Sunday, August 1, 2010

Worldstars harumkan nama Malaysia


Gaya klasik bernuansa kontemporari menjadikan kumpulan tarian Malaysia dilihat menepati kehendak pasaran lalu diangkat sebagai pemenang pingat emas.


MEREKA berada di pentas dalam masa yang cukup singkat, satu minit sahaja. Dalam kekangan waktu itu, peranan mereka bukan kecil, sebaliknya membawa misi besar untuk negara bangsa gah masyhur seantero dunia.

Suasana tingkat dua, tiga dan empat, hotel mewah Westin Bonaventur, Hollywood Boulevard, Los Angeles kelihatan kelam kabut seperti pasar seni yang luas, semua mahu bergegas.

Mereka berkejaran dari satu bilik ke satu bilik, dari tingkat atas ke tingkat bawah, berlari semula naik ke tingkat atas supaya tidak tercicir dalam kategori yang dipertandingkan serentak dalam satu waktu berdekatan.

Nah, ketika inilah kreativiti tanpa batasan diperlukan untuk bersaing dengan wira-wira dunia yang lain. Semangat nasionalisme mengatasi segala-galanya.

Belum lagi diambil kira jumlah 'peraih' di kalangan agen pengenalpasti bakat dan agen syarikat rakaman yang pada waktu sama berkeliaran menilik mana-mana artis yang punya potensi untuk diketengahkan di pasaran dunia.

Ini memang pasar seni yang memperdagangkan bakat-bakat dan kreativiti anak muda seluruh dunia dan sudah pasti tersenarai antara peserta saja pun sudah cukup membanggakan nama Malaysia.

Melihat jumlah batalion negara lain seperti Ireland dan Afrika Selatan yang menghantar hampir 250 peserta ketika Malaysia hanya dengan 13 wiranya, kegusaran turut melanda pada awalnya. Rasa gerun membelah dada.

Pun begitu, kecil jumlah delegasi Malaysia jangan disangka anak, kerana akhirnya kita memperlihatkan semangat 'melawan' yang cukup tinggi seterusnya mencatat kejayaan membanggakan di World Championship of Performing Arts (WCOPA) ke-14 di Hollywood.

Menyaksikan sendiri bagaimana perjuangan mereka merebut emas untuk negara dalam acara "Olimpik seni" ini, rasa bangga bergantungan di jiwa kerana inilah yang kita mahukan dalam diri setiap anak muda watan ini.

Rasa kagum itu bercambah apabila kemenangan mereka meraih 18 emas, 17 perak dan 6 gangsa diperoleh melalui hasil seni berteraskan budaya dan tatasusila kesenian yang bermaruah.

Bidang tarian misalnya, ketika hampir semua negara lain berbangga menterjemahkan negara bangsa mereka dengan budaya hip hop, reggae, rock, metal, punk dan yang sama dengannya, kita 'selamba' dengan tarian makyung, inang dan zapin, lengkap dengan persalinan kebangsaan.

Sesekali kita bermegah dengan imej ala makyung warisan silam yang diberi terjemahan mutakhir. Pun kita tak kalah dalam percampuran modenisasi apabila gaya kontemporari tidak dipinggir ke tepi, hasilnya kita menepati kehendak juri.

Lalu ketika diumumkan kumpulan Aswara diangkat sebagai pemenang keseluruhan untuk kategori tarian (baik solo dan berkumpulan) termasuklah Grand Champion of Performance, ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Ibaratnya satu dewan sudah meramalkan Malaysia akan jadi juara antara juara dalam kategori itu.

Kumpulan Aswara dianggotai oleh Fairul Zahid, Hanafi Rosdi, Sheikh Hasrul, Naim Syahrazah dan Suhaili Michelin Ahmad Kamil. Ada antara mereka yang berkumpulan, berjuang secara duet dan secara solo juga dan kesemua antara mereka menjadi titik temu kepada kejayaan yang membanggakan itu.

Begitu juga dalam kategori instrumental melalui Rhythm of Borneo dan Timba Trio (juga kakitangan dan pelajar Aswara), kita menang dengan cukup berhemah dan perlu dimegah. Alatan muzik kita kekal dalam gaya tradisi, tetapi kreativiti kita tidak terbatas dalam satu ilusi.

Menerobos jauh ke ruang katarsis, muzik etnik yang kita bela yang sama digalas, akhirnya mencapai bintang timur untuk kategori berkenaan, melengkapkan misi kejayaan negara.

Kumpulan ini dianggotai oleh Sharif Zainal, Kasiman Basman, Razali Abdul Rahim dan Rajwan Juni mempunyai kekuatan pada seni rekaan lagu yang kelihatan cukup asli dan kreatif.

Mengangkat tema 1Malaysia yang padat dengan semangat setiakawan dan perjuangan merentasi kehidupan secara perpaduan dan harmonis yang manis. Ternyata saban tahun, Malaysia memperlihat semangat daya juang yang meninggi dalam Worldstars.

Jika enam tahun lalu, sewaktu awal penyertaan ke Worldstar ramai peserta negara lain seolah-olah 'jakun' dengan nama Malaysia, sekarang hanya dengan sekali pengumuman, mereka sudah dapat menggambarkan bagaimana 'kekuatan' jiwa pembawa panji-panji kemegahan negara itu.

Realiti ini terjadi di depan mata penulis sendiri. Seolah-olah Malaysia mempunyai peminat yang dibawa khas bersama delegasi negara apabila setiap kali peserta kita muncul di pentas, pasti akan begitu ramai sekali menghadiahkan tepuk sorak.

Apalah sangat yang boleh dilakukan untuk memberikan sokongan kepada kawan yang bertanding andai pasukan negara hanya menghantar 13 delegasinya tahun ini, tetapi aksi peserta negara telah mengundang peminat di kalangan pesaing sendiri.

Lobi pasukan negara hanya melalui persembahan tersendiri yang memukau, itu saja dan setiap kali berakhir masa satu minit yang diberikan, sorakan gemuruh pasti mengiringi wira negara turun dari pentas.

Seorang juri dalam soalannya kepada penulis bertanya "Apakah banyak antara peserta Malaysia belajar daripada guru dan sekolah kesenian luar negara?"

Mereka terpana apabila diberitahu wira-wira Malaysia ini hanya menjalani proses dalam bilik darjah di negara kami sendiri sahaja. Kita ada banyak fakulti seni dan kebudayaan di sebahagian besar universiti malah turut berbangga dengan wujudnya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), "Kalau mahu belajar tentang seni cara kami, datang sajalah ke Malaysia, esok lusa 'mat salih' pun boleh menari zapin, kalau berminat."

Inilah yang kita inginkan untuk membawa Malaysia tercinta ke pasca kegemilangan dan melalui Worldstars ia menjadi kenyataan apabila 46 negara lain yang bertanding memberi pengiktirafan itu.

Nama Malaysia disebut-sebut, ditepuk disorak, malah peserta negara turut menjadi rebutan untuk dijadikan lawan bergambar sesama peserta negara lain dengan senyum megah, sebagai tanda mereka turut memberi 'restu' kepada pilihan juri yang menghadiahkan kemenangan kepada Malaysia dalam kategori berkenaan.

Seorang peserta Ireland di sebelah penulis yang terpukau dengan gerak tari Aswara Dance misalnya, kedengaran berbisik sesama sendiri, bagaimana mereka mampu melakukannya?

Kemas dalam balutan kontemporari tetapi dalam masa yang sama kelihatan sangat klasik? Dan saya dengan penuh bangga membalas "Inilah keunikan bangsa kami, Malaysia." Sungguh, saya bangga ketika mengucapkan kata-kata itu.

Keunikan delegasi negara ternyata telah menghadiahkan kejayaan lebih mengharumkan nama negara kategori Tarian, Instrumental dan Peragaan.

Dengan membawa pulang 18 pingat emas, 17 perak dan 6 gangsa itu, Malaysia telah menang dalam 41 pertandingan daripada 47 penyertaan dalam Worldstar ke-14 yang berlangsung selama seminggu di sini, daripada 16 Julai hingga 25 Julai lalu.

Justeru, pada pengumuman majlis penerimaan anugerah, kecemerlangan paling hebat apabila Malaysia melalui Aswara 'menyapu bersih' anugerah emas dalam kelima-lima bahagian yang dipertandingkan dalam kategori itu, ada sebab kenapa ketua delegasi negara tersenyum lebar sampai ke telinga.

"Kita telah membuktikan, dengan delegasi kecil, kita mampu membawa kejayaan besar. Semangat inilah yang mahu diterapkan dalam diri karyawan seni muda kita.

"Kerajaan telah memberi sokongan dalam pelbagai sudut dan mereka hanya memberi tumpuan kepada persembahan terbaik untuk negara. Dan mereka telah melakukannya, syabas," ujar Datuk Muhammed Mohd.Daud.

Tahun ini, Malaysia juga memperoleh tiga Anugerah Industri yang diberikan kepada Zulyasrani Zaulyadin, Cheryl Koh dan Razali Abdul Rahim.

Anugerah Industri ini diberikan oleh panel juri setelah meneliti dari pelbagai aspek terutamanya kemampuan peserta yang diyakini mempunyai masa depan gemilang, maknanya penerima anugerah ini andai terus diberikan peluang bakal berpotensi untuk menyerlah di pentas antarabangsa selepas ini.

Sementara itu, meskipun dalam kategori vokal, kita kurang menyerlah tahun ini, sekurang-kurangnya dua pingat emas untuk IZ Sulaini dan Cheryl Koh dalam pertandingan secara duet membuatkan kita tidak pulang dengan tangan kosong pada kategori penting ini.

Adapun sasaran awal pada kali ini tidak terlalu tinggi kepada kategori vokal, tetapi dengan dua pingat emas dan tiga perak serta satu gangsa, membuktikan yang IZ Sulaini dan Cheryl Koh punya masa depan yang baik.

Seperti biasa, kategori vokal kekal didominasi oleh peserta negara Filipina yang seperti sudah 'mengikat janji seia sekata' dengan Worldstars dalam kategori berkenaan. Sesungguhnya, Filipina memang layak kerana saban tahun mereka memunculkan 'intan terpilih' untuk mewakili kategori berkenaan dan bukannya penyanyi yang sekadar cukup-cukup makan.

Worldstar 2010 ditinggalkan dalam kenangan terindah. Catatan kejayaan negara melengkapkan sebuah perjalanan panjang kami.

Menanti kesemua wira negara adalah pengiktirafan pihak kerajaan yang cukup besar nilainya apabila kepulangan disambut megah penuh meriah oleh Datuk Seri Rais Yatim dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di Sepang, Selasa lalu.

Ucapan tahniah dan berjabat tangan dengan pak menteri sendiri adalah merupakan satu penghormatan kerajaan kepada wira-wira yang telah mengharumkan nama negara ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: