Sunday, August 1, 2010

Natasha angkat kaki




LAGU belum popular tapi macam-macam hal yang berlaku kepada Natasha Hudson. Memang banyak benar dugaan yang menimpa ibu tunggal kepada seorang cahaya mata ini. Semuanya gara-gara impiannya nak jadi penyanyi.

Sebelum ini panas juga cerita Natasha yang dikatakan kaki ciplak lagu. Tak cukup dengan itu ramai yang melabelnya sebagai ratu ciplak. Semuanya berpunca daripada lagu Hanya Tuhan Yang Tahu.

Lagu yang dikatakan milik orang lain, tetapi diambil oleh Natasha dan diubah sedikit akhirnya memakan dirinya. Cukup mencalar kredibilitinya sebagai anak seni, Natasha menganggap ia sebagai satu ujian dalam hidupnya.

Tup tup kali ini nama Natasha kembali panas apabila dia dikatakan sudahpun tidak bersama dengan syarikat rakaman yang bertanggungjawab menaikan namanya sebagai penyanyi.

Natasha sudah tidak bersama dengan Alibi Music Sdn. Bhd. akibat beberapa masalah yang timbul. Natasha menarik diri daripada menyertai syarikat itu gara-gara tidak berpuas hati dengan perjalanan karier seni tak selancar yang diharapkan.

Malah sebelum ini juga Ketua Pengarah Muzik Alibi Music Sdn. Bhd., KC Ismail mengesahkan yang Natasha sudah tidak bersama syarikat itu lagi.

Jelasnya lagi selepas kontroversi ciplak menciplak itu berlaku, Natasha selalu menyalahkan pihaknya atas apa yang telah berlaku. Tak cukup dengan itu Natasha juga didakwa sering kali mendesak untuk memastikan lagu itu dimainkan di radio secepat mungkin.

Natasha juga dilabel terlalu ghairah dan kadangkala menyebabkan mereka sendiri tidak tahu apa yang dimahukan olehnya. Ini bukan kali pertama syarikat itu dilanda kontroversi. Malah sebelum sudah beberapa orang artis yang dilanda masalah ketika bersama pihak mereka.

Lalu timbul pelbagai pertanyaan apakah sebenar yang terjadi kepada syarikat memayungi 18 artis tempatan termasuk Singapura itu.

Sebelum ini penyanyi Nurul Wahab juga pernah menghadapi konflik apabila kontraknya bersama Alibi Music (ketika itu Metadome Sdn. Bhd) ditamatkan melalui BlackBerry Messenger (BBM) sahaja.

Selepas itu timbul pula kontroversi melibatkan Diana Danielle yang menuntut bayaran selepas merakamkan single Radio bersama dengan Imran Ajmain dan Nabil Raja Lawak. Kes itu senyap sahaja sehingga kini.

Tetap nak menyanyi

Berbicara dengan Natasha baru-baru ini, satu per satu rahsia terbongkar. Semuanya gara-gara tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya yang sedikit sebanyak mencalarkan dirinya.

Akui Natasha, dia cukup sedih dengan apa yang telah berlaku tetapi sebagai anak seni semuanya terpaksa dilalui dengan hati yang terbuka. Memandangkan ini bukanlah kontroversi pertama yang melanda dirinya, dia akur perjalanan yang dilaluinya cukup berliku dan penuh ranjau.

"Benar, saya sudah tidak bersama dengan mereka lagi. Saya yang menghantar surat untuk menamatkan kontrak dengan mereka. Sudah tiga minggu perkara ini berlaku.

"Saya dah bersabar banyak sangat selama ini. Untuk apa saya tunggu lagi? Bila kontroversi lagu Hanya Tuhan Yang Tahu melanda, saya yang kena teruk. Semua orang hentam saya. Tapi apa yang mereka buat untuk membersihkan nama saya?

"Saya tunggu mereka untuk selesaikan masalah ini secara keseluruhannya. Saya minta mereka mengadakan sidang media untuk menjelaskan apa yang telah berlaku. Tapi kes itu senyap sahaja.

"Lagipun mereka yang berurusan dengan pemilik asal lagu tersebut. Lagu itu mereka yang pilih. Saya dan Cat Farish hanya membuat lirik dan bukan salah kami bila isu tersebut terjadi.

"Bila isu hak cipta jadi masalahnya, apa yang boleh saya buat? Mereka yang pilih lagu itu dan mereka juga yang patut selesaikan," luah Natasha lagi.

Sejak menandatangani kontrak bersama Alibi Music pada November 2009, sehingga hari ini masih tiada satupun single nyanyian Natasha yang diputarkan.

Sedih dengan apa yang telah berlaku, tekad wanita yang bakal mencecah usia 28 tahun itu untuk meneruskan karier nyanyiannya walaupun dihimpit dengan dugaan yang cukup besar.

Kalau boleh dia sudah tidak mahu bercerita mengenai perkara itu lagi dan seboleh-bolehnya mahu cerita itu bernoktah di sini. Pelbagai perkara sudah direncanakan olehnya termasuklah merakamkan tiga buah lagu yang diusahakan secara sendirian.

"Sebenarnya bila masuk tahun 2010 dahulu saya memang merancang untuk membina nama dalam bidang nyanyian. Tak sangka pula semuanya akan terjadi dan akhirnya jadi begini.

"Ramai rakan-rakan yang mahu melihat saya berjaya dalam bidang ini. Tapi saya rela mengambil masa yang sedikit panjang daripada membuat perkara tergesa-gesa.

"Saya mahu memilih lagu yang sesuai, genre yang betul sebelum keluar dengan produk yang baik. Kalau orang nak cakap saya tak pandai menyanyi sekalipun saya tak kisah.

"Janji saya tahu apa yang saya lakukan dan saya cuba untuk memperbaiki diri. Orang baru macam saya mana boleh dilihat 'sempurna' sekelip mata. Harap semua mengerti apa yang saya mahukan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: