MENYEDARI potensi besar industri jam tangan, jenama Edox buatan Switzerland yang sebelum ini dikenali sebagai pengeluar jam tangan paling nipis di dunia sejak 1999 merangka strategi membangunkan koleksi jam tangan terbarunya iaitu Edox WRC.
SATU-SATUNYA...jam Edox punya pelbagai paparan dan fungsi termasuk beberapa jenis mod.
Pengarah Urusan Edox, Alexandre Strambini, berkata, Edox satu-satunya syarikat pembuatan jam di dunia yang membangunkan koleksi jam tangan khas, khusus untuk pemandu bagi pertandingan WRC kerana menyedari sukan pemotoran itu mempunyai potensi besar bagi memperkenalkan jenama Edox di mata pelanggan.
Beliau tidak menafikan jam tangan Edox sebelum ini hanya dikenali dalam kalangan penggemar dan pengumpul setia jam tangan jenama berkenaan yang sudah berada di pasaran sejak 1880-an.
Melalui penajaan dalam sukan itu sejak tahun lalu, dia berkeyakinan jenama itu akan lebih dikenali berikutan sepanjang 2009 peminat sukan WRC seramai 600 juta orang menyaksikan perlumbaan terbabit di kaca televisyen di seluruh dunia.
Pembangunan jam tangan Edox WRC, menurutnya, mengambil masa setahun.
Rekaannya terhasil daripada cetusan gabungan idea lapan pakar syarikat itu dengan kerjasama pengurusan WRC yang dilancarkan tahun lalu.“WRC adalah satu jenama yang dikenali dalam dunia sukan dan pemimpin dalam teknologi, begitu juga pembuatan jam tangan Edox yang mempunyai aliran pemikiran yang sama.
“Oleh itu, Edox gembira berpeluang dapat bekerjasama dengan persatuan itu,” katanya.Menurutnya, jam tangan Edox WRC yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri kerana koleksi itu mampu mencatatkan ketepatan waktu terbaik pemandu kereta rali supaya dapat membantu memudahkan mereka untuk menilai prestasi sepanjang perlumbaan.
Jam tangan Edox tidak hanya menyediakan paparan umum untuk jam, minit dan saat saja, tetapi mempunyai tambahan pelbagai paparan dan fungsi terbaru termasuk kronograf serta beberapa mod termasuk mod undur, countdown, masa terkumpul, kira semula dan masa ulangan.
Satu butang khas besar berwarna merah pada jam itu bertujuan memberi keselesaan kepada pemandu terutama ketika memakai sarung tangan apabila memandu bagi mengendalikan semua fungsi pada paparan jam berkenaan.
Menurutnya, bahagian dalam jam diukir umpama rim dan tayar kereta yang diikat dengan karbon hitam dan kristal nilam yang berfungsi sebagai perlindungan daripada kesan calar dan gores malah ia kalis air pada kedalaman 100 meter.
Selain itu, tali Edox WRC diperbuat daripada getah asli yang direka khas umpama tayar kenderaan yang dilengkapi logam diukur logo Edox.
Di Malaysia, syarikat Watatime dilantik sebagai pengedar utama bagi memasarkan semua produk keluaran syarikatnya.
“Walaupun jam ini direka khusus untuk pemandu rali, teknologi yang dibangunkan sesuai dijadikan koleksi mahupun hadiah kepada orang yang disayangi.
“Edox lebih dikenali sebagai jam lelaki yang maskulin dan sporty, tetapi akhir tahun ini, ia akan mengeluarkan koleksi jam terbaru khusus untuk wanita,” katanya dalam sidang media khas sempena majlis pelancaran Edox WRC di Jepun.
Sementara itu, Pengurus Besar Watatime, Brian Tham berkata, jenama Edox sudah berada di pasaran Malaysia sejak 10 tahun lalu.
Sambutan terhadap jenama berkenaan mulai meningkat sejak empat tahun kebelakangan ini terutama selepas rangka strategi dan perancangan baru yang dilaksanakan pengeluar jam tangan Edox.
Malah, katanya, sambutan terhadap jam tangan berukuran besar dan imej yang lebih ranggi dengan teknologi canggih mulai mendapat tempat penggemar jam tangan di Malaysia.
“Edox WRC bakal memasuki pasaran Malaysia pada pertengahan bulan ini.
“Menerusi strategi pemasaran dan perancangan yang rapi, ia mampu dijual kerana cita rasa pengguna kita kini beralih kepada jam tangan sedemikian yang juga sesuai dijadikan koleksi.
“Perbezaan dan keunikan juga antara faktor jam tangan jenama Edox mula dikenali dan mendapat tempat,” katanya.
Menurutnya, pelanggan boleh mendapatkan Edox WRC di semua rangkaian kedai Watatime di Sungai Wang Plaza, Mid Valley Megamall, Suria KLCC dan Pavilion di Kuala Lumpur manakala di Selangor, ia berada di Subang Parade, 1 Utama dan Sunway Pyramid.
Ia juga bakal dipasarkan di tiga lagi cawangan Watatime di pusat beli-belah Bukit Tinggi, Klang; Mahkota Parade, Melaka dan Kinta City, Ipoh, Perak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: