Sunday, August 1, 2010

Zahid mintak putus


Nita


SAYA terpaksa mendongak apabila berbual dengan wanita ini. Bukan kerana saya rendah tetapi penyanyi bernama Nita sememangnya memiliki ketinggian yang agak luar biasa berbanding wanita lain.

Malah jurugambar senior, Zakaria Idris yang sibuk membidik kameranya pada sesi fotografi ini pun hanya memiliki ketinggian di paras telinga Nita.

Dengan ketinggian 172 sentimeter, ditambahkan pula kasut tumit setinggi lima inci, apa lagi yang boleh diperkatakan tentang tubuh fizikal Nita atau nama sebenarnya, Norhanita Hamzah.

Pada pandangan mata saya, Nita antara artis wanita yang bertuah kerana hadir dengan pakej lengkap apabila tinggi ‘melayang’, kaki panjang dan bentuk badan ramping.

Nita tidaklah terlalu jelita tetapi menarik untuk dipandang. Cuma warna kulitnya sedikit gelap, itu pun katanya kerana baru balik dari Pulau Tioman dan Pulau Pinang untuk aktiviti snorkling selain gemar berjemur di pesisiran pantai.

Namun sedikit pelik kedengaran apabila Nita mengaku tidak pernah melakukan persembahan catwalk di pentas peragaan dan cuma sesekali memenuhi permintaan rakan-rakan pereka fesyen untuk mempromosi rekaan baru.

Begitulah bertuahnya menjadi wanita bernama Nita. Dikurniakan anugerah berharga yang menjadi idaman ramai golongan wanita. Apa pun tidak semua tuah itu memihak kepada dirinya apabila bercakap tentang cinta. Betullah, manusia tidak akan dapat memiliki apa yang diinginkan semua impian dalam hidup.

Dua tahun lapan bulan menyimpul kasih bersama Zahid, bekas juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Nita pasrah dengan perpisahan yang berlaku pada 28 Jun yang lalu.

Dia percaya kepada ketentuan takdir dan hikmah. Sebab itu tiada riak-riak sedih yang bertakung di wajahnya kerana kata Nita, dia tidak mahu lagi mengenang sesuatu yang sudah berlalu.

Baginya yang penting ialah langkah selepas ini. Kehidupan barunya sudah bermula untuk kembali menjenamakan semula namanya untuk bersatu dengan semangat membara.

Bagi anak kelahiran Selayang, Kuala Lumpur ini, selepas Aidilfitri ini dia akan membuat perancangan rapi dengan menyusun semula semua aktiviti seninya.

“Balik dari Pulau Tioman lagi awal minggu pertama Ogos ini, sudah banyak perkara yang perlu diselesaikan. Ini kerana saya berhasrat mengeluarkan single selepas Hari Raya nanti dan pada masa sama juga ingin mencuba karier baru dengan menumpukan pada bidang peragaan dan lakonan pula,” katanya bersungguh sambil sesekali membalas pesanan khidmat ringkas SMS yang muncul dari telefon bimbit Blackberry miliknya.

Bagi saya, azam besar Nita itu perlu direalisasikan kerana selepas lima tahun bergelar artis, kehadirannya belum memberi impak maksimum kepada industri. Buktinya, selepas lima tahun juga, inilah kali pertama Nita dipilih menjadi artis muka depan Pancaindera.

Siapa tinggalkan siapa?

Nita pada mulanya enggan mengulas tentang punca perpisahan dengan Zahid. Katanya, dia ingin menjadi wanita yang rasional. Luahnya, lagi banyak kenyataan yang dikeluarkan akan menimbul keadaan yang tidak selesa.

Sambungnya lagi, dia juga ingin menghormati perasaan orang lain selain menghargai momen-momen indah yang dilalui sepanjang tempoh percintaan itu.

Namun wanita yang bakal berusia 30 tahun pada 3 November ini akhirnya mengalah jua demi merungkai tragedi putus cinta yang dialaminya itu.

“Siapa yang tinggalkan siapa? Sebenarnya Zahid yang minta putus,” perlahan ayat yang keluar dari mulut Nita. Dia diam seketika mengambil nafas. Jelasnya, bekas teman lelakinya itu memberi alasan mereka tiada persefahaman lagi biarpun mengakui dia seorang wanita yang baik dan menghormati orang tua.

“Saya reda apa yang berlaku dan mungkin tiada jodoh antara kami. Kami tidak selalu bergaduh walaupun setiap hubungan cinta itu ada pasang dan surutnya.

“Bagi saya dalam perhubungan, saya lebih gemar berterus-terang dan tidak suka simpan perasaan. Saya akui bila bercakap pasal kerja, saya akan serius tetapi mungkin ada benda yang saya tidak tahu,” katanya panjang lebar apabila ditanya punca perpisahan itu.

Sempat ditanya perasaan ketika Zahid melafazkan permintaan putus cinta itu, Nita ketawa buat-buat bagi menutup pilu di hatinya.

“Mestilah sedih waktu itu. Dua tahun lapan bulan adalah satu tempoh percintaan yang panjang dan kami telah melalui banyak kenangan pahit dan manis.

“Waktu nak berpisah baru teringat kenangan yang manis. Dari luar orang nampak saya macam okey tetapi hati di dalam siapa yang tahu. Saya tidak mahu berbohong namun saya akan cuba lalui semua ini biarpun masih terasa dengan perpisahan ini,” bicaranya lembut.

Trauma tengok Zahid

Selepas sebulan lebih sah putus cinta, Nita ditanya tentang hubungannya dengan Zahid yang kini terjalin hanya sebagai kawan.

Enggan menjadi wanita hipokrit, dia mengakui tidak mampu berdepan dan bertentang mata dengan Zahid untuk waktu terdekat ini.

“Biarlah orang nak kata saya tidak profesional. Tapi kalau ada persembahan atau fotografi yang turut melibat Zahid, saya akan tolak.

“Saya pun tidak pasti sampai bila saya mampu bertahan untuk tidak memandang wajah Zahid. Ini pendapat jujur saya dan berharap orang lain menghormati hak saya ini,” katanya tegas sekali.

Nita juga berterus-terang dia sudah membungkus semua barang yang dihadiahkan Zahid kepadanya dan ia ditempatkan di dalam satu bilik khas di rumahnya.

Namun apabila ditanya sudah memadam ‘SMS-SMS cinta’ bekas teman lelakinya itu, Nita hanya diam dan tersenyum.

“Kalau ada lagi akan membangkit nostalgia,” jawabnya yang bagai mengesahkan sudah memadam semua SMS Zahid itu.

Kata Nita, semua tindakannya itu bukan bermakna dia berdendam dengan Zahid. Jelasnya, dia tetap mengagumi lelaki itu yang memiliki hati budi yang baik. Jelas anak ketiga daripada lima beradik itu, Zahid gemar menolong orang selain sentiasa bersikap periang.

“Apa yang menarik, kami berkongsi banyak minat seperti suka muzik dan bermain futsal serta menonton perlawanan bola sepak bersama,” katanya yang tiba-tiba ceria apabila menyebut nama Zahid.

Bawa diri ke Tioman

Sejak putus cinta, sudah dua kali wanita ini pergi bercuti ke Pulau Tioman. Malah buat kali ketiga, Nita ke sana lagi selama lima hari bermula Jumaat lalu.

Katanya, pulau itu merupakan sebuah tempat yang menarik untuk merehatkan diri sambil menikmati pemandangan laut yang cukup indah.

Nita memberitahu, dia sudah tidak sabar-sabar untuk mengambil lesen menyelam di dasar laut selepas Aidilfitri ini.

“Seorang kawan yang cadang agar pergi bercuti ke Tioman awal bulan lalu. Apabila pertama kali sampai di sana, saya sudah jatuh cinta.

“Pulang dari Tioman, beberapa hari selepas itu saya ke sana lagi sebelum ke Pulau Pinang. Tak tahulah nak cakap kenapa seronok sangat apabila berada di sana,” katanya yang tidak kisah dengan kulitnya yang semakin gelap gara-gara kerap berkunjung ke Tioman.

Namun Nita cepat-cepat menafikan dia ke Tioman untuk membawa hatinya yang sedang berduka lara.

Nita kelihatan seronok benar apabila bercerita tentang percutian ke Tioman itu. Ibarat sudah lupa derita cinta yang dialami ketika ini.

Mengakhiri pertemuan pada petang yang semakin senja itu, Nita diusik dengan kriteria calon suami pilihannya selepas ini.

Katanya mudah sahaja sambil ketawa. Hormat keluarga, boleh jadi pembimbing dalam hidupnya dan sedap mata memandang.

“Kalau boleh nak dapat yang pandai masak,” katanya penuh manja dan malu-malu.

1 comment:

  1. Semoga kak nita tabah n success selalu...amin...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: