untuk gaya kasual. Jejaka pula kelihatan kemas dengan kemeja atau kemeja-T bercorak kotak-kotak.

Mengimbas semula fesyen ini, kita akan teringat gaya wanita awal 90-an menampilkan imej matang.

Rekaan ini melambangkan gaya santai dan rehat yang boleh didapati di bawah jenama Materiel, Parkson, Pavilion Bukit Bintang.

Mengumpulkan pelbagai lagi jenama di bawah satu bumbung, butik Materiel dengan bangganya mengumumkan pencapaian beberapa jenama yang mula mendapat tempat di hati penggemar fesyen.

Namun yang lebih menyerlah bagi Materiel ialah jean yang diberi label Dr. Denim yang dibawa khas dari Sweden.

Selain sentuhan kemeja-T yang klasik dan ringkas, potongan seluar yang kecil di bahagian hujung mengembalikan ingatan pada potongan seluar tahun 80-an dan 90-an.

Kegemilangan fesyen era ini semakin menarik dengan pemakaian selendang yang menutup bahagian bahu.

Sesuai untuk gaya musim luruh dan sejuk di luar negara, kebanyakan rekaan kali ini menampilkan kemeja-T dan blaus berlengan panjang.

Sesuai untuk gaya remaja kolej, kualiti fabrik dan jahitan menjadi keutamaan. Pun begitu, senario fesyen yang sedang menular kini ialah keghairahan remaja berpakaian seksi dan menampilkan sesuatu yang lebih 'berani' namun menarik.

Namun, jenama ini menampilkan fesyen yang menarik, ringkas namun tetap seksi dan itu yang menjadi kepuasan apabila kita dapat bergaya dan ditontoni ramai.

Dari segi pemilihan warna pula, Dr Denim masih mengekalkan fabrik jean. Ia begitu sinonim dan menjadi kegemaran remaja dan orang muda yang sudah bekerja.

Bagi menyerlahkan gaya remaja yang ceria serta ranggi, Dr Denim cuba menerapkan konsep suai dan padan. Tidak ketinggalan, ia menawarkan seleksi blaus, baju-T, kardigan dan kemeja yang boleh disuai dan padan bersama seluar jean, skirt, sarung kaki (legging) mahupun seluar kargo.

Selain itu, bagi mereka yang gemarkan gaya ala vintaj dan klasik, segeralah mendapatkan busana yang menampilkan teknik jahitan kait jenama Dr Denim dan Material.

Maka, fesyen ini sesuai digayakan oleh remaja yang sentiasa sibuk dengan kuliah dan aktiviti luar.

Pemilihan fabrik yang mudah dijaga dan ringan pasti memberi keselesaan kepada si pemakai. Rona-rona dan corak ceria yang ditampilkan pula menyerlahkan penampilan funky si remaja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: