Tuesday, October 19, 2010

Artis dan busana warisan

KEUNGGULAN batik, songket dan kain tenunan warisan dan kraftangan Melayu memang tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun. Sama ada tradisional mahupun yang telah dimodenkan, percayalah busana yang mengambil unsur ini pasti akan memikat hati pemuja setianya yang bijak menilai hasil seni Melayu itu.

Kalau batik, kita boleh lihat keanggunannya terletak pada motif dan warna yang dilayangkan pada helaian kain tersebut yang mana setiap daripadanya mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri.

Keunikan songket apatah lagi. Tenunan tangan ini tentunya bukan satu perkara mudah untuk dihasilkan.

Dengan sulaman benang beraneka warna yang ditenun bersama, songket tidak pernah gagal menjuarai mata sesiapa sahaja yang menatap seninya itu.

Nah..inilah lambang budaya Melayu yang wajar dipelihara. Apa yang diperlukan cuma kenal dan belajar untuk mencintainya sahaja.

Pengertian ini turut dikongsi golongan artis yang tahu bagaimana untuk menilai warisan Melayu agar tidak luput ditelan zaman.

Bagi jelitawan terkenal tanah air, Rozita Che Wan, busana kraftangan begini disifatkan sebagai sangat dekat dengan dirinya.

Sebagai contoh, sedari kecil dia sudah terajar untuk membiasakan diri memakai batik meski hanya duduk dirumah sahaja.

“Sebagai orang Melayu, saya bangga memakai pakaian yang mengangkat budaya bangsa kita dan batik adalah material tradisional yang wajar diangkat seadanya.

“Pilihan saya tentunya batik Terengganu kerana keaslian dan kualiti yang ada padanya,” katanya.

Kata anak jati negeri Kedah ini, dek kerana sukar mengikis kecintaannya pada kehalusan seni batik selain songket dan hasil tenunan lain, kebanyakan daripada koleksi busana simpanannya banyak yang berunsurkan motif itu.

Pun begitu, dia mengakui tidak begitu cerewet mengenai soal harga kerana baginya, asalkan cantik dan berkenan di hati pasti busana itu akan dibawa pulang.

Pandangan yang sama turut dilontarkan penyanyi muda yang namanya semakin mekar dalam industri seni tanah air, Ana Rafalli.

Kata gadis yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku ini, keselesaan memakai pakaian tradisional terutamanya batik setiap kali membuat persembahan seolah begitu sukar ditaksirkan.

Malah, mendapat tajaan daripada Butik Warisan Anggun Putrajaya juga disifatkan sebagai tuah baginya memandangkan konsep pakaian mereka dilihat selari dengan imej Ana sendiri yang gemar memakai baju kurung dan kebaya tatkala memetik gitar di atas pentas.

“Ya, saya bertuah kerana mendapat tajaan Warisan Anggun. Malah kebanyakan busana yang dihasilkan juga lebih berciri tradisional dan sesuai dengan imej saya.

“Pada saya, keayuan wanita Melayu itu akan semakin terserlah jika mengenakan busana begini,” katanya.

Bagi penyanyi Nurul Wahab pula, keunikan yang ada pada motif tekstil buatan Malaysia adalah sebab utama mengapa busana warisan sering menjadi pilihannya.

Kata pelantun lagu Tangis Syukur ini, kombinasi motif ringan dengan warna yang lembut seringkali menjadi pilihannya untuk dipakai sama ada pada majlis-majlis tertentu atau sekadar keluar bersama teman.

“Nurul cukup suka dengan motif floral yang tidak terlalu sarat. Tidak kisahlah untuk busana dengan material batik mahupun songket.

“Malah, berbanding Indonesia, Nurul lebih berminat pada hasil seni buatan Malaysia kerana kehalusannya,” ujarnya.

Sebagai peminat kraftangan Melayu, wanita kelahiran Pulau Pinang ini mengakui berbangga dengan warisan bangsa tersebut yang disifatkan perlu sentiasa dipelihara agar tidak terus dilupakan.

Dalam pada itubagi anda yang berminat dengan seni kraf tekstil jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Promosi Kraf Tekstil 2010 yang akan diadakan bermula 13 hingga 25 Oktober ini di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Diadakan bermula 10 pagi hingga 8 malam, antara aktiviti yang disediakan kepada pengunjung termasuk jualan kraf tekstil dan aksesori, pameran serta demonstrasi kraf tekstil dan peragaan fesyen.

Objektif program anjuran Kraftangan ini diadakan adalahbagi menggalakkan masyarakat mengunakan tekstil Malaysia seperti batik, songket, tenun dan sulaman dan diaplikasikan melalui hiasan, kelengkapan kediaman dan pejabat, kemasan, aksesori, upholstery dan lain-lain.

Kraftangan Malaysia, selaku peneraju industri kraf telah berjaya membangunkan kedayaciptaan kraf tekstil melalui Program Penyelidikan dan Pembangunan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti pembangunan produk dan kajian teknologi dan bahan. Rekaan produk kraf tekstil bermutu dan mengikut citarasa pasaran, juga telah dihasilkan bersama usahawan kraf untuk memenuhi pasaran domestik dan antarabangsa.

Kraftangan Malaysia turut memberi latihan kemahiran dan orientasi pengeluaran kapada usahawan-usahawan muda dengan menggalakkan penghasilan kraf tekstil yang berkualiti dan mempunyai rekaan terkini serta corak-corak kontemporari yang menepati citarasa pengguna masa kini. Latihan bukan sahaja diberi tunjuk ajar oleh tenaga pengajar tempatan malah khidmat kepakaran dari dalam dan luar negara juga diperolehi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: