Tuesday, October 5, 2010

Dadah dalam 9 bingkai gambar

SHAH ALAM: Helah seorang tukang jahit warga India cuba menyeludup dadah ke negara ini dengan menyembunyikan dadah di dalam sembilan bingkai gambar sebelum dibalut dengan bungkusan hadiah gagal mengelirukan pihak berkuasa apabila dia dicekup sejurus tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), dekat Sepang, Khamis lalu.

BUKTI...Nordin (dua kiri) menunjukan ketamin yang diseludup menggunakan bingkai gambar yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...Nordin (dua kiri) menunjukan ketamin yang diseludup menggunakan bingkai gambar yang dirampas daripada suspek.
Suspek berusia 41 tahun terbabit ditahan sejurus tiba di LCCT dari Tawau, Sabah, jam 1.40 petang oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemeriksaan polis ke atas beg yang dibawa suspek itu mengandungi sembilan bingkai gambar dan di dalamnya mengandungi 4.9 kilogram (kg) dadah jenis ketamin bernilai kira-kira RM135,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata hasil siasatan mendapati suspek menggunakan penerbangan dari Chennai, India dan transit di KLIA sebelum ke Tawau, Sabah, dan bermalam dua hari di sana.

“Dia menggunakan penerbangan tambang murah untuk masuk ke Semenanjung.

“Modus operandi ini yang terbaru dikesan digunakan sindiket pengedaran dadah antarabangsa,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.Pemeriksaan pasport mendapati suspek sudah sembilan kali memasuki negara ini.


Setiap bingkai gambar itu mengandungi lebih 500 gram ketamin. Polis tidak menolak sindiket itu mengubah taktik dengan menggunakan LCCT berikutan operasi besar-besaran oleh polis dari Jabatan Narkotik di KLIA.

Nordin berkata, satu lagi kes cubaan menyeludup dadah ke negara ini menggunakan laluan udara ditumpaskan pada Jumaat lalu dengan tertangkapnya seorang lelaki warga India di KLIA.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kotak yang dibawa suspek berusia 27 tahun dan bekerja sebagai penyelia teknologi maklumat itu menemui 5.8kg syabu bernilai kira-kira RM1.45 juta.

“Suspek ditahan ketika menolak troli mengandungi satu kotak dan pemeriksaan di dalamnya menemui 28 peket plastik dadah.

“Semua dadah ini disorok di bahagian kiri dan kanan kotak bagi mengelirukan pihak berkuasa,” katanya menambah kedua-dua kes itu membabitkan sindiket berlainan.

Suspek kes pertama direman seminggu sehingga Khamis, manakala kedua sehingga Sabtu ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan gantung mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: